Britain Hantar Dua Pesawat AWACS Untuk Lindungi HMS Queen Elizabeth Daripada “Gangguan” Russia

Pada ketika ini, kapal pengangkut British HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya berada di Laut Mediterranean, tidak jauh daripada Pulau Cyprus dan pantai Syria.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan British telah bertindak mengerahkan dua pesawat AWACS E-3D Sentry (Airborne Warning and Control System) ke Laut Mediterranean untuk memberikan “perlindungan radar” kepada kapal pengangkut pesawatnya, HMS Queen Elizabeth (CSG21) dan kapal-kapal pengiringnnya yang sedang beroperasi di perairan itu.

Pada ketika ini, kapal pengangkut British HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya berada di Laut Mediterranean, tidak jauh daripada Pulau Cyprus dan pantai Syria.

British memiliki pangkalan udara di Akrotiri, Cyprus dan kedua-dua buah pesawat AWACS E-3D Sentry British itu dipercayai beroperasi daripada pangkalan udara yang dibina pada Perang Dunia Kedua itu.

Kedua-dua pesawat AWACS Tentera Udara British itu diarahkan segera ke Laut Mediterranean untuk “memberi perlindungan” kepada HMS Queen Elizabeth daripada jangkaan “gangguan” pihak Russia berikutan insiden cemas yang membabitkan kapal destroyer Tentera Laut British,  HMS Defender di perairan Crimea, Laut Hitam minggu lepas.

“Kedua-dua pesawat AWACS milik Royal Air Force dikenali dengan identity ‘NATO 30’ dan NATO 31’ telah berlepas daripada Pangkalan Udara Waddington untuk memastikan ‘ring of steel’ di sekeliling kapal pengangkut pesawat seberat 60,000 tan itu.”

“Kerahan kedua-dua pesawat penting itu kerana Tentera British menjangkakan (akan berlaku) ‘gangguan’ daripada Tentera Russia,” menurut media-media British.

Keadaan di Laut Mediterranean semakin tegang selepas Russia mengerahkan penghantaran pesawat-pesawat pejuang dan pesawat pengebom ke Pangkalan Udara Khmeimim di Syria, beberapa hari selepas insiden membabitkan HMS Defender dengan kapal-kapal peronda serta pesawat pejuang Russia di Laut Hitam tempoh hari.

Russia menuduh kapal British itu menceroboh perairan Crimea miliknya, tetapi dinafikan oleh United Kingdom yang mengatakan HMS Defender belayar di perairan milik Ukraine.

Russia telah mengerahkan dua buah pesawat MiG-31K “Foxhound” yang dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” ke Syria bersama-sama beberapa pesawat pengebom TU-22M “Backfire” dan pesawat peperangan kapal selam (ASW) IL-38.

Ini merupakan kerahan pertama ke Syria bagi pesawat pejuang MiG-31K itu manakala bagi peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” pula,  ia adalah kerahan pertamanya di luar Russia sejak negara itu membangunkan peluru berpandu berkelajuan 10 Mach itu beberapa tahun lepas.

“Khinzal” mampu membedil sasaran sejauh 2,000km.

Pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang MiG-31K dan pengebom Tu-22 sedang terlibat dalam latihan laut bersama beberapa buah kapal yang berpengkalan di Pangkalan Laut Tartus, di Latakia, Syria.

Latihan yang berlangsung di Laut Mediterranean itu turut melibatkan dua buah kapal selam Kilo.

Semalam Russia telah mengeluarkan notis NOTAM (Notice To Airmen) di Laut Mediterranean, berkemungkinan menandakan bahawa kapal-kapal dan pesawat Russia yang sedang menjalani latihan di perairan itu sedang bersiap sedia untuk melancarkan peluru berpandu.

Latihan laut oleh pesawat-pesawat pejuang dan kapal-kapal perang Russia di Laut Mediterranean beserta pelancaran peluru berpandu berhampiran kawasan operasi kapal HMS Queen Elizabeth berpotensi meningkatkan lagi ketegangan antara dua negara kuasa besar dunia itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

BritishHMS Queen ElizabethLaut MediterraneanRAFRussia
Comments (0)
Add Comment