Greek “Pujuk” Jerman Supaya Batalkan Penjualan Enam Kapal Selam Pada Turki

Sebenarnya, penjualan enam buah kapal selam itu bernilai US$4 bilion (RM16.4 bilion) telah pun dimeterai antara kedua-dua negara itu beberapa tahun lepas tetapi Athens masih menaruh harapan untuk memujuk kerajaan pimpinan Angela Merkel untuk membatalkannya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Greek dilaporkan masih cuba memujuk Jerman supaya membatalkan penjualan enam buah kapal selam kelas-Reis yang dibangunkan oleh syarikatnya, Thyssen Krupp Marine Systems, kepada Turki.

Sebenarnya, penjualan enam buah kapal selam itu bernilai US$4 bilion (RM16.4 bilion) telah pun dimeterai antara kedua-dua negara itu beberapa tahun lepas tetapi Athens masih menaruh harapan untuk memujuk kerajaan pimpinan Angela Merkel untuk membatalkannya.

Kapal selam pertama kelas-Reis dinamakan “Piri Reis” dibina di Limbungan Kapal Golcuk telah pun dilancarkan pada Mac lepas dan dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Turki pada awal tahun depan. Kapal selam ke-enam dijangka siap pada 2027.

Sebenarnya, Greek diketahui sebagai seteru utama Turki amat bimbang penjualan enam buah kapal selam Jerman kepada Turki akan mengubah imbangan kuasa maritim di timur Laut Mediterranean untuk berpihak kepada Ankara.

Turki dan Greek terlibat dalam pertikaian maritim yang hangat di timur Laut Mediterranean membabitkan kawasan-kawasan perairan yang kaya dengan sumber asli iaitu minyak dan gas.

Kapal selam “Piri Reis”.

 

Athens mungkin bimbang kehadiran kapal-kapal selam terbaru Turki itu akan menguatkan lagi cengkaman negara itu terhadap kawasan perairan yang kaya dengan minyak dan gas itu.

Menurut laporan media, Menteri Luar Greek Nikos Dendias telah menyatakan rasa kecewanya kerana parti pemerintah Jerman telah menghalang percubaan pembangkang negara itu untuk menghalang penjualan kapal selam itu di Parlimen.

Beliau berkata, bersama-sama Perdana Menteri Greek Kostas Mitsotakis mereka telah bercakap dengan semua pihak Jerman untuk melobi negara itu supaya membatalkan penjualan dan pembinaan enam buah kapal selam itu.

Nampaknya, Greek tidak akan menyerah kalah dalam usahanya untuk membatalkan penjualan enam buah kapal selam itu sehinggalah keenam-enam kapal selam itu telah siap dibina.

Satu sudah siap, masih ada lima lagi yang sedang dalam pelbagai peringkat pembinaannya.

Kapal selam kelas-Reis ini sebenarnya adalah kapal selam Type 214TN yang dilengkapi dengan “Air Independent Propulsions” (AIP).

Panjangnya adalah 68 meter dan memiliki berat 1,850 tan serta membawa 40 orang krew.

Kapal selam terbaru Turki ini akan dilengkapi dengan torpedo dan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon”, malah terdapat kemungkinan peluru berpandu buatan tempatan “Atmaca” juga akan dilengkapkan di kapal selam ini.

Pada ketika ini, Turki memiliki 12 buah kapal selam berbanding Greek yang memiliki lima buah kapal selam.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

GreekJermanKapal SelamTurki