China Tawar Kapal Destroyer Type 052D Pada Harga Murah Jika Indonesia Beli Kapal Selamnya

Menurut portal pertahanan antarabangsa, Janes, tawaran penjualan kapal destroyer Type 052D pada harga diskaun itu adalah usaha terkini dari syarikat pembuat kapal China State Shipbuilding Corporation (CSSC) untuk memastikan Indonesia membeli kapal selam S26T keluaran mereka itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan telah manawarkan kapal perang destroyer Type 052D kepada Indonesia pada harga yang murah sekiranya negara Asia Tenggara itu bersetuju untuk membeli kapal selam S26T kelas-Yuan yang sebelum ini sepatutnya dibeli oleh Thailand.

Menurut portal pertahanan antarabangsa, Janes, tawaran penjualan kapal destroyer Type 052D pada harga diskaun itu adalah usaha terkini dari syarikat pembuat kapal China State Shipbuilding Corporation (CSSC) untuk memastikan Indonesia membeli kapal selam S26T keluaran mereka itu.

Laporan tentang tawaran kapal destroyer Type 052D itu muncul ketika CSSC dilapor mengadakan mesyuarat kedua dengan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan Indonesia untuk membincangkan tawaran penjualan kapal selam S26T kelas-Yuan itu.

Menurut laporan oleh Janes, mesyuarat kedua itu berlangsung pada 4 Julai lalu di Jakarta.

Dalam mesyuarat itu CSSC turut menawarkan kepada Indonesia pakej modifikasi kapal selam S26T kelas-Yuan bagi melancarkan peluru berpandu kruis anti-kapal YJ-18.

Kapal selam kelas Yuan S26T buatan China sebagaimana yang sepatutnya diperolehi oleh Thailand.

 

Minggu lepas, pegawai-pegawai kanan daripada syarikat CSSC dilaporkan telah berkunjung ke Jakarta dalam usaha mereka untuk menjual kapal selam diesel-elektrik S26T yang pada mulanya dipesan oleh Thailand kepada Indonesia.

Pegawai-pegawai syarikat CSSC itu mahu menerangkan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa kapal selam S26T itu masih boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Indonesia.

Syarikat CSSC itu sepatutnya menjual kapal selam S26T kelas-Yuan itu kepada Thailand tetapi penjualan itu dibatalkan selepas rundingan sekian lama antara kedua-dua negara akibat masalah enjin.

Menurut laporan Janes sebelum ini, pegawai-pegawai syarikat pembuat kapal China memberikan jaminan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa mereka tidak akan berhadapan dengan sekatan ekport sebagaimana dihadapi oleh pelanggan mereka sebelum ini, Tentera Laut Diraja Thailand.

Pegawai-pegawai syarikat China itu menyatakan bahawa mereka mampu melengkapkan kapal selam S26T itu dengan enjin daripada vendor-vendor pilihan pelanggan mereka termasuk daripada syarikat pembuat enjjin Jerman, MTU.

Selain itu, kapal selam S26T yang ditawarkan kepada Indonesia itu juga akan dilengkapkan dengan sistem Air Independent Propulsion (AIP).

Kapal selam S26T kelas-Yuan China

 

Thailand sepatutnya menerima sebuah kapal selam yang dibuat oleh China pada tahun ini, tetapi bertindak membatalkan pesanan itu selepas Beijing gagal memenuhi permintaan Bangkok supaya kapal selam negara Gajah Putih buatan China itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat Jerman.

 Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion) dan dijangka menerima sama ada tahun ini atau tahun depan.

Kapal selam buatan China yang sepatutnya diterima oleh Thailand itu dikatakan telah 50 peratus siap.

Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.

Type 052D

 

Sebagai jalan penyelesaian,  Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

China dilaporkan bersetuju untuk menggantikan kapal selam yang sepatutnya dibekalkan kepada negara Asia Tenggara itu dengan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda.

Menurut sumber Tentera Laut Thailand kepada Bangkok Post sebelum ini, China telah pun bersetuju untuk membekalkan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda sebagai ganti kepada kapal selam yang sepatutnya ia bekalkan kepada Thailand. — DSA

 

featuredIndonesiaKapal SelamType 052D
Comments (0)
Add Comment