(DEFENCE SECURITY ASIA) – China kini menjadikan lapangan-lapangan minyak dan gas serantau terutamanya yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia, Indonesia dan Vietnam di Laut China Selatan sebagai “sasaran” mereka.
Beijing tidak menghantar kapal-kapal Tentera Lautnya (PLAN) untuk menganggu aktiviti penerokaan minyak dan gas di lapangan-lapangan terbabit yang didakwa sebagai milik mereka di bawah peta “Nine Dash Line” tetapi cukup sekadar mengirimkan kapal-kapal penyelidiknya sambil diiringi oleh kapal pengawal pantai negara itu.
“Penghantaran kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai merupakan taktik yang digunakan oleh China sejak kebelakangan ini.”
“Ini adalah taktik yang sama digunakan oleh Beijing terhadap Vietnam pada akhir 2019 dan Malaysia pada awal tahun 2020,” katanya yang merujuk kepada kehadiran kapal-kapal China di kawasan perairan ZEE negara terbabit dimana aktiviti cari gali minyak dan gas sedang dilaksanakan.
— Pengarah Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) di Centre for Strategic and International Studies di Washington, Greg Polling
Pada akhir Ogos yang lalu, penganalisis Vietnam mengesan kehadiran sebuah kapal penyelidik China, Hai Yang Di Zhi 10 berhampiran dengan lapangan minyak Vietnam yang terletak di perairan ZEE negara itu, “Dai Nguyet”.
Terdapat operator-operator asing terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk mencari gali minyak dan gas di perairan ZEE Vietnam selepas tidak putus-putus diganggu dan diprovok oleh kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China.
Operator-operator asing itu terpaksa membatalkan pelaburan mereka akibat gangguan daripada kapal-kapal China.
Kini taktik China diperluaskan daripada Vietnam kepada Indonesia dan Malaysia.
“Pada pagi 31 Ogos yang lepas, aplikasi Automatic Identification System (AIS) menunjukkan Hai Yang Di Zhi 10 bergerak perlahan-lahan ke kawasan perairan Indonesia dan memasuki Blok Tuna di Laut Natuna di Indonesia dimana pelantar minyak Clyde Boudreaux berada,” kata penganalisis Vietnam itu.
Pelantar itu sedang menggali dua telaga minyak ketika ia dihampiri oleh kapal penyelidik China yang turut diiringi oleh beberapa buah kapal pengawal pantai China.
Dalam satu ketika, kapal penyelidik China hanya berada kira-kira 10 Batu Nautika daripada Clyde Boudreaux.
Kehadiran kapal Hai Yang Di Zhi 10 dan beberapa pengawal pantai China di kawasan ZEE Indonesia di Laut Natuna telah menyebabkan Jakarta menghantar beberapa buah kapal tentera lautnya dan pengawal pantai (BAKAMLA) ke perairan itu untuk memantau aktiviti aset-aset Beijing itu.
Penganalisi pertahanan H.I Sutton berkata, kapal Hai Yang Di Zhi 10 terlibat melakukan kajian saintifik di kawasan perairan di mana Blok Tuna itu terletak.
Menurut Polling lagi, tujuan utama China menganggu operasi cari gali minyak dan gas di perairan EEZ Malaysia, Indonesia dan Vietnam adalah untuk memberi tekanan kepada negara-negara terbabit supaya menghentikan explorasi minyak dan gas itu.
Beijing seolah-olah mempertikaikan hak milik negara-negara tersebut terhadap perairan milik mereka sendiri.
China sebenarnya mahu memaksa negara-negara itu “mempelawa” syarikat-syarikat minyak dan gas China untuk berkongsi-sama hak milik kekayaan lapangan-lapangan itu dengan mereka dengan menjadi operator.
“Mula-mula kapal-kapal pengawal pantai China itu akan menganggu operasi pencarian minyak dan gas dengan harapan untuk memaksa negara-negara tersebut supaya menghentikan operasi itu.”
“Dan jika itu gagal, China akan menghantar kapal-kapal penyelidik milik agensi-agensi negara itu yang dikawal ketat oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu serta bot-bot militia maritimnya untuk melakukan penyelidikan haram,” kata Polling.
Dalam kes ini katanya, kapal Hai Yang Di Zhi 10 melakukan penyelidikan di dalam peta Nine Dash Line dalam satu lagi bukti menunjukkan bahawa China menganggap seluruh perairan di bawah peta Nine Dash Line itu sebagai had sempadan negara itu.
Itu di Indonesia dan Vietnam, manakala di Malaysia pula, sebuah lagi kapal penyelidik China iaitu “Da Yang Hao” dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia pada 24 September lepas dan dikatakan menghampiri kapal Ultra Deepwater Drillship “West Capella” yang sedang beroperasi lapangan minyak laut dalam di perairan ZEE Malaysia berhampiran sempadan maritim dengan Brunei.
Menurut laporan oleh pemerhati Laut China Selatan, @duandang, data daripada aplikasi penjejakan kapal (ship tracking data) menunjukkan kapal penyelidik itu memasuki perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China.
Kapal penyelidik, Da Yang Hao mempunyai panjang 98 meter dan berat 4,800 tan.
“Dengan kelajuan 16 knot dan jarak sejauh 14,000 batu nautika, kapal Da Yang Hao memiliki kemampuan untuk melakukan eksplorasi laut dalam di mana-mana perairan dunia ini,” menurut laporan media China.
Kapal penyelidik, Da Yang Hao ini dimiliki oleh Kementerian Sumber Asli China.