Dengan Mata Tertumpu Kepada China, Filipina dan Jepun Tandatangani Perjanjian Pertahanan

Untuk menghadapi China dan tindakan agresif tenteranya di Laut China Selatan, Filipina dan Jepun telah menandatangani perjanjian pertahanan yang membenarkan kedua-dua negara itu menempatkan anggota tentera masing-masing di kedua-dua negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Untuk menghadapi China dan tindakan agresif tenteranya di Laut China Selatan, Filipina dan Jepun telah menandatangani perjanjian pertahanan yang membenarkan kedua-dua negara itu menempatkan anggota tentera masing-masing di kedua-dua negara.

Perjanjian pertahanan di antara Filipina dan Jepun dipanggil “Reciprocal Access Agreement” itu telah ditandatangani oleh Menteri Luar Jepun Yoko Kamikawa dan Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro di Manila sambil disaksikan oleh Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

Bagaimanapun, perjanjian pertahanan di antara Manila dan Tokyo itu perlu diratifikasi oleh kedua-dua negara sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Dibawah perjanjian itu, anggota tentera Jepun dibenarkan untuk dikerah di Filipina dibawah latihan tentera bersama manakala anggota tentera Filipina pula dibenarkan pula untuk menjalani latihan tentera di Jepun.

Pemerhati serantau menjangkakan selepas perjanjian pertahanan itu, Filipina dan Jepun bakal mengadakan lebih banyak latihan tentera bersama serta memungkinan Tokyo menempatkan anggota tenteranya di negara Asia Tenggara itu di atas dasar “penggiliran” (rotational).

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

 

Kedua-dua negara yang merupakan sekutu tegar Amerika Syarikat di Asia  mencapai persetujuan untuk menandatangani perjanjian pertahanan itu kerana bimbang dengan sikap agresif tentera China di Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

Beijing mendakwa sebahagian besar daripada perairan Laut China Selatan yang penting untuk perdagangan dunia sebagai miliknya.

Kawasan perairan Laut China Selatan yang didakwa Beijing sebagai miliknya, termasuklah perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia yang kaya dengan sumber-sumber perikanan dan minyak serta gas.

Penghakiman yang dibuat oleh tribunal antarabangsa di The Hague, Belanda pada 2016 mendapati dakwaan China bahawa sebahagian besar daripada Laut China Selatan itu miliknya “tidak mempunyai asas perundangan.”

Kapal-kapal dan anggota pengawal pantai serta tentera laut China dan Filipina telah terlibat dalam beberapa konfrontasi di kawasan perairan bertindih, termasuk insiden pada bulan lepas pada bulan lepas di mana anggota pengawal pantai China menaiki bot serta bersenjatakan pisau dan tombak bertindak merempuh bot milik Filipina yang sedang menghantar bantuan.   

Bagi Jepun pula, ia juga berhadapan tuntutan bertindih dengan China berkaitan pemilikan Kepulauan Senkaku yang terletak di antara Taiwan dan Okinawa.

Dibawah pimpinan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Tokyo telah berusaha untuk memodenkan dan meningkatkan kemampuan tenteranya termasuk menerusi perjanjian akses tentera dengan Australia dan United Kingdom.

Presiden Filipina mengkritik tindak-tanduk Beijing di Laut China Selatan dan memberi amaran bahawa negara Asia Tenggara itu akan menyifatkan sebarang kematian warga Filipina ditangan China sebagai hampir kepada tindakan membawa kepada peperangan (act of war).

Selain perjanjian pertahanan dengan Jepun, Manila juga mempunyai perjanjian pertahanan dengan Amerika Syarikat yang menghendaki Washington memberikan bantuan ketenteraan kepadanya jika ia “diserang” oleh Beijing.

Amerika Syarikat juga diberikan akses kepada sembilan buah pangkalan tentera udara dan laut Filipina untuk menempatkan peralatan dan anggotanya.

Kapal destroyer kelas-Mogami Jepun.

 

Manila juga mempunyai perjanjian pertahanan dengan Australia dan dilaporkan sedang menimbang kemungkinan untuk menandatangani perjanjian pertahanan dengan Perancis.

Filipina terutamanya di kawasan utara negara itu adalah amat strategik kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dengan Taiwan.

Pada April lepas, pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat, Jepun dan Filipina telah mengadakan sidang kemuncak bersama mereka di Washington, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama tentera sesame mereka.

Sidang kemuncak itu diadakan tidak lama selepas ketiga-tiga negara itu termasuk Australia menganjurkan latihan tentera di Laut China Selatan. — DSA

featuredFilipinaJepunpertahanan
Comments (0)
Add Comment