(VIDEO) Empat Pesawat Pengebom Russia, China Terbang Hampiri Ruang Udara Amerika

(VIDEO) Pegawai-pegawai North American Aerospace Defense Command (NORAD) menyatakan bahawa ini adalah pertama kali mereka mengesan dan memintas pesawat-pesawat pengebom Tu-95 “Bear” milik Russia dan H-6 “Xian” milik China ketika mereka beroperasi bersama-sama di ruang udara berhampiran Alaska.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, North American Aerospace Defense Command (NORAD) telah mengesan dan memintas empat buah pesawat pengebom daripada Russia dan China yang beroperasi secara bersama di ruang udara berhampiran Alaska.

Pegawai-pegawai NORAD menyatakan bahawa ini adalah pertama kali mereka mengesan dan memintas pesawat-pesawat pengebom Tu-95 “Bear” milik Russia dan H-6 “Xian” milik China ketika mereka beroperasi bersama-sama di ruang udara berhampiran Alaska.

Kedua-dua pesawat pengebom milik Russia dan China itu berkemampuan membawa pelbagai persenjataan termasuk bom-bom dan peluru berpandu nuklear.

Tidak jelas sama ada pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu membawa sebarang sebarang senjata ketika mereka beroperasi bersama di ruang udara berhampiran Alaska, yang merupakan wilayah milik Amerika Syarikat.

NORAD telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang termasuk F/A-18 Hornet daripada Tentera Udara Kanada dan F-35 serta F-16 daripada Tentera Udara Amerika Syarikat untuk memintas dan mengiringi pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu.

Kementerian Pertahanan Russia telah mengeluarkan video memaparkan pesawat-pesawat pengebom negara itu dan China telah dihampiri oleh pesawat-pesawat pejuang Tenera Udara Kanada dan Amerika Syarikat ketika berada di dalam ruang udara ADIZ Alaska. (VIDEO DIBAWAH)

Keempat-empat pesawat pengebom Russia dan China itu kekal berada di ruang udara antarabangsa dalam Air Defense Identification Zone (ADIZ) Alaska sepanjang penerbangannya dan tidak dilihat memberikan ancaman, menurut kenyataan daripada NORAD.

Pesawat-pesawat pengebom Russia dan China itu tidak memasuki ruang udara berdaulat (sovereign airspace) Amerika Syarikat dan Kanada.

“Ia adalah kali pertama dalam sejarah pesawat-pesawat pengebom H-6 dariapda China berada di dalam ruang udara ADIZ Alaska,” menurut pegawai-pegawai pertahananan Amerika Syarikat dan Kanada sebagaimana dipetik oleh stesen televisyen kabel CNN.

Bagi pesawat kombat Russia, ini bukanlah kali pertama kali mereka berada di dalam ADIZ Alaska.

Pada Mei lepas, pihak NORAD mengesan empat insiden pencerobohan pesawat-pesawat kombat Russia ke dalam ruang udara ADIZ Alaska.

Alaska merupakan salah sebuah negeri di Amerika yang terletak di wilayah paling utara di benua Amerika Utara manakala perairannnya bersempadan dengan Selat Bering.

Pesawat pengebom Tu-95 Russia dihampiri oleh pesawat pejuang F-35 dan F-16 Amerika Syarikat.

 

Ia adalah wilayah Amerika Syarikat yang terletak paling hampir dengan wilayah Russia, dengan Pulau Diomede Kecil (milik Amerika) hanya terletak kira-kira 4km daripada Pulau Diomede Besar (milik Russia).  

Kementerian Pertahanan China berkata bahawa tentera udara negara itu dan Russia telah melakukan rondaan strategik bersama di ruang udara di Laut Bering sebagai sebahagian daripada kerjasama tahunan sedia ada di antara kedua-dua angkatan tentera.

Menurut jurucakapnya Zhang Xiaogang, ia adalah penerbangan bersama kelapan antara kedua-dua tentera udara sejak 2019 yang mensasarkan untuk terus menguji dan meningkatkan tahap kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Ia juga bertujuan mendalamkan lagi tahap keyakinan strategik dan kerjasama praktikal antara kedua-dua negara.

“Langkah ini tidak mensasarkan mana-mana pihak ketiga, ia adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan amalan antarabangs. Ia tidak akan kena-mengena dengan keadaan semasa antarabangsa dan serantau,” menurut Zhang.

Pada Mac lepas,Ketua NORAD Jeneral Gregory Guillot berkata bahawa operasi ketenteraan China semakin menghampiri kawasan di Artik dan beliau menjangkakan pesawat-pesawat negara itu berpotensi akan berada di Artik pada tahun ini.

Pesawat pengebom Tu-95 “Bear”
Pesawat pengebom H-6 China

 

“Apa yang dapat saya lihat adalah kesediaan dan niat China untuk beroperasi di Artik.”

“Kita telah melihat mereka (China) di aspek maritim. Kita juga telah melihat mereka di bawah operasi kajian teknikal dan saintifik termasuk ketenteraan. Dan saya menjangkakan aktiviti udara di Alaska seawalnya pada tahun ini,” kata beliau.

“Ia adalah suatu kegusaran pada saya.”

China menyifatkan negara itu “near-Artic” dan telah berusaha untuk mengembangkan lagi operasinya di kawasan beku itu bersama-sama Russia. — DSA

 

ChinafeaturedNORADRussia