(VIDEO) Bot Serang Laju Israel Dibedil Peluru Berpandu

(VIDEO) Rakaman video yang sedang viral di media-media sosial di Israel dan media Arab menunjukkan bagaimana sebuah bot serang laju milik Tentera Laut Israel terkena bedilan peluru berpandu, menyebabkan seorang anggota tentera negara terbunuh dan beberapa lain mengalami kecederaan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rakaman video yang sedang viral di media-media sosial di Israel dan media Arab menunjukkan bagaimana sebuah bot serang laju jenis “Dvora” milik Tentera Laut Israel terkena bedilan peluru berpandu, menyebabkan seorang anggota tentera negara itu terbunuh dan beberapa lain mengalami kecederaan.

Anggota tentera Israel yang terbunuh dikenali sebagai Staf Sarjan Moshe Ben Shitrit, yang merupakan krew kepada bot serang laju “Dvora” itu.

Rakaman video itu yang kini viral di media sosial menunjukkan bagaimana peluru berpandu itu terbang tinggi sebelum menjunam dan meluru laju ke arah bot serang laju tentera Israel serta meletup berhampirannya, sehingga menyebabkan bot itu mengalami kerosakan.

Bot serang laju “Dvora” milik Tentera Laut Israel itu berada di kawasan perairan utara Israel berhampiran sempadan maritim Israel-Lubnan untuk melakukan rondaan keselamatan.

Banyak daripada media-media di Israel dan Lubnan mendakwa bedilan yang mengenai bot serang laju “Dvora” Tentera Laut Israel itu berpunca daripada peluru berpandu atau roket yang dilancarkan oleh Hezbollah.

(DETIK-DETIK APABILA PELURU BERPANDU MEMBEDIL BOT SERANG LAJU MILIK TENTERA LAUT ISRAEL)

Ini kerana bedilan terhadap bot serang laju Israel berlaku pada masa yang sama ketika pejuang Hezbollah melancarkan serangan lebih daripada 300 bedilan roket terhadap beberapa sasaran tentera di dalam Israel awal pagi tadi.

Bagaimanapun, terdapat juga media Israel yang menyatakan bahawa bedilan terhadap bot serang laju Israel di perairan utara negara itu adalah berpunca daripada peluru berpandu sistem pertahanan udara “Iron Dome” yang tersasar.

Mereka menyatakan bahawa peluru berpandu “Tamir” yang dilancar oleh sistem pertahanan udara “Iron Dome” sedang memburu dron-dron dilancar Hezbollah yang terbang di ruang udara berhampiran dengan bot serang laju itu.

Media Israel mendakwa peluru berpandu “Tamir” milik sistem pertahanan udara Iron Dome itu mengalami malfunction (kegagalan sistem) sehingga menyebabkan ia tersasar dan membedil bot serang laju Tentera Laut Israel yang sedang meronda di kawasan perairan itu.

Keadaan dalaman bot serang laju “Dvora” selepas dibedil peluru berpandu..

 

Anggota tentera Israel yang terbunuh apabila bot serang laju itu terkena bedilan peluru berpandu semalam.

 

Sebelum itu, pejuang-pejuang Hezbollah telah melancarkan kira-kira 340 butir roket dan dron berani mati terhadap beberapa kedudukan tentera Israel di dalam negara itu termasuk di pangkalan tentera di Glilot yang menempatkan ibu pejabat agensi perisikan Israel, MOSSAD dan ibu pejabat unit perisikan 8200.

Hezbollah turut mensasarkan Pangkalan Tentera Meron yang penting dalam operasi udara Israel di Lubnan dan Syria.

Kumpulan bersenjata Lubnan itu mendakwa serangan roket terhadap kedudukan tentera Israel merupakan sebagai balas dendam terhadap pembunuhan komander mereka Fouad Shukr beberapa minggu lalu.

Tidak lama selepas serangan roket dan peluru berpandu oleh Hezbollah itu, pesawat-pesawat pejuang Israel telah dikerah untuk melakukan serangan udara besar-besar terhadap apa yang didakwa mereka sebagai lokasi pelancaran roket Hezbollah di selatan Lubnan.

Hezbollah mendakwa serangan udara Israel tidak memberikan kesan kepadanya kerana pesawat-pesawat pejuang Israel itu hanya membedil kawasan-kawasan lapang dan bukan kedudukan tentera Israel.

Bagaimanapun tentera Israel mendakwa serangan pre-emptive mereka telah berjaya memusnahkan 6,000 roket Hezbollah yang sepatutnya dilancar pada semalam. — DSA

BotDvorafeaturedIsraelSerang Laju
Comments (0)
Add Comment