(VIDEO) India Uji Peluru Berpandu BrahMos ER (Extended Range). Sasarannya?

(VIDEO) Dengan jarak sejauh 800km, peluru berpandu BrahMos ER itu berkemampuan membedil mana-mana sasaran jauh di dalam wilayah Pakistan dengan mudah, sekaligus menjadikan ia peluru berpandu taktikal yang cukup berbahaya untuk Tentera Pakistan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa minggu lepas, Pakistan telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu Fatah-II yang telah dinaiktaraf dan beberapa jam yang lalu, kapal perang milik seteru utamanya, India pula telah mengadakan ujian pelancaran peluru berpandu BrahMos yang juga telah dipertingkatkan kemampuannya.

Kedua-dua negara yang berkongsi sempadan itu memiliki program pembangunan peluru berpandu konvensional dan nuklear yang moden bagi membolehkan kedua-dua angkatan tentera membedil sasaran masing-masing daripada beratus kilometer jauhnya.

Sebagaimana dilaporkan oleh pemerhati pertahanan India, semalam sebuah kapal destroyer kelas-Rajput Tentera Laut India telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu BrahMos ER (Extended Range) yang boleh membedil sasaran-sasaran darat dengan ketepatan yang tinggi sejauh 800km.

Video-video pelancaran peluru berpandu BrahMos ER itu kini tersebar di media-media sosial India.

Sebagaimana dinyatakan oleh pemerhati ketenteraan India, ujian pelancaran terkini peluru berpandu BrahMos ER kebanggaan India itu adalah selari dengan slogan yang sering dilaungkannya, “Aatmanirbhar Bharat” (self-reliant India).

Dengan jarak sejauh 800km, peluru berpandu BrahMos ER itu berkemampuan membedil mana-mana sasaran jauh di dalam wilayah Pakistan dengan mudah, sekaligus menjadikan ia peluru berpandu taktikal yang cukup berbahaya untuk Tentera Pakistan.

Sudah pasti, ujian pelancaran terbaru peluru berpandu Brahmos ER itu menjadi perhatian kepada bukan sahaja tentera Pakistan tetapi juga tentera China berikutan perseteruan di antara kedua-dua negara kuasa besar Asia itu.

Sebagaimana Pakistan, India dan China juga berkongsi sempadan yang panjang di utara negara itu dan anggota tentera kedua-dua negara juga pernah bertempur (sama ada menggunakan senjata primitif seperti batu dan pedang atau senjata lebih berbahaya).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, India kerap mengadakan ujian pelancaran peluru berpandu BrahMos sama ada yang dilancarkan daripada sistem pelancar bergerak pesisir pantai, pesawat pejuang dan kapal-kapal perang.

Kesemua ini dilakukan untuk meningkatkan lagi kemampuan peluru berpandu itu sama ada ketepatan bedilannya atau jarakny.

Bermula daripada jarak bedilannya sejauh 290km, peluru berpandu BrahMos kini sudah menjangkau 800km dan New Delhi mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi kemampuan peluru berpandu itu kepada kira-kira 1,500km.

Pada tahun 2020, tentera India telah melancarkan peluru berpandu BrahMos varian serangan darat daripada pulau Andaman dan Nicobar yang memberikan kemampuannya untuk “mengawal” pintu-masuk ke Selat Melaka.

Pada 2021, tentera India telah berjaya melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu BrahMos daripada pesawat pejuang Su-30 MKI yang memberikan ia kemampuan untuk membedil sasaran dengan tepat daripada kedudukan sejauh 800km.

Tentera Udara India dilaporkan telah pun melengkapkan kira-kira 40 buah daripada 250 buah pesawat pejuang Su-30MKI miliknya dengan peluru-peluru berpandu BrahMos ALCM (Air Launched Cruise Missile).

Sebahagian daripada pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI miliknya yang dilengkapi dengan BrahMos ALCM ini telah pun dikerah ke sempadan utaranya dengan China bagi menangani sebarang tindakan provokatif daripada China.

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Peluru berpandu BrahMos yang memiliki kelajuan Mach 2.8 itu berkemampuan membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Pesawat pejuang Su-30MKI melancarkan peluru berpandu BrahMos ALCM.

 

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. 

India juga sedang aktif memasarkan peluru berpandu BrahMos kepada negara-negara luar dan Asia Tenggara adalah di antara sasaran utamanya.

Manila dilaporkan akan mula menerima sistem peluru berpandu pertahanan pesisir pantai (coastal defence missile system)  “BrahMos” yang dibelinya daripada India dengan kos US$375 juta (RM1.5 bilion) pada bulan ini.

Negara Asia Tenggara  itu menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu terbabit yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat). — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com

BrahmosfeaturedIndiaPakistan
Comments (0)
Add Comment