Dron MQ-9 Reaper Ke-14 Milik Tentera Amerika Ditembak Jatuh oleh Kumpulan Houthi Yemen

Jurucakap kumpulan bersenjata kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree berkata dron MQ-9 Reaper yang ke-14 itu ditembak jatuh ketika ia “melaksanakan misi mengancam keselamatan Yemen” di wilayah Marib.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dron canggih MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat yang ke-14 telah ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi hari ini.
Kumpulan bersenjata Houthi Yemen mendakwa ia telah berjaya menembak jatuh dron canggih MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat yang ke-14 hari ini, hanya beberapa hari selepas ia menembak jatuh dron yang ke-13.
Jurucakap kumpulan bersenjata kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree berkata dron MQ-9 Reaper yang ke-14 itu ditembak jatuh ketika ia “melaksanakan misi mengancam keselamatan Yemen” di wilayah Marib.
Beliau berkata dron canggih milik Amerika Syarikat yang dianggarkan bermilai US$30 juta sebuah (RM134 juta) ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu Saqr 358 yang didakwanya adalah buatan tempatan.
Sejak Oktober tahun lepas, Tentera Amerika Syarikat telah kehilangan 14 buah dron MQ-9 Reaper yang dianggarkan bernilai US$420 juta (RM1.85 billion) akibat ditembak jatuh oleh pejuang-pejuang kumpulan bersenjata Houthi.
Ia adalah suatu kerugian yang amat besar bagi pihak tentera Amerika Syarikat apabila 14 buah dron canggih MQ-9 Reaper miliknya ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi.

Pada Sabtu lalu, Tentera Udara Amerika Syarikat telah kehilangan dron MQ-9 Reaper ke-13 miliknya selepas ia ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi Yemen di wilayah Bayda, Yemen.
Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial, selain mencari sasaran di kawasan daratan Yemen.
Dron MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan komponen elektronik yang sensitif.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.
Dron MQ-9B Reaper
Sebagaimana dinyatakan oleh kumpulan Houthi,dron MQ-9 Reaper ke-14 milik Amerika Syarikat itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dwi-mod Saqr-358.
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.
Versatiliti dan keberkesanan peluru berpandu dwi-mod canggih Iran itu menyebabkan “Saqr 358” menjadi senjata pilihan kepada kumpulan-kumpulan proksi Iran di Timur Tengah untuk menangani dron-dron musuh.
Ia memberikan kumpulan-kumpulan itu kemampuan untuk menganggu dan menangani keupayaan pengintipan serta pengawasan oleh pihak musuh terutamanya terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.
Dwi-mod”Saqr 358″
Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.
Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.
Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.
Peluru berpandu dwi mod itu juga dilihat telah menyertai beberapa perarakan oleh tentera Iran yang memaparkan “Saqr 358.” — DSA

AmerikafeaturedHouthiMQ-9 Reaper
Comments (0)
Add Comment