Gripen Sah Sertai Persaingan Bekal 18 Buah Pesawat FLIT/LCA Untuk TUDM

Sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas Saab telah secara agresif mempromosi pesawat Gripen kepada TUDM dan adalah memeranjatkan sekiranya ia tidak menyertai tender Kementerian Pertahanan bagi pesawat FLIT/LCA itu.

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya syarikat Saab Group daripada Sweden turut menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk membekalkan sejumlah 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perkara itu disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang menyatakan bahawa pesawat pejuang JAS 39 “Gripen” dan syarikat pembuatnya, Saab Group turut tersenarai dalam tender antarabangsa FLIT/LCA untuk TUDM yang tamat pada 22 September lepas.

“Sejumlah lapan Original Equipment Manufacturer (OEM) telah memberi maklum balas terhadap Permintaaan Untuk Maklumat (Request For Information) kepada TUDM.”

“Diantara pesawat-pesawat pejuang yang memasuki tender termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50, JF-17 daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group, Hongdu L-15B, HAL Tejas, Yakovlev Yak-130, Leonardo M346, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk,” katanya dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris “Asian Defence Journal”.

Versi pesawat Gripen apakah yang ditawarkan Saab Group kepada Malaysia, C/D, E/F atau NG.

Kenyataan oleh Panglima Angkatan Tentera itu turut menafikan artikel sebuah media kewangan tempatan baru-baru ini yang memetik sumber mendakwa bahawa pesawat J-17 “Thunder” hasil kerjasama Pakistan dan China tidak menyertai tender TUDM itu.

Pesawat J-17 itu sah menyertai tender TUDM itu dan bakal menjadi antara frontrunner dalam persaingan.

Laporan oleh media kewangan tempatan baru-baru ini turut tidak menyebut nama Saab dan pesawat Gripen dalam persaingan tender untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA bagi TUDM dan nampaknya tekaan media kewangan itu salah.

Sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas Saab telah secara agresif mempromosi pesawat Gripen kepada TUDM dan adalah memeranjatkan sekiranya ia tidak menyertai tender Kementerian Pertahanan itu.

Cuma kali ini, Gripen bukanlah di dalam kategori pesawat FLIT/LCA tetapi ia lebih kepada MRCA, tetapi ia hanyalah nama di atas kertas.

Pada mulanya,  cadangan Saab Group adalah supaya TUDM mempertimbangkan pesawat Gripen untuk menggantikan pesawat MiG-29N, kerana pada ketika itu belum ada lagi cadangan untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk tentera udara.

Nampaknya, kini apabila sudah ada tender bagi 18 buah pesawat FLIT/LCA, Gripen pun menyertainya sebagaimana yang disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera.

Beberapa tahun lepas naib presiden Saab Malaysia Thomas Linden dilaporkan berkata bahawa TUDM sedang membuat penilaian terhadap pesawat Gripen dalam prosesnya untuk menggantikan 10 pesawat MiG-29 buatan Rusia yang sudah lanjut usia.

“TUDM sedang membuat penilaian terhadap tawaran kami dan saya amat yakin, Gripen akan merupakan penyelesaian terbaik bagi Malaysia dari segi pertahanan,” katanya.

Walaupun daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat Gripen dengan pesaing-pesaingnya adalah setaraf atau lebih baik, tetapi ada beberapa isu yang bakal membelenggu sekiranya Malaysia memilih Gripen.

Antara yang paling utama adalah soal pembayaran, berikutan Malaysia dikatakan menghendaki pembayaran bagi 18 buah pesawat FLIT/LCA itu dilakukan secara barter dengan sekurang-kurangnya 50 peratus di dalam bentuk minyak kelapa sawit.

Jika cara pembayaran itu menjadi pilihan Malaysia,  maka TUDM boleh awal-awal ketepikan pesawat Gripen kerana syarikat pertahanan Eropah sememangnya tidak berminat dengan cara pembayaran barter komoditi itu.

Apatah ia membabitkan minyak kelapa sawit yang kini berhadapan dengan gerakan lobi anti-minyak kelapa sawit di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Cara pembayaran barter komoditi itu akan meletakkan pesawat-pesawat seperti L-15B, Tejas, JF-17 dan Yakovlev Yak-130 sebagai calon-calon pilihan untuk memenangi tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA itu.

Malah, KAI atau Leonardo juga tidak pasti akan terima cara pembayaran menggunakan komoditi kelapa sawit.

Di Asia Tenggara pada ketika ini, hanya Tentera Udara Thailand merupakan negara pengguna pesawat buatan Sweden itu selepas memperolehi 12 buah pesawat pejuang Gripen serta pesawat Airborne Early Warning (AEW) “Erieye” pada 2008.

Tentera Udara Filipina juga dikatakan berminat untuk menggunakan pesawat Gripen.

Pesawat Gripen ini dikatakan lebih murah 30 peratus daripada pesawat-pesawat seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

FLIT-LCAGripenSaab GroupTUDM
Comments (1)
Add Comment