China Kerah 18 Pesawat Ke Taiwan, Provokasi Berterusan

(Defence Security Asia) — Dalam satu lagi insiden provokasi terhadap Taiwan, Beijing telah mengerah 18 buah pesawat pejuang ke pulau itu semalam, ketika seorang diplomat kanan Amerika Syarikat sedang melakukan lawatan.

Pesawat-pesawat China itu  sempat melintasi garisan median Selat Taiwan yang memisahkan China dengan Taiwan.

Aset tentera Beijing itu turut dilaporkan menceroboh Zon Pertahanan Udara (ADIZ) di selatan Taiwan.

 

Menurut Kementerian Pertahanan Kebangsaan Taiwan, kerahan 18 buah pesawat pejuang pelbagai jenis oleh China itu adalah yang paling banyak berbanding insiden-insiden yang berlaku sebelum ini.

Ia menunjukkan ketegangan yang semakin memuncak di antara Beijing yang masih menganggap Taiwan sebagai sebuah wilayah miliknya.

“Pesawat-pesawat yang menceroboh itu dikenalpasti sebagai pesawat pengebom H-6 sebanyak dua buah, lapan buah pesawat J-16,  empat pesawat J-10 dan empat pesawat J-11.”

“Mereka telah memasuki garisan median di Selat Taiwan dan menceroboh ADIZ Taiwan di selatan,” kata Kementerian Pertahanan Kebangsaan Taiwan di dalam paparan Tweet berbahasa Inggeris.

Pesawat pengebom Xian H-6 yang mempunyai beberapa versi, adalah berdasarkan kepada pesawat pengebom TU-16 buatan Russia yang telah pun dibersarakan daripada perkhidmatan pada awal 1990-an.

China yang membina pesawat pengebom itu secara lesen daripada Russia, telah meningkatkan kemampuannya dan kini bukan sahaja memiliki enjin yang lebih berkuasa, ia juga mampu membawa pelbagai senjata termasuk “stand-off weapon.”

Versi Xian H-6 “N” yang didedahkan kepada awam tidak lama dahulu mampu membawa senjata nuklear seperti Air-Launched Ballistic Missile (ALBM) seperti Dong Feng DF-21D, yang boleh mengenai sasaran sejauh 1,500km jauhnya.

Sebagai reaksi, tentera udara Taiwan telah mengerah pesawat-pesawat pejuangnya untuk memintas gerombolan pesawat China, serta mengaktifkan sistem pertahanan udaranya untuk memantau pergerakan aset tentera Beijing itu.

Menurut akhbar Liberty Times di Taiwan, negara pulau itu terpaksa mengerah pesawat-pesawat pejuangnya sebanyak 17 kali di dalam tempoh empat jam, untuk menghalau pesawat penceroboh yang dihantar oleh Beijing.

Sebuah pesawat F-16 Taiwan berlepas daripada pengkalan udara negara itu dalam satu latihan tentera baru-baru ini. (gambar kredit internet)

Sementara itu jurucakap Kementerian Pertahanan China di Beijing, Ren Guogiang berkata, tindakan tentera negara di Taiwan bertujuan mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah China.

Katanya, apa yang berlaku di Taiwan adalah hal ehwal dalaman China dan menuduh parti pemerintah negara pulau itu “bersubahat”dengan Washington.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinaPesawatProvokasiTaiwanXian H-6