(VIDEO) Dron “Akinci” Turkiye Lukis Bulan Sabit, Bintang Selepas Kejayaan di Iran

(VIDEO) Selepas menemui sumber haba yang membawa kepada penemuan bangkai helikopter malang Bell 212 yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi, pesawat tanpa pemandu “Akinci” telah “melukis” Bulan Sabit dan Bintang ketika dalam penerbangan pulangnya ke Turkiye selepas mencapai “kejayaan” di Iran.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas menemui sumber haba yang membawa kepada penemuan bangkai helikopter malang Bell 212 yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi, pesawat tanpa pemandu “Akinci” telah “melukis” Bulan Sabit dan Bintang ketika dalam penerbangan pulangnya ke Turkiye selepas mencapai “kejayaan” di Iran.

“Lukisan” bulan sabit dan bintang oleh “Akinci” sebagaimana terdapat pada bendera Turkiye itu melambangkan kejayaan teknologi dron Turkiye dalam usaha mencari dan menyelamat helikopter malang itu yang turut membawa Menteri Luar Iran Amir Abdollahian dan tujuh mangsa yang lain.

Helikopter yang membawa Raisi, Abdollahian dan tujuh mangsa yang lain sebelum itu telah terhempas di Pergunungan Jofa di East Azerbaijan di Iran, menyebabkan kematian kepada kesemua penumpang itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Turkiye, “Menerusi permintaan yang dibuat oleh pihak berkuasa Iran melalui Kementerian Luar, pesawat tanpa pemandu Akinci dan helikopter dilengkapi alat pandang malam telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat helikopter dinaiki Presiden Ebrahim Raisi dan delegasinya.”

Pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance (MALE) “Akinci” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar Technology menghabiskan masa beberapa jam meninjau ruang udara di kawasan pergunungan itu pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca yang buruk untuk mencari apa-apa tanda berkaitan dengan helikopter yang malang itu.

Syarikat Baykar Technology yang turut sama membangunkan sebuah lagi dron terkenal “Bayraktar TB02” itu dimiliki oleh Selcuk Bayraktar, iaitu menantu kepada Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan.

Pada waktu yang sama, penerbangan pesawat tanpa pemandu itu dengan callsign “AKINCI01” menjadi pesawat paling ramai dijejaki dalam dunia pada ketika itu, dengan lebih 3 juta orang menjejaki penerbanganya dari Turkiye ke Iran dan kepulangannya menerusi aplikasi penjejak pesawat seperti Flight Radar dan juga oleh livestream operasinya.

Menurut laporan di dalam media-media sosial, pesawat tanpa pemandu itu menghabiskan masa lebih daripada tujuh jam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat helikopter malang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran.

Pesawat tanpa pemandu “Akinci” itu menemui sumber haba (heat source) di kawasan pergununga itu pada awal pagi, ia telah menyalurkan koordinat sumber haba itu kepada kepada pasukan mencari dan menyelamat Iran di daratan yang seterusnya membawa kepada penemuan lokasi helikopter malang dinaiki Raisi, Abdollahian dan mangsa-mangsa yang lain.

Ketika ditemui oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat Iran, bangkai helikopter Bell 212 dinaiki Raisi dan penumpang yang lain berada di dalam keadaan terbakar dan penumpangnya berkemungkinan telah pun meninggal dunia.

Walaupun tumpuan seluruh dunia pada ketika itu adalah terarah kepada kemalangan yang menimpa helikopter membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu serta usaha mencari dan menyelamatnya, namun pada masa yang sama ia turut menonjolkan kemampuan Turkiye dalam sistem pesawat tanpa pemandunya.

“Akinci”

 

Sistem pesawat tanpa pemandu keluaran syarikat-syarikat Turkiye terutamanya Bayrak Technology dan Turkish Aerospace Industries (TAI) telah membuktikan keberkesannya bukan sahaja di dalam negara, Turkiye tetapi juga di pasaran eksport.

Banyak daripada sistem pesawat tanpa pemandu keluaran Turkiye telah mencapai kejayaan eksport termasuklah di Malaysia yang telah pun memperolehi pesawat tanpa pemandu “ANKA” MALE.

Dengan berat maksimum ketika berlepas pada 6 tan, dron Akinci yang hanya melakukan penerbangan sulungnya pada 2019 itu boleh terbang setinggi 40,000 kaki dengan ketahanan operasi lebih daripada 24 jam.

Dron Akinci boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem penderia dan elektronik termasuk electro-optic/infrared/laser designation (EO/IR/LD) sensor, multi-mode active radar Electronically Scanned Array (AESA) dan sistem Signal Intelligence (SIGINT).

Dengan segala peralatan ini, Akinci berkemampuan tinggi untuk melaksanakan misi-misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) dengan berkesan.

Selain untuk tugas-tugas ISR, dron Akinci juga boleh membawa muatan kira-kira 1.5 tan termasuk bom dan peluru berpandu.

“Akinci”

 

Antara peluru berpandu yang boleh dibawa oleh dron MALE itu termasuklah Mini Smart Munition MAM-L, MAM-C, roket CIRIT, peluru berpandu UMTAS, Bozok, JDAM, peluru berpandu udara-ke-udara Gokdogan dan Bozdogan serta peluru berpandu stand-off, SOM.

Pada Julai tahun lepas,  Arab Saudi dilaporkan berkemungkinan membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi pesawat tanpa pemandu “Akinci” MALE keluaran Turkiye itu.

Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.

Perjanjian “pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye” itu telah ditandatangani ketika Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan melawat Arab Saudi.

Baykar Technology telah mengeksport dron Bayraktar TB2 kepada 30 buah negara di seluruh dunia, namun bagi  dron Akinci, syarikat itu telah berjaya menjual dron yang baru dibangunkannya itu kepada angkatan tentera Turkiye, Pakistan dan Libya setakat ini.

Arab Saudi akan hanya menjadi negara keempat yang memperolehi dron Akinci.

Angkatan Tentera Turkiye telah menggunakan dron Akinci dalam misi-misi memburu anggota kumpulan pengganas, PKK serta kumpulan pengganas di Syria.

Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam satu ciapan dalam akaun Twitter beliau sebelum ini berkata, perolehan dron buatan Turkiye itu adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan angkatan tenteranya dan kemampuan pembuatan senjata negara itu.

Dalam satu lagi ciapan menerusi akaun Twitternya, ketua pegawai eksekutif Baykar Tech Haluk Bayraktar berkata pembelian oleh Arab Saudi itu merupakan “kontrak terbesar pertahanan dan aeroangkasa di dalam sejarah Republik Turkiye.”

Syarikat Baykar Tech juga menyatakan bahawa kontrak itu melibatkan produksi bersama dan pemindahan teknologi. — DSA

AkincifeaturedIranTurkiye