Cubaan Perancis Promosi Rafale Gagal, Kazakhstan Terima Lebih Banyak Su-30SM Dari Russia

Penghantaran enam buah pesawat pejuang Su-30SM itu kepada Tentera Udara Kazakhstan baru-baru ini juga secara tidak langsung “menutup peluang” negara-negara Barat tertentu yang cuba mengintai peluang untuk memasuki pasaran pesawat pejuang di negara Asia Tengah itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara Asia Tengah, Kazakhstan telah menerima sebanyak enam buah lagi pesawat pejuang Su-30SM sebagaimana yang dilaporkan oleh akaun rasmi Telegram Kementerian Pertahanan negara itu beberapa hari lalu.

Dengan penghantaran terbaru sebanyak enam buah pesawat pejuang Su-30SM, maka ia bermakna Tentera Udara Kazakhstan secara keseluruhannya telah memiliki sebanyak 30 buah pesawat pejuang Su-30SM itu sejak ia mula menerimanya pada tahun 2014.

Penghantaran enam buah pesawat pejuang Su-30SM itu kepada Tentera Udara Kazakhstan baru-baru ini juga secara tidak langsung “menutup peluang” negara-negara Barat tertentu yang cuba mengintai peluang untuk memasuki pasaran pesawat pejuang di negara Asia Tengah itu.

Konflik di antara Russia dan Ukraine telah menyebabkan hubungan di antara Moscow dan Astana menjadi dingin dan ini memberikan peluang kepada beberapa negara Eropah terutamanya Perancis untuk menonjolkan kemampuan industri persenjataanya kepada Kazakhstan.

Perancis mahu meluaskan kuasa dan pengaruhnya di rantau Asia Tengah, seperti di Kazakhstan dan beberapa negara lain di rantau itu.

Pesawat pejuang Tentera Udara Kazakhstan

 

Moscow telah melahirkan “kebimbangannya” tentang usaha negara-negara Barat “memisahkan” Russia daripada negara-negara Asia Tengah terbabit.

Menteri Luarnya Sergey Lavrov dilaporkan berkata bahawa negara-negara Barat cuba “menarik” negara-negara jiran, rakan dan sekutunya daripadanya.

Pada 2021, Perancis berjaya menjual dua buah pesawat pengangkut A400M kepada Kazakhstan, menyusuli penjualan pesawat pengangkut C-295 dan helikopter H145 sebelum itu.

Kejayaan itu dan ditambah pula dengan hubungan dingin antara Astana dan Moscow akibat konflik di Ukraine telah menaikkan semangat Perancis yang kini berusaha keras untuk menarik perhatian Kazakhstan kepada pesawat pejuang Rafale keluaran syarikat Dassault Aviation.

Pada Nov tahun lepas, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah melakukan lawatan rasmi ke Kazakhstan dan Uzbekistan dalam usahanya untuk “menjalin hubungan” yang lebih rapat dengan kedua-dua bekas negara anggota Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun usaha Perancis itu gagal kerana Kazakhstan tetap memilih sistem persenjataan Russia.

Timbalan Panglima Pertahanan Udara dan ketua Jabatan Persenjataan Kazakhstan Yerhan Nildibayev dilaporkan berkata bahawa negara Asia Tengah itu tidak pernah mempunyai perancangan untuk membeli sistem persenjataan daripada Barat.

“Kita tiada perancangan untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale (buatan Perancis). Ia adalah pesawat pejuang yang mahal, jadi kita memilih pesawat pejuang Su-30SM disebabkan nisbah kualiti dan harganya,” menurut beliau.

Kenyataan oleh Nildibayev itu sekaligus menamatkan usaha Perancis yang mahu memasarkan pesawat pejuang Rafale kepada negara-negara Asia Tengah seperti Kazakhstan.

Pada Oktober tahun lepas, kerajaan Kazakhstan telah mengiklankan penjualan 117 buah pesawat pejuang dan pengebom miliknya yang diperolehi ketika negara Asia Tengah itu masih menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet (Soviet Union).

Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom berserta enjin-enjinnya yang mahu dijual oleh oleh negara Asia Tengah itu terdiri daripada MiG-31, MiG-27, MiG-29 dan Su-24 yang dibina ketika ketegangan era Perang Dingin pada 1970-an dan 1980-an.

Kazakhstan mahu menjual pesawat-pesawat pejuang dan pengebom era Kesatuan Soviet itu ia sudah tidak boleh dioperasikan lagi kerana sudah terlalu usang dan usaha memperbaikinya disifatkan tidak ekonomik lagi.

Pesawat pejuang MiG-31 Tentera Udara Kazakhstan

 

Antara pesawat pejuang yang mahu dijual segera oleh Kazakhstan adalah 10 buah pesawat MiG-31 pada harga US$1 juta (RM4.5 juta) untuk kesemua pesawat itu.

Laporan terbaru menyatakan bahawa sebahagian daripada 117 buah pesawat era bekas Soviet milik Kazakhstan telah pun mempunyai pembelinya.

Pembelinya adalah Amerika Syarikat, yang dilaporkan telah membeli 81 daripada 117 buah pesawat pejuang yang telah diiklankan pada harga purata US$20,000 (RM95,000) bagi setiap sebuah pesawat yang dibeli itu atau sekitar US$2.26 juta (RM10.7 juta) secara keseluruhannya.

Pembelian pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Kazakhstan itu dilakukan oleh syarikat pesisir (offshore company).

Setakat ini tidak diketahui motif utama disebalik keputusan Amerika Syarikat membeli pesawat-pesawat kombat usang itu, tetapi banyak pihak membuat spekulasi bahawa pesawat-pesawat dibeli Amerika itu akan dipindahkan kepada Ukraine.

Tentera Udara Ukraine masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang dan pengebom yang dibuat ketika era Kesatuan Soviet. — DSA

featuredKazakhstanPerancisSu-30SM
Comments (0)
Add Comment