India Bakal Beli 26 Pesawat Pejuang Rafale Marine Untuk Operasi Kapal Pengangkut Pesawat

Perolehan pesawat pejuang Rafale Marine itu adalah untuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29K yang digunakan oleh kapal pengangkut pesawat India pada ketika ini, yang berhadapan dengan masalah sehingga menyebabkan beberapa buah daripadanya mengalami kemalangan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India dilaporkan bakal menandatangani kontrak bagi pembelian 26 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis bagi kegunaan kapal pengangkut pesawatnya, INS Vikrant.

INS Vikrant merupakan kapal pengangkut pesawat pertama dibuat dalam negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Dassault Aviation , Eric Trappier sebagaimana dipetik dalam temuramahnya dengan akhbar Le Tribune berkata sebuah lagi negara bakal menandatangani kontrak bagi perolehan pesawat pejuang Rafale.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan nama negara berkenaan, tetapi pemerhati pertahanan antarabangsa menyatakan ia berkemungkinan besar ia adalah India, memandangkan kedua-dua pihak sememangnya sedang berunding tentang perolehan pesawat itu.

Rafale Marine

 

Akhbar Perancis itu menyatakan kemungkinan kedua-dua negara akan menandatangani kontrak bagi perolehan pesawat pejuang Rafale di dalam varian operasi kapal pengangkut pesawat itu dipanggil “Rafale Marine” pada akhir tahun ini.

Ia juga menyatakan rundingan di antara India dengan Dassault Aviation secara keseluruhannya telah pun tamat, cuma rundingan membabitkan syarikat pengeluar peluru berpandu, MBDA masih berlangsung.

India adalah pengguna pesawat pejuang Rafale selepas menandatangani kontrak untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang itu pada 2016.

Pesawat terakhir daripada 36 buah itu telah pun diserahkan kepada India dan kedua-dua buah skuadron yang dilengkapi dengan pesawat pejuang Rafale itu telah pun beroperasi sepenuhnya.

Berita tentang India diambang perolehan 26 buah pesawat pejuang Rafale di dalam varian Marine untuk operasi kapal pengangkut pesawatnya, muncul hanya beberapa hari Perancis dan Serbia menandatangani perjanjian bagi perolehan 12 buah pesawat pejuang itu.

Pada 2023, India berunding dengan Perancis untuk memperolehi 26 pesawat pejuang Rafale Marine terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk dan empat buah pesawat pejuang dua tempat duduk yang dianggarkan bernilai US$6 billion (RM26 billion).

Kesemua 26 buah pesawat pejuang Rafale Marine itu adalah untuk kegunaan kapal-kapal pengangkut pesawat Tentera Laut India, INS Vikrant dan INS Vikramaditya.

INS Vikrant

 

Pemilihan pesawat pejuang Rafale Marine untuk operasi kapal pengangkut pesawatnya itu adalah selepas pemilihan yang turut membabitkan pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet buatan Amerika Syarikat.

India telah pun mengadakan ujian terhadap pesawat pejuang Rafale Marine di kemudahannya yang menyerupai landasan kapal pengangkut pesawat di Goa pada 2022.

Perolehan pesawat pejuang Rafale Marine itu adalah untuk menggantikan pesawat pejuang MiG-29K yang digunakan oleh kapal pengangkut pesawat India pada ketika ini, yang berhadapan dengan masalah sehingga menyebabkan beberapa buah daripadanya mengalami kemalangan.

Perolehan pesawat pejuang Rafala Marine itu telah dipersetujui oleh Defence Acquisition Council of India.

Pesawat pejuang Rafale Marine itu bagaimanapun, adalah langkah penyelesaian sementara sehinggalah India membangunkan Twin-Engine Deck-Based Fighter yang dijangkakan beroperasi pada 2031.

Perolehan 36 buah pesawat pejuang Rafale Marine itu membuktikan sememangnya pesawat pejuang Rafale adalah amat laris di pasaran pada ketika ini.

Rafale Marine

 

Sehingga kini, syarikat Dassault Aviation dan Perancis telah menjual sejumlah 297 buah pesawat pejuang Rafale kepada pelanggannya, mengatasi penjualan pesawat pejuang Mirage yang dijual sebanyak 286 unit kepada pelanggan di seluruh dunia.

 Penjualan pesawat pejuang Rafale itu termasuk 55 buah kepada Mesir, 36 buah kepada Qatar, 36 buah kepada India, 24 buah kepada Greek (12 daripadanya pesawat pejuang terpakai), 80 buah kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), 12 buah pesawat pejuang terpakai kepada Croatia, 42 buah kepada Indonesia dan 12 buah kepada Serbia.

Sekiranya penjualan 36 buah pesawat pejuang Rafale kepada India itu menjadi reality, maka penjualan pesawat pejuang itu di pasaran antarabangsa kini mencecah sebanyak 323 buah. — DSA

featuredIndiaPerancisRafale Marine
Comments (0)
Add Comment