Penolakan Kanada, Colombia Buat Masa Depan Gripen Semakin Malap

Dengan penolakan terbaru daripada Kanada dan Colombia, ia menimbulkan persoalan yang serius tentang masa depan pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Saab Group. Jikalau "penolakan" ini berterusan, pesawat pejuang Gripen boleh “tutup kedai” tidak lama lagi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keputusan  Colombia memilih pesawat pejuang Rafale keluaran Perancis manakala Kanada pula memilih F-35 buatan Amerika Syarikat untuk tentera udara negara masing-masing merupakan berita yang enggan di didengar oleh syarikat Saab Group yang menawarkan pesawat pejuang JAS-39 Gripen.

Keputusan kedua-dua negara tentang pesawat pejuang pilihan mereka itu merupakan penolakan terbaru yang terpaksa dihadapi oleh syarikat pembuat pesawat daripada Sweden.

Saab Group menaruh harapan yang tinggi agar Kanada dan Colombia memilih Gripen sebagai pesawat pejuang mereka dan telah melaksanakan usaha pemasaran yang agresif bagi mempromosi pesawat pejuang keluaran mereka itu.

Colombia menyatakan bahawa ia sedang berunding dengan syarikat Dassault Aviations untuk mendapatkan 16 buah pesawat Rafale bernilai US$3.15 bilion (RM12.6 bilion) untuk tentera udaranya bagi menggantikan pesawat pejuang Kfir buatan Israel.

Manakala Kanada pula bakal membelanjakan US$7 bilion (RM28 bilion) untuk mendapatkan 16 buah pesawat generasi kelima, F-35 itu.

Pesawat Gripen Tentera Udara Brazil

 

Dengan penolakan terbaru daripada Kanada dan Colombia, ia menimbulkan persoalan yang serius tentang masa depan pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh Saab Group itu.

Jikalau ini berterusan, Gripen boleh “tutup kedai” tidak lama lagi.

Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang kepada negara asing adalah 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu dengan nilai US$5.4 bilion.

Kontrak daripada Brazil itu adalah lapan tahun lepas dan sejak daripada itu Saab Group telah gagal menambat hati mana-mana negara untuk membeli pesawat pejuang keluarannya.

Walaupun merupakan sebuah syarikat yang berpengkalan di Eropah, tetapi Saab Group gagal menawan hati negara benua itu untuk membeli pesawat Gripen untuk tentera udaranya.

F-35A

 

Negara-negara Eropah lebih teruja untuk memiliki pesawat pejuang generasi ke-5, F-35 Lightning dan berlumba-lumba untuk mendapatkan pesawat keluaran syarikat Lockheed Martin itu.

Negara-negara Eropah berlumba-lumba mendapatkan F-35 seperti Denmark, Finland, Poland, Belanda, Norway, United Kingdom, Itali, Hungary,Switzerland dan Jerman yang memilih F-35 buatan Amerika untuk tentera udara mereka.

Di benua Asia pula, Saab Group berhadapan dengan persaingan sangit daripada Dassault Aviation yang menawarkan pesawat pejuang Rafale yang berjaya “memikat” Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), India dan terbaru, Indonesia.

Sejak kejayaan membekalkan 12 buah Gripen kepada Tentera Udara Thailand, Saab Group gagal mengulangi kejayaan itu di negara-negara Asia yang lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Group Micael  Johansson memberitahu wartawan di negara Scandinavia itu baru-baru tentang “kekecewaannya” berhubung syarikat Sweden itu dalam menarik minat pembeli-pembeli untuk memperolehi pesawat pejuang Gripen.

Pesawat JAS-39C/D Gripen Tentera Udara Thailand (RTAF).

 

Bercakap kepada media negara itu di ibu pejabat Saab di Stockholm, beliau berkata kegagalan pesawat pejuang Gripen menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.

Daripada segi prestasi dan kemampuan pesawat pejuang itu, Johansson berkata, tiada apa yang membeza Gripen dengan pesawat-pesawat pejuang yang setanding dengannya.

Pesawat pejuang Gripen ini terletak di dalam kategori pesawat pejuang ringan, dibawah sedikit daripada pesawat-pesawat pejuang yang lain seperti F-16 dan Rafale. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

ColombiafeaturedGripenKanadaSaab