Empat Eurofighter Typhoon British “Serang Hendap” Dua Pesawat Pejuang Russia di Laut Hitam

Baru-baru ini, media-media pertahanan Russia melaporkan tentang tindakan empat buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah “menyerang hendap” dua buah pesawat pejuang tidak dikenali Russia di ruang udara Laut Hitam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, media-media pertahanan Russia melaporkan tentang tindakan empat buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah “menyerang hendap” dua buah pesawat pejuang tidak dikenali Russia di ruang udara Laut Hitam.

Tindakan “serang hendap” oleh empat buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon terhadap dua buah pesawat pejuang Russia menunjukkan bahawa ruang udara Laut Hitam itu semakin “panas” dan “tegang.”

Laporan media Russia itu menyatakan bahawa Tentera Udara Britain (Royal Air Force) telah mengerahkan pesawat pengintip elektronik RC-135W “Rivet Joint” ke ruang udara Laut Hitam sambil diiringi oleh dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Menurut laporan media, kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force itu mengaktifkan transponder semasa tugasan iringan pesawat pengintip RC-135W itu.

Pesawat RC-135W milik Britain itu adalah pesawat khusus untuk melakukan pengintipan elektronik dan ia boleh dikerahkan ke semua medan untuk melaksanakan misi-misi strategik dan juga taktikal.

Pesawat pengintip elektronik RC-135W

 

Pelbagai sistem penderia yang dibawa oleh pesawat pengintip RC-135W itu membolehkan ia “menyerap” segala bentuk signal elektronik yang dihasilkan daripada sistem-sistem komunikasi, radar dan pelbagai sistem lain.

Laporan media Russia seterusnya menyatakan semasa penerbangan di Laut Hitam itu, kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kemudiannya “berpisah” daripada pesawat pengintip elektronik RC-135W tersebut.

Sebaik sahaja “berpisah” daripada pesawat pengintip elektronik RC-135W itu, dua buah pesawat pejuang Russia yang tidak dikenalpasti jenisnya mula menghampiri pesawat pengintip British itu yang seolah-olah berada di dalam keadaan terasing daripada pesawat-pesawat pejuang yang mengiringinya.

Dalam langkah yang dianggap sebagai bijak, dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon lain yang turut mengiringi pesawat RC-135W British itu tetapi bertindak mematikan transponder mereka telah muncul berhampiran pesawat pejuang Russia itu secara “tiba-tiba.”

Mematikan transponder ketika terbang adalah suatu tindakan taktikal dalam operasi tentera yang membolehkan pesawat itu mengelak daripada dikesan oleh musuh.

Tindakan itu juga meminimakan kesan-kesan elektroniknya, sekaligus menyukarkan lagi radar-radar di darat dan juga udara daripada untuk mengesannya dan menjejakinya.

Su-27 Flanker Russia

 

Bagaimanapun, terbang dengan transponder yang tidak aktif di ruang udara awam menimbulkan risiko pelanggaran kerana pesawat-pesawat awam tidak mengetahui kedudukan sebenar pesawat yang tidak mengaktifkan transponder itu.

Penganalisis pertahanan Barat menyifat tindakan diambil oleh pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu sebagai bijak, kerana dengan empat pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, mereka telah “menghalau” pesawat pejuang Russia daripada terus menghampiri pesawat pengintip elektronik itu.

Mereka menyatakan bahawa tindakan pesawat-pesawat pejuang British itu dianggap seperti “bermain-main” dengan pesawat pejuang Russia.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa terdapat “peningkatan kekerapan” penerbangan pesawat-pesawat pengintip dan dron Amerika serta NATO di ruang udara Laut Hitam.

Ia mendakwa pesawat-pesawat dan dron-dron Amerika serta NATO melakukan kerja-kerja “perisikan dan membidik sasaran” bagi senjata-senjata moden yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine untuk membedil kemudahan-kemudahan Russia.

“Ia menunjukkan peningkatan daripada segi penglibatan Amerika Syarikat dan negara-negara anggota NATO dalam konflik di Ukraine, menyebelahi rejim Kiev,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Peningkatan penerbangan dron-dron dan pesawat perisikan Amerika dan NATO di Laut Hitam itu adalah selari dengan serangan besar-besaran peluru berpandu MGM-140 ATACMS oleh tentera Ukraine terhadap beberapa kedudukan tentera Russia di Crimea.

Menteri Pertahanan Russia telah mengarahkan pegawai-pegawai untuk menyediakan “tindak balas” bagi menangani penerbangan dron-dron Amerika Syarikat dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Amaran oleh Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov itu merupakan suatu mesej jelas bahawa Moscow kini bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO, sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan pertentangan secara langsung antara Russia dan NATO diketuai Washington. — DSA

 

featuredPesawatRussiaTyhoon