Luftwaffe Bakal Guna F-35 Block 4 Untuk Bawa Bom Nuklear B-61

Sekiranya benar F-35 bakal melengkapi Tentera Udara Jerman atau "Luftwaffe", ia bakal dipertanggungjawabkan dengan tugas amat berat iaitu membawa bom nuklear dipanggil "B-61" milik Amerika yang disimpan di Jerman.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang F-35 bakal mendapat pelanggan baru selepas agensi berita antarabangsa, Reuters mendakwa kerajaan Jerman bakal memilih pesawat generasi kelima keluaran syarikat Lockheed Martin itu untuk menggantikan pesawat Panavia Tornado yang digunakan oleh Tentera Udara negara itu yang juga dipanggil “Luftwaffe.”

Jika pesawat F-35 itu dipilih oleh kerajaan Jerman, ia bakal mempunyai satu tugas khas yang tidak mampu dilakukan oleh pesawat-pesawat pejuang lain negara itu,  iaitu membawa bom-bom nuklear Amerika Syarikat yang disimpan di Jerman sejak tahun 80-an, sekiranya berlaku konflik nuklear di benua tersebut.

Dipercayai kira-kira 20 butir bom nuklear “B-61” (thermonuclear gravity bomb) milik Amerika Syarikat disimpan di pangkalan tentera udara Jerman di Buechel yang terletak di negara Rhineland-Palatinate.

Pangkalan udara di Buechel itu turut menempatkan pesawat-pesawat Panavia Tornado milik Luftwaffe.

Selain Jerman, Amerika Syarikat turut menempatkan bom-bom nuklear miliknya di Belgium, Itali, Belanda serta Turki dan sekiranya konflik nuklear berlaku,pesawat-pesawat tentera udara terbabit akan dilengkapi dengan bom-bom nuklear milik Amerika itu untuk mengebom sasaran.  

Pada  ketika ini, hanya pesawat Panavia Tornado milik Tentera Udara Jerman berkemampuan membawa bom-bom nuklear Amerika Syarikat itu, tetapi pesawat yang dibangunkan oleh syarikat Panavia Aircraft GmbH bakal dibersarakan tidak lama lagi.

Syarikat Panavia GmbH itu merupakan konsortium antara British Aerospace daripada Britain, MBB daripada Jerman Barat dan Aeritalia daripada Itali dan mula diterbangkan pada pertengahan tahun 70-an serta diperkenalkan oleh Tentera Udara Jerman Barat pada 1979.

Pentadbiran Jerman pada masa ini mahu menamatkan perkhidmatan 93 buah pesawat Panavia Tornado miliknya yang digunakan khusus untuk tugas-tugas Interdiction/Strike diantara tahun 2025 hingga tahun 2030.

Bom nuklear B-61.

 

Sebab itulah kerajaan Jerman sedang “kelam-kabut” mencari pesawat yang bersesuaian untuk menggantikan pesawat Panavia Tornado, memandangkan pesawat itu mempunyai tugas yang amat kritikal sekiranya berlaku konflik nuklear di Eropah.

Apatah lagi hubungan antara Eropah dengan Russia pada masa ini amat tegang berikutan isu Ukraine, maka tugas mencari pengganti Tornado yang boleh membawa bom nuklear Amerika itu lagi kritikal.

Menurut Lockheed Martin, pesawat F-35 Block 4 berkemampuan membawa bom-bom nuklear B-61.

Panavia Tornado milik Luftwaffe

 

Selain memiliki 93 buah pesawat pejuang Panavia Tornado, Luftwaffe juga dilengkapkan dengan 141 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dikhususkan untuk tugas-tugas Air-To-Air Combat.

Jika benar sebagaimana didakwa bahawa Jerman bakal menjadi pelanggan terbaru pesawat F-35,ia bakal mengecewakan sesetengah pihak yang mahu melihat negara itu meneruskan langkah melengkapkan tentera udaranya dengan pesawat-pesawat pejuang “buatan Eropah.”

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

Pesawat-pesawat pejuang Panavia Tornado dan Eurofighter Typhoon adalah pesawat yang dibangunkan secara bersama oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah.

Pemilihan F-35 itu bakal memecah dominasi itu dan meningkatkan lagi “penguasaan” pesawat halimunan di benua Eropah selepas beberapa negara Eropah seperti Switzerland,Norway,Finland dan terbaru Romania turut memilih pesawat keluaran Lockheed Martin itu.

— DSA

F-35featuredJermanTornado