Delegasi Pegawai Kanan Russia Dalam Perjalanan Ke Algeria. Pasaran Eksport Pertama Su-57 ??
Jika maklumat yang dikongsi oleh saluran Telegram "Russian Arms" itu adalah tepat,maka Algeria akan menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang Su-57 keluaran Russia itu dan negara Afrika pertama mengoperasi pesawat pejuang generasi kelima.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Delegasi pegawai-pegawai kanan Russia dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Algeria, berkemungkinan untuk memuktamad rundingan pembelian pesawat pejuang generasi kelima Su-57 untuk negara Afrika Utara itu.
Jika maklumat yang dikongsi oleh saluran Telegram “Russian Arms” itu adalah tepat,maka Algeria akan menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang Su-57 keluaran Russia itu dan negara Afrika pertama mengoperasi pesawat pejuang generasi kelima.
Menurut saluran Telegram itu, delegasi pegawai kanan Russia itu akan memuktamad kerjasama teknikal-ketenteraan kedua-dua negara, meterai kontrak penjualan sistem persenjataan canggih serta kontrak penjualan pesawat pejuang Su-57.
Algeria merupakan antara pasaran utama bagi sistem persenjataan Russia di benua Afrika selama ini, hanya dibelakang India.
Tentera Udara Algeria mengoperasikan beberapa pesawat pejuang utama yang dikeluarkan oleh Russia termasuk Su-30MKA, MiG-29 dan Su-24.
Negara Afrika Utara itu telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang Su-57 sejak beberapa tahun lepas, dengan laporan media sebelum ini mendakwa bahawa Tentera Udara Algeria mahu memperolehi sejumlah 14 buah pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
Pada 2020, laporan media menyatakan bahawa kerajaan Algeria telah memperuntukan sejumlah wang untuk perolehan sistem-sistem persenjataan moden dibawah program permodenan angkatan tenteranya untuk tempoh 2021 hingga 2027.
Diantara sistem persenjataan moden yang akan diperolehi oleh Algeria dibawah program permodenan angkatan tenteranya adalah pesawat pejuang Su-57.
Perolehan pesawat pejuang Su-57 oleh Algeria itu dikatakan adalah sebagai langkah menangani tindakan negara jirannya, Maghribi yang memperolehi pesawat pejuang F-16 Block 70/72 daripada Amerika Syarikat.
Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Maghribi yang mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Israel juga bercadang memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Ketika pameran aeroangkasa Airshow 2024 di Zhuhai, China pada November tahun lepas, Russia telah mengumumkan kontrak pertama bagi Su-57E Felon, varian eksport pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan oleh firma pembuat pesawat Sukhoi.
Pengumuman itu dibuat oleh Alexander Mikheev, Ketua Pegawai Eksekutif Rosoboronexport, agensi eksport senjata milik kerajaan Russia,namun beliau enggan mendedahkan identiti negara luar pertama yang membeli pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
“Kita telah menandatangani kontrak (penjualan kepada pelanggan asing) yang pertama,” katanya dan menambah bahawa minat terhadap pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia itu adalah tinggi.
Walaupun identiti pembeli masih dirahsiakan, terdapat spekulasi bahawa Algeria akan menjadi pelanggan eksport pertama.
Jumlah pesawat yang terlibat belum diketahui, namun pada tahun 2019 semasa lawatan delegasi tentera Algeria ke Pameran Penerbangan dan Angkasa Antarabangsa Moscow (MAKS), dilaporkan bahawa Algeria akan memperoleh 14 pesawat pejuang Su-57 itu.
Mengikut laporan awal, penghantaran pertama 14 pesawat pejuang Su-57 itu dijangka bermula selepas tahun 2025 sehingga 2027.
Sepanjang dekad lalu, hubungan pertahanan antara Algeria dan Rusia telah berkembang pesat, didorong oleh tumpuan strategik Algeria untuk menaik taraf keupayaan ketenteraannya dan mempelbagaikan sumber persenjataanya dengan sistem terkini.
Antara tahun 2010 dan 2020, Algeria menandatangani kontrak besar untuk platform canggih seperti Su-30MKA dan pejuang MiG-29M/M2, serta kereta kebal utama T-90S yang telah dipertingkatkan.
Russia juga membekalkan Algeria dengan sistem pertahanan udara yang canggih, termasuk S-300PMU-2 dan, baru-baru ini, S-400 Triumf, yang menekankan kepentingan kerjasama mereka.
Perjanjian ini mencerminkan kebergantungan Algeria terhadap kepakaran Russia untuk mengimbangi aset yang dibekalkan NATO di rantau tersebut. — DSA