Filipina Giat Bina Kapal Perang Baru, Padam Gelaran “Tentera Laut Usang” Asia Tenggara

Dibawah “Corvette Lot 1 Acquisition Project”, Jabatan Pertahanan Filipina dan syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI) telah menandatangani perjanjian pada 2021 untuk membina dua buah kapal korvet dianggarkan bernilai US$547 juta (RM2.2 bilion). Kedua-dua korvet itu bakal dibina pada Mei dan November ini untuk melaksanakan tugas-tugas anti-kapal, anti-kapal selam dan anti-udara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina akan memulakan proses “steel cutting” bagi dua kapal korvet terbarunya pada bulan Mei dan November tahun ini, menandakan bermulanya proses pembinaan dua buah kapal perang terbaru bagi tentera laut negara Asia Tenggara itu yang sedang giat dipermodenkan.

Kedua-dua kapal korvet itu akan dibina oleh syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI), syarikat sama yang membina dua buah kapal friget kelas-Jose Rizal yang kini sedang berkhidmat dengan Tentera Laut Filipina.

Dibawah “Corvette Lot 1 Acquisition Project”, Jabatan Pertahanan Filipina dan syarikat HHI telah menandatangani perjanjian pada tahun 2021 untuk membina dua buah kapal korvet yang dianggarkan bernilai US$547 juta (RM2.2 bilion).

Model kapal korvet Filipina

 

Kedua-dua korvet yang bakal dibina selepas proses Critical Design Review (CDR) selesai,  akan melaksanakan tugas-tugas anti-kapal, anti-kapal selam dan anti-udara.

Pembinaan dua buah kapal korvet milik Tentera Laut Filipina dijangka siap pada tahun 2026.

Kedua-dua buah kapal korvet baru itu dikatakan adalah lebih besar daripada kapal friget kelas-Jose Rizal yang memiliki berat 2,600 tan.

Laporan media sebelum ini mengatakan kapal korvet Tentera Laut Filipina seberat 3,100 tan itu akan dilengkapkan dengan 16 silo Vertical Launch System (VLS), lapan buah peluru berpandu anti-kapal, meriam 35mm (close-in weapon system)  dan meriam 76mm.

Kapal friget Filipina “BRP Jose Rizal”

 

Media-media pertahanan juga memetik sumber mengatakan bahawa kedua-dua buah kapal korvet Tentera Laut Filipina itu akan menggunakan peluru berpandu anti –udara VL Mica manakala bagi untuk anti-kapal pula ia akan menggunakan peluru berpandu SSM-700K Haeseong (C-STAR) yang dibangunkan oleh syarikat LIG Next.

Peluru berpandu SSM-700K Haeseong telah dibangunkan sejak 1996 dan digunakan oleh Tentera Laut Korea Selatan pada 2005. 

Peluru berpandu anti-kapal Haeseong ini direkabentuk mengikut peluru berpandu anti kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat, mungkin disebabkan kerana hubungan pertahanan yang rapat di antara kedua-dua negara.

Dari segi kemampuan, SSM-700K Haeseong boleh membedil sasaran laut sejauh 150km tetapi Korea Selatan sedang berusaha untuk meningkatkan jaraknya kepada kira-kira 200km, sebagaimana yang dinyatakan oleh Defense Acquisition Program Administration (DAPA) Korea Selatan.

Perolehan kedua-dua kapal korvet itu akan memastikan commonality dan interoperability dengan aset-aset Tentera Laut Filipina yang sedia ada, selain memudahkan lagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Kapal friget Filipina “Antonio Luna”

 

Kedua-dua kapal friget Tentera Laut Filipina, BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna telah ditauliah pada Mei dan Julai tahun 2020 selepas beberapa tahun dibina di limbungan kapal HHI di Korea Selatan.

Jabatan Pertahanan Filipina menandatangani perjanjian dengan HHI bagi membina dua buah kapal friget kelas-Jose Rizal bernilai US$311 juta itu pada 2016.

Kedua-dua kapal friget pelbagai guna Filipina itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu SSM-700K Haeseong (C-STAR).

Bagi sistem pertahanan udaranya pula, kedua-dua kapal friget Filipina, BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna  dilengkapi dengan sistem SHORAD (Short Range Air Defence System) daripada jenis “Mistral 3” yang dibangunkan oleh MBDA.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE 

 

Dalam masa tujuh tahun, Filipina telah memperolehi empat buah kapal perang moden bagi tentera lautnya, manakala kita masih lagi menunggu kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama.

Perolehan aset-aset baru oleh Tentera Laut Laut Filipina telah berjaya mengurangkan panggilan-panggilan nakal oleh pemerhati ketenteraan antarabangsa suatu ketika dahulu yang menggelar Filipina sebagai “tentera laut usang” di Asia Tenggara berikutan kapal-kapal tentera lautnya yang telah berusia.

Apakah kita telah menggantikan Filipina sebagai “tentera laut usang” di rantau Asia Tenggara?? — DSA

featuredFilipinaHyundaiKorvetTentera Laut Usang
Comments (0)
Add Comment