(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina bercadang untuk memohon pinjaman jangka panjang daripada Amerika Syarikat membolehkannya membiayai perolehan 20 buah pesawat pejuang F-16 baru dianggarkan bernilai US$5.58 billion (RM26.4 billion) dan beberapa sistem persenjataan yang lain.
Bercakap kepada media Filipina, duta negara itu ke Amerika Syarikat Jose Manuel Romualdez berkata Jabatan Pertahanan Filipina akan memulakan rundingan berkenaan isu dengan rakan sejawat Amerika Syarikat mereka.
“Kami sedang meneliti kemungkinan untuk mendapatkan pinjaman jangka panjang daripada Amerika Syarikat,” kata beliau.
Beliau berkata, Filipina berhasrat untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 baru yang akan diterima secara berperingkat, sebagaimana penghantaran 10 buah helikopter Black Hawk yang diperoleh Manila pada tahun 2024.
Helikopter pelbagai guna itu, yang digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan, merupakan sebahagian daripada kontrak perolehan 32 buah helikopter Black Hawk buatan Lockheed Martin di bawah program pemodenan pertahanan Filipina.
Duta Filipina ke Amerika Syarikat itu berkata: “Kelulusan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagi penjualan 20 pesawat F-16 kepada Filipina merupakan satu lagi petanda jelas komitmen Washington terhadap hubungan sekutu yang kukuh, serta pendekatan pentadbiran Trump dalam usaha mengekang ancaman melalui kekuatan ketenteraan.”
Sementara itu beliau juga berkata, pesawat pejuang F-16 yang dirancang untuk diperoleh oleh kerajaan Filipina daripada Amerika Syarikat dijangka boleh mula dihantar secara berperingkat ke kerajaan negara Asia Tenggara itu seawal tahun hadapan.
“Kesemua pesawat (F-16 ditawarkan Amerika Syarikat kepada Filipina) ini adalah baru. Amerika Syarikat telah lama menawarkan blok ini kepada kami. Pesawat pertama dijangka boleh dihantar seawal tahun hadapan atau pada 2027, diikuti dengan penghantaran seterusnya,” kata Romualdez.
Minggu lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan ia telah meluluskan potensi penjualan sebanyak 20 buah pesawat pejuang F-16 kepada Filipina dianggarkan bernilai US$5.58 bilion (kira-kira RM26.4 bilion).
Pakej yang diluluskan itu merangkumi 16 buah varian terkini F-16C Block 70/72 dan empat buah F-16B Block 70/72.
Pengumuman tentang potensi penjualan 20 buah pesawat pejuang F-16 oleh Amerika Syarikat kepada sekutu utamanya, Filipina berlaku hanya beberapa hari selepas lawatan Setiausaha Pertahanan negara itu, Pete Hegseth ke Manila.
Dalam lawatan terbarunya ke Manila, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth berikrar untuk “mengembalikan keupayaan deteren di rantau Indo-Pasifik” susulan ancaman yang menurutnya datang daripada “China Komunis.”
Pengumuman tentang potensi penjualan F-16 kepada Filipina, yang dikeluarkan dalam bentuk pemakluman kepada Kongres Amerika Syarikat oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA), masih belum muktamad.
Bilangan pesawat akhir yang mungkin dibeli oleh Filipina dan nilai keseluruhan lazimnya boleh berubah sepanjang proses rundingan.
Pengumuman ini secara teknikal membuka ruang kepada ahli-ahli Kongres untuk membantah urus niaga tersebut dalam tempoh 30 hari, namun tindakan sebegitu jarang berlaku.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web DSCA, “Cadangan penjualan ini akan menyokong dasar luar dan keselamatan negara Amerika Syarikat dengan membantu memperkukuh keselamatan rakan strategik yang kekal menjadi kuasa penting dalam kestabilan politik, keamanan dan kemajuan ekonomi di Asia Tenggara.”
“Penjualan ini akan meningkatkan keupayaan Tentera Udara Filipina dalam melaksanakan misi pemantauan domain maritim serta sokongan udara rapat, selain memperkukuh keupayaan mereka dalam mengekang sistem pertahanan udara musuh (SEAD) dan serangan udara taktikal.”
“Penjualan ini juga akan mempertingkat keupayaan Angkatan Tentera Filipina dalam melindungi kepentingan serta wilayah penting negara, di samping memperluaskan tahap interoperabiliti dengan angkatan tentera Amerika Syarikat.”
Pakej keseluruhan yang dicadangkan turut merangkumi perolehan 24 buah enjin, 22 radar jenis AESA, serta pelbagai sistem dalaman pesawat.
Ia juga disertakan dengan pelbagai jenis persenjataan, termasuk 112 peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120C-8 atau yang setara, 36 bom berpanduan GBU-39/B Small Diameter Bombs Increment 1 (SDB-1), 40 peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Block II Sidewinder, 32 peluru latihan udara-ke-udara AIM-9X Block II Sidewinder Captive Air Training Missiles (CATM), 60 bom serbaguna MK-82 seberat 500 pound, dan 60 bom serbaguna MK-84 seberat 2,000 pound, serta kelengkapan berkaitan lain.
Turut termasuk dalam pakej penjualan pesawat pejuang F-16 itu kepada Filipina adalah 12 AN/AAQ-33 Sniper Advanced Targeting Pods, 24 Multifunctional Information Distribution System-Joint Tactical Radio Systems, AN/ALQ-254 Viper Shield electronic warfare atau sistem yang ketara, sistem Infrared Search and Track (IRST), sistem Air Combat Maneuvering Instrument (ACMI), pelancar LAU-117 dan LAU-88 Maverick dan lain-lain lagi.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan bahawa urus niaga itu hanya akan dimuktamadkan selepas “Surat Tawaran dan Penerimaan” yang ditandatangani diterima daripada “rakan pembeli.”
— DEFENCE SECURITY ASIA