(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Saab Group daripada Sweden telah mula menghantar varian pesawat JAS 39 Gripen termajunya iaitu “Gripen E” yang dikatakan harga per-unitnya mencecah US$85 juta (RM340 juta) kepada Tentera Udara Sweden dan Tentera Udara Brazil.
Tentera Udara Sweden menerima dua buah pesawat Gripen E manakala Tentera Udara Brazil pula menerima enam buah varian pesawat itu yang dikatakan paling canggih dalam keluarga pesawat Gripen.
Pada 2014, Tentera Udara Brazil menempah 36 buah pesawat Gripen E dalam persaingan yang menyaksikan syarikat Saab Group itu menewaskan pesaing lain termasuk Dassault Aviation yang menawarkan pesawat Rafale dan pesawat F/A-18 E/F Super Hornet yang ditawarkan oleh Boeing.
Brazil akan menerima pesawat Gripen E itu di dalam dua konfigurasi iaitu satu tempat duduk sebanyak 28 buah dan lapan buah bagi pesawat dua tempat duduk.
Negara Amerika Selatan yang terkenal dengan pasukan bolasepaknya itu menandatangani dengan syarikat Saab pada 2014 untuk membeli 36 pesawat pejuang Gripen E dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai lebih US$4 bilion.
Selain 36 buah pesawat Gripen E, Brazil turut memperolehi dua buah simulator Gripen E daripada Saab.
Bagi Tentera Udara Sweden pula, ia menempah 60 buah pesawat Gripen E daripada Saab, bagi menambah lebih daripada 100 buah pesawat Gripen daripada varian-varian Gripen terlebih dahulu yang dimilikinya.
Ia juga bercadang untuk menaiktaraf varian-varian pesawat Gripen lebih awal itu kepada varian “Gripen E.”
Menurut syarikat, pesawat Gripen E itu direkabentuk untuk menumpaskan ancaman-ancaman pada masa depan.
Pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan Sweden itu dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronic Scanned Array) jenis “ES-05” yang dibuat oleh firma Selex dan Skayward G Infra Red Search and Track (IRST) juga dibangunkan oleh syarikat Selex.
Bagi sistem persenjataannya, pesawat Gripen E itu membawa pelbagai jenis peluru berpandu seperti Iris-T dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “Meteor”.
Disebabkan kecanggihannya, pemerhati mengatakan pesawat Gripen-E merupakan pesawat MRCA bukan halimunan (non-stealth) yang terbaik di dalam kelasnya, satu pencapaian membanggakan untuk Saab Group dan negara Sweden yang hanya mempunyai 10 juta orang penduduk.
Walaupun rekabentuknya adalah sama dengan varian-varian Gripen A/B, C/D tetapi sebenarnya apa yang terkandung di dalam badan pesawat Gripen E itu adalah amat berbeza di dalam beberapa aspek, sekaligusnya menjadikannya lebih berbahaya.
Antara perbezaan utama antara Gripen-E dengan varian-variannya yang terdahulu adalah daripada segi enjinnya iaitu General Electric F414-GE-39E yang lebih berkuasa berbanding enjin GE F404 yang digunakan oleh varian pesawatnya yang terdahulu.
Pesawat pejuang Gripen-E kini boleh berada di udara lebih lama dan jarak operasinya juga adalah lebih jauh.
Disebabkan enjinnya yang lebih berkuasa dengan 22,000 pound tujahan (thrust), maka berat dan saiz pesawat Gripen E juga bertambah berbanding varian A/B atau C/D.
Antara perbezaan utama antara Gripen-E dengan varian-variannya yang terdahulu adalah daripada segi enjinnya iaitu General Electric F414-GE-39E yang lebih berkuasa berbanding enjin GE F404 yang digunakan oleh varian pesawatnya yang terdahulu.
Pesawat pejuang Gripen-E kini boleh berada di udara lebih lama dan jarak operasinya juga adalah lebih jauh.
Disebabkan enjinnya yang lebih berkuasa dengan 22,000 pound tujahan (thrust), maka berat dan saiz pesawat Gripen E juga bertambah berbanding varian A/B atau C/D.
Sebuah pesawat Gripen-E boleh membawa sehingga tujuh buah peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range “Meteor” yang dibangunkan oleh firma pertahanan MBDA.
Dikatakan sebagai peluru berpandu udara-ke-udara terbaik dunia dan digunakan oleh pesawat-pesawat seperti Eurofighter Typhoon dan Dassault Rafale, peluru berpandu udara-ke-udara BVR “Meteor” yang memiliki kelajuan lebih daripada 4 Mach mampu menembak jatuh sasaran udara lebih daripada 100km jauhnya.
— DEFENCE SECURITY ASIA