Dua Pesawat Pengangkut A400M TUDM Terbangkan 40 Pesakit Warga Palestin Ke Malaysia

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama, kedua-dua pesawat pengangkut strategik TUDM itu dijangka berlepas daripada Pangkalan Udara Al Maza, Mesir membawa 40 orang pesakit warga Palestin itu ke Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerbangkan 40 orang awam Palestin yang tercedera dalam konflik di Gaza dari Mesir ke Malaysia hari ini.

Menurut laporan agensi berita nasional, Bernama, kedua-dua pesawat pengangkut strategik TUDM itu dijangka berlepas daripada Pangkalan Udara Al Maza, Mesir membawa 40 orang pesakit warga Palestin itu ke Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.

Kedua-dua pesawat pengangkut dibangunkan oleh Airbus itu dijangka tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira 9 pagi ini bersama-sama pesakit warga Palestin itu.

Warga Palestin yang cedera itu sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.

Duta Mesir ke Malaysia Ragai Nasr memberitahu Bernama bahawa dua pesawat dan pesakit-pesakit warga Palestin itu dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.

“Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa dua pesawat A-400M milik TUDM telah dihantar ke Mesir untuk membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan perubatan.

TUDM memiliki empat buah pesawat pengangkut strategik A400M, yang mula berkhidmat bermula pada tahun 2015.

TUDM merupakan pelanggan eksport pesawat pengangkut A400M yang pertama serta pelanggan A400M pertama di rantau Asia Pasifik.

Sebagai Fleet Leader, pesawat-pesawat A400M TUDM sering dirujuk dikalangan pengguna-pengguna pesawat pengangkut A400M. 

Menurut Duta Mesir ke Malaysia itu, berkata pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri Anwar,” katanya sambil memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia.

Pada 4 Ogos lepas, Anwar mengumumkan bahawa Kuala Lumpur akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.

Menurut laporan media, hampir 40,000 warga Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 92,000 lagi cedera.

Menurut Nasr, Mesir kini menempatkan lebih 70,000 warga Palestin di 40 hospital.

Beliau memberi jaminan bahawa Mesir akan terus memberi sokongan terhadap sebarang permintaan masa depan dari Malaysia.

“Kami akan meneruskan bantuan ini, apa sahaja yang diminta oleh Malaysia pada masa hadapan,” katanya. — DSA

A400MfeaturedPalestinTUDM
Comments (0)
Add Comment