Britain Ikut Jejak Amerika Hantar Pesawat Peninjau, Kapal Perang Ke Israel

Penganalisis pertahanan menyatakan penghantaran aset-aset tentera Amerika Syarikat dan Britain adalah suatu “amaran” kepada Iran supaya tidak sesekali cuba mencampuri konflik yang sedang berlaku pada ketika ini dengan membantu pejuang-pejuang Hamas di Semenanjung Gaza dan Hezbollah di selatan Lubnan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usahanya untuk membantu Israel, Britain akan menghantar pesawat peninjau dan dua buah kapal bantuan (support ship) RFA Lyme Bay serta RFA Argus berserta 100 orang anggota Royal Marines ke perairan negara itu.

Selain membantu Israel, penghantaran aset tentera British itu juga bertujuan menghalang konflik di antara Hamas dan Tel Aviv itu daripada merebak.

Pada ketika ini, Britain telah pun memiliki sebuah kapal perang di perairan timur Mediterranean iaitu HMS Duncan manakala sebuah lagi kapal perang HMS Lancaster bertugas di perairan Teluk Parsi.

Menurut Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, penghantaran aset-aset tentera milik negara itu ke Israel adalah untuk membantu usaha-usaha mengekalkan kestabilan di wilayah itu dan menghalang konflik sedia ada daripada merebak.

Ia juga adalah untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke orang awam.

RFA Argus adalah antara kapal bantuan Britain yang akan dihantar ke Israel.

 

Beliau juga berkata penerbangan pesawat peninjau P-8 Poseidon dan pesawat-pesawat lain akan bermula pada Jumaat bertujuan memantau sebarang cubaan penghantaran senjata kepada pejuang-pejuang Hezbollah oleh Iran dan Russia.

Britain juga meletakkan aset-aset tentera di pangkalan tenteranya di Akrotiri di Cyprus di dalam keadaan berjaga-jaga, pada ketika tentera Israel bakal memulakan operasi darat di Semenanjung Gaza.

Negara itu mengikut jejak langkah Amerika Syarikat yang mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya, USS Gerald R.Ford ke perairan Israel bersama-sama kapal-kapal perang pengiringnya.

Selain USS Gerald R.Ford, Washington juga sedang berkira-kira untuk mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya yang kedua, USS Dwight D.Eisenhower ke perairan Israel.

Kapal pengangkut pesawat kedua itu Amerika Syarikat itu, USS Dwight D. Eisenhower telah pun berada perairan di Timur Tengah dan kini berkemungkinan akan “melencong” menuju ke perairan Israel bagi mengiringi kapal pengangkut pesawat pertama USS Gerald R.Ford.

USS Gerald R.Ford

 

Kedua-dua kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu membawa kira-kira 200 buah pesawat pejuang.

Menurut pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, kehadiran kedua-dua kapal pengangkut pesawat itu adalah untuk menunjukkan sokongan kepada Israel serta sebagai “amaran” kepada mana-mana pihak ketiga yang cuba mencampuri konflik di antara Israel dan Hamas pada ketika.

Penganalisis pertahanan menyatakan penghantaran aset-aset tentera Amerika Syarikat dan Britain adalah suatu “amaran” kepada Iran supaya tidak sesekali cuba mencampuri konflik yang sedang berlaku pada ketika ini dengan membantu pejuang-pejuang Hamas di Semenanjung Gaza dan Hezbollah di selatan Lubnan.

USS Dwight D.Eisenhower

 

Selain menghantar kapal pengangkut pesawatnya ke perairan Israel sebagai tanda sokongan kepada rejim Yahudi itu, Amerika Syarikat juga dilaporkan akan menghantar lebih banyak persenjataan dan peluru kepada Israel dalam tempoh beberapa hari ini untuk membantu tentera negara itu.

Israel dikatakan berhadapan dengan kekurangan peluru dan persenjataan lain selepas ia bertindak menggunakan peluru dan senjata lain daripada simpanan strategiknya untuk membantu Ukraine dalam menghadapi Russia. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaBritainfeaturedIsraelKapalPesawat