India Kerah S-400,Rafale ke Korridor Siliguri (Chicken Neck), Respons Terhadap “Kemesraan” Bangladesh-China
Kerahan sistem pertahanan udara S-400 dan sistem-sistem persenjataan yang lain oleh India itu adalah sebagai reaksi balas terhadap peningkatan aktiviti udara oleh negara-negara jirannya, China dan Bangladesh yang dianggap boleh mengancam keselamatan oleh New Delhi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India dilaporkan telah mengerahkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia ke kawasan strategik dinamakan Korridor Siliguri atau “Chicken Neck”, jalur tanah sempit dan strategik yang menghubungkan tanah besar India dengan negeri-negeri di bahagian timur lautnya.
Kerahan sistem pertahanan udara S-400 dan sistem-sistem persenjataan yang lain oleh India itu adalah sebagai reaksi balas terhadap peningkatan aktiviti udara oleh negara-negara jirannya, China dan Bangladesh yang dianggap boleh mengancam keselamatan oleh New Delhi.
Tentera Bangladesh dan China dikatakan telah meningkatkan aktiviti udara mereka di kawasan-kawasan bersempadan dengan korridor itu, sekaligus mencetus kebimbagan India.
Selama beberapa dekad, Koridor Siliguri itu dianggap sebagai titik paling lemah dalam pertahanan India, iaitu satu jalur tanah sempit selebar 20 hingga 22 kilometer di Bengal Barat yang menghubungkan wilayah timur laut dengan seluruh tanah besar India.
Kebimbangan utama adalah kemungkinan serangan terancang oleh musuh, khususnya dari arah China melalui Doklam, yang boleh memutuskan hubungan timur laut India daripada tanah besar negara itu.
Peningkatan kerahan aset-aset ketenteraan India di kawasan Siliguri Corridor itu juga adalah sebagai respons terhadap peningkatan “kemesraan” hubungan di antara Bangladesh dibawah pemimpin sementaranya, Mohamad Yunus dengan China.
Selepas kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina yang dilihat sebagai pro-India dan digantikan dengan pemerintahan sementara dibawah Mohamad Yunus, Bangladesh telah mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan China serta Pakistan, dua buah negara yang dianggap “musuh” oleh New Delhi.
Rafale
Dibawah Mohamad Yunus, Dhaka semakin cenderung ke arah China, khususnya dalam usaha mendapatkan pelaburan baru dalam bidang ekonomi dan infrastruktur daripada Beijing.
Hubungan ekonomi terkini Dhaka dengan Beijing serta desas-desus mengenai kemungkinan kerjasama dalam projek infrastruktur telah menimbulkan kebimbangan di New Delhi.
India secara konsisten menolak Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diketengahkan China, kerana melihatnya sebagai satu muslihat strategik ala ‘Trojan Horse’.
Setakat April 2025, laporan-laporan yang tidak dapat disahkan mendakwa bahawa Bangladesh sedang menimbangkan kemungkinan untuk menubuhkan sebuah pangkalan udara disokong oleh China di daerah Lalmonirhat di utara negara itu.
Langkah itu sekiranya menjadi kenyataan bakal menimbulkan kebimbangan di negara jiran, India, memandangkan lokasi cadangan itu terletak berhampiran Koridor Siliguri.
Sebagai respons, India bukan sahaja mengerahkan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 ke kawasan berhampiran dengan Siliguri Corridor itu, tetapi ia juga telah menempatkan skuadron pesawat pejuang Rafale miliknya di korridor itu.
Tentera Udara India telah menempatkan satu skuadron pesawat pejuang Rafale di Pangkalan Udara Hashimara, bersama pesawat-pesawat pejuang MiG.
Selain iitu, rejimen peluru berpandu kruis supersonik BrahMos turut ditempatkan di koridor tersebut bagi mengekang sebarang ancaman yang berpotensi.
Korridor Siliguri atau dipanggil “Chicken Neck”
Selain sistem pertahanan udara jarak jauh S-400, tentera India juga dilaporkan telah menempatkan unit-unit pertahanan udara yang dilengkapi dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana AKASH dan sistem pertahanan udara jarak dekat SHORAD serta VSHORD di kawasan korridor strategik itu.
Satu lagi komponen penting dalam struktur pertahanan tentera India di Korridor Siliguri adalah Kor Trishakti yang berpusat di Sukna.
Diperkuatkan dengan rejimen kereta kebal utama T-90, unit infantri elit dan keupayaan artileri yang ampuh, Kor Trishakti kerap melaksanakan latihan tempur berintensiti tinggi di rantau tersebut.
Manakala ‘Kor Brahmastra’ — pasukan serangan pergunungan pertama India yang berpangkalan di Panagarh, Bengal Barat telah ditubuhkan sebagai unit tindak balas pantas serta pasukan serangan balas terhadap China di sepanjang Garisan Kawalan Sebenar (LAC).
Kor ini dirancang sebagai sebuah kor serangan lengkap yang merangkumi dua divisyen infantri, briged perisai serta unit pertahanan udara dan penerbangan yang khusus.
Tahun lepas, India mengancam untuk menembak jatuh dron buatan Turkiye, Bayraktar TB2 milik Tentera Bangladesh sekiranya dron ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance) milik negara jirannya itu terbang hampir dengan sempadan kedua-dua negara.
Dron Bayraktar Tb2 milik Bangladesh
Menurut pegawai kanan tentera India yang dipetik oleh media tempatan, prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan selama ini menyatakan bahawa tidak ada dron dibenarkan terbang di dalam jarak 10 km daripada sempadan India-Bangladesh.
“Kita mempunyai kemampuan untuk menjejaki dan menembak jatuh mana-mana dron atau objek yang menceroboh ruang udara India, “ menurut pegawai berkenaan ketika ditanya tentang laporan berkenaan penerbangan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara itu dipercayai untuk misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
India dilaporkan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadannya dengan Bangladesh selepas sebuah dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh dengan identifikasi transponder TB2R1071 terbang berhampiran sempadan kedua-dua negara di kawasan Meghalaya, Tripura dan Mizoram.
Dron Bayraktar TB2 milik Bangladesh itu dipercayai berlepas daripada Pangkalan Udara negara itu Tejgaon di ibu negara, Dhaka.
Dron itu dipercayai dioperasikan oleh Tentera Darat Bangladesh ke-67 (67th Army) dan sedang melakukan misi ISR rutin.
Angkatan Tentera Bangladesh dilaporkan telah memperolehi 12 buah Medium Altitude Long Endurance (MALE) Bayraktar TB2 daripada Turkiye dengan enam daripadanya sudah pun beroperasi.
T-90S/SK “Bhishma” India
Dikala Bangladesh dilaporkan bercadang memperolehi sehingga 32 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan-China, negara jirannya India pula dikatakan tidak berpuashati dengan cadangan pembelian itu dan akan berusaha untuk “mengagalkan usaha Bangladesh itu.
Sebagaimana dilaporkan oleh media, kerajaan India tidak mahu Bangladesh memperolehi pesawat pejuang JF-17 yang diperbuat oleh negara-negara yang dianggap sebagai “musuhnya” iaitu Pakistan dan China.
New Delhi juga dilaporkan “tidak senang” dengan tindakan Dhaka berbaik-baik dengan Islamabad dan Beijing dalam sektor pertahanan.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China.
Ia digunakan oleh Tentera Udara Pakistan (termasuk varian terkininya Block III) dan turut dieksport ke beberapa negara lain.
Hubungan di antara India dan Bangladesh yang sedia tegang pada ketika ini semakin “bercelaru” selepas pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan, Inter-Services Intelligence (ISI) dilaporkan melawat Dhaka beberapa bulan lalu.
Mohamad YunusPesawat pejuang JF-17 Pakistan bersama peluru berpandu CM-400AKG (warna putih)
Lawatan pegawai tertinggi tentera dan perisik Pakistan ke Bangladesh telah mencetuskan dan kemarahan kebimbangan di New Delhi.
Sebagai reaksi balas terhadap lawatan pegawai perisikan Pakistan ke Bangladesh, India menyatakan bahawa mereka sedang memantau perkembangan terkini secara rapat dan “akan mengambil langkah yang sewajarnya” sekiranya ia menyentuh tentang hal ehwal keselamatan negara.
“Kami sentiasa memantau semua aktiviti di sekitar negara dan di rantau ini, termasuk segala aktiviti yang memberi kesan kepada keselamatan negara, dan kerajaan akan mengambil langkah yang sewajarnya,” kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India Randhir Jaiswal.
Delegasi pegawai-pegawai tinggi agensi perisikan Pakistan itu yang diketuai oleh Mejar Jeneral Shahid Amir Asfar menghabiskan empat hari di Bangladesh.