(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pencarian pesawat pejuang kedua untuk Tentera Udara Brazil (FAB) berkemungkinan membawa negara Amerika Selatan itu kepada pesawat pejuang J-10 buatan buatan syarikat China, Chengdu Aircraft Corporation.
Menurut media Brazil, Veja, kerajaan China dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada Brazil untuk membekalkan pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon”.
Namun, laporan awal menyatakan bahawa rundingan kedua-dua negara tersebut tidak menunjukkan sebarang kemajuan atas sebab yang tidak dijelaskan.
Pesawat utama bagi Tentera Udara Brazil pada ketika ini adalah JAS39 Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Saab dariapda Sweden.
Pada tahun 2014, Brazil telah menandatangani kontrak dengan Saab, untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Gripen, di mana lapan daripadanya telah dihantar ke Brazil setakat ini.
Saab dan syarikat pengeluar pesawat Brazil, Embraer juga telah memulakan pengeluaran bersama pesawat pejuang Gripen di negara Amerika Selatan itu.
Kini, Brazil menyatakan hasrat untuk meningkatkan kontrak semasa bagi pesawat pejuang Gripen sebanyak 25 peratus.
Pesawat pejuang J-10 merupakan pesawat pejuang bersaiz sederhana yang mula beroperasi pada tahun 2004 dan memiliki ciri-ciri yang setanding dengan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon buatan konsortium empat buah negara Eropah.
Pada ketika ini, pasaran eksport tunggal bagi pesawat pejuang J-10C adalah Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.
Pada 2022, Pakistan mengesahkan bahawa ia telah memperolehi 25 buah pesawat pejuang J-10C bagi bersaing dengan perolehan 36 buah pesawat pejuang Rafale oleh jirannya, India.
Minat negara-negara luar terhadap pesawat pejuang J-10C terus berkembang selepas pembelian oleh Pakistan dengan Bangladesh baru-baru ini dilaporkan bakal menjadi negara kedua di rantau Asia Selatan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China, selepas Dhaka menunjukkan minat untuk memperolehi pesawat pejuang itu.
Sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan negara itu, Tentera Udara Bangladesh dilaporkan berminat untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang J-10C itu.
Panglima Tentera Udara Bangladesh Marshal Udara Hasan Mahmud Khan dilaporkan berkata bahawa negara itu perlu meningkatkan kemampuan tentera udaranya.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memperoleh pesawat pejuang pejuang dan helikopter penyerang,” menurut beliau, sebagaimana dipetik oleh media tempatan tentang minat Tentera Udara Bangladesh untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C.
Selain Bangladesh, Mesir juga dilapor telah memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab.
Pesawat pejuang J-10C dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.
Azerbaijan juga dilaporkan telah menunjukkan minatnya terhadap pesawat pejuang J-10C, dengan Panglima Tentera Udaranya telah melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang itu ketika pameran Airshow China di Zhuhai baru-baru ini.
Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA) bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
Pemerhati pertahanan antarabangsa mengatakan bahawa pesawat J-10 buatan China tidak jauh bezanya daripada pesawat F-16 Amerika Syarikat tetapi menampilkan DNA daripada program pesawat Lavi yang kemudiannya dibatalkan oleh Israel.
Varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” dilengkapi dengan sistem terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Peluru berpandu PL-15 itu juga didakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM.”
Pesawat J-10C itu juga dikatakan menggunakan enjin keluaran syarikat tempatan China dipanggil “WS-10C” dan bukan enjin Saturn AL-31F yang dibangunkan oleh Russia bagi mengelak kompleksiti dalam penjualan pesawat itu kepada Pakistan. — DSA