Eksesais Panah Jaguh 2/2024 Uji Kesiapsiagaan Lindungi Ruang Udara Negara

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Eksesais Panah Jaguh 2/2024 itu merupakan satu latihan tembakan melibatkan pasukan-pasukan di bawah pemerintahan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Tentera Darat Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pemerintahan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengadakan Eksesais Panah Jaguh (EPJ) Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, Kota Tinggi, Johor hari ini.
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Eksesais Panah Jaguh 2/2024 itu merupakan satu latihan tembakan melibatkan pasukan-pasukan di bawah pemerintahan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Tentera Darat Malaysia.
Ia disertai oleh 82 orang pegawai dan 780 anggota Lain-Lain Pangkat, dikendalikan oleh Panglima GAPU, Brigadier Jeneral Azhar bin Mustapha.
“Melalui eksesais seperti ini, kita berupaya untuk mengukur dan menilai sama ada aset-aset yang kita perolehi benar-benar sesuai dan berkesan, dan sama ada anggota kita mempunyai kemahiran, kompetensi dan keupayaan dalam mengendalikannya.
“Kedua-dua perkara ini cukup penting bagi memastikan segala cabaran dan konflik yang dihadapi oleh negara dalam konteks pertahanan dapat ditangani dengan baik,” menurut beliau dalam posting di dalam akaun FB miliknya.
(kredit Tentera Darat/Kementerian Pertahanan)
(kredit Tentera Darat/Kementerian Pertahanan)
Latihan tembakan ini bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kesiagaan pasukan di bawah Grup Artileri Pertahanan Udara dalam melindungi ruang udara negara.
Aktiviti ini melibatkan pelbagai senjata dan strategi untuk memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi sebarang ancaman.
Dalam Eks Panah Jaguh telah berlangsung sejak 20 Oktober 2024, pelbagai sistem persenjataan seperti meriam 35mm Oerlikon dan Misil Starstreak diuji untuk menilai keupayaan pertahanan udara.
Selain itu, segmen simulasi melibatkan aset-aset taktikal ketenteraan Malaysia diadakan untuk menguji koordinasi dan strategi dalam situasi sebenar, memastikan kesiapsiagaan yang optimum dalam mempertahankan ruang udara negara.
Antara aset-aset utama yang diuji dalam Eks Panah Jaguh termasuk kenderaan perisai Gempita, ACV 300 Adnan, kenderaan G-Wagon Heavy Machine Gun (HMG), GK MK 1 Gatling Gun, General Purpose Machine Gun (GPMG), dan senjata penembak tepat, Barrett.
(kredit Tentera Darat/Kementerian Pertahanan)
(kredit btdm)
(kredit Tentera Darat/Kementerian Pertahanan)
Selain itu, bantuan aset Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu KD Perkasa, Fast Combat Boat (FCB), serta aset Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu pesawat Sukhoi SU-30MKM juga turut menjadi tumpuan, menonjolkan kemampuan pelbagai jenis aset dalam operasi pertahanan.
Latihan tembakan Army Training and Evaluation Program (ARTEP) 31 RAD dan tembakan tahunan sistem persenjataan Artileri Pertahanan Udara (Arti PU) turut dilaksanakan bagi menguji dan meningkatkan kemahiran anggota, serta memastikan kesiapsiagaan operasi sistem persenjataan dalam pelbagai senario pertempuran.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Lokman Hakim Ali dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut hadir. — DSA
Eksesais Panah JaguhfeaturedGAPUMohamed Khaled