(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Boeing dianugerahkan kontrak bernilai US$20 billion (RM88 billion) oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pesawat pejuang generasi ke-enam negara itu dinamakan F-47, yang dianggarkan bernilai melebihi US$300 juta (RM1.3 billion) seunit apabila ia mula memasuki peringkat produksi.
Presiden Donald Trump yang mengumumkan perkara itu, menyatakan bahawa pesawat pejuang experimental generasi ke-enam dibina oleh Boeing itu telah terbang dan menjalani pelbagai ujian secara rahsia selama lima tahun lalu.
“Versi eksperimen pesawat ini sebenarnya telah menjalani ujian penerbangan secara rahsia sejak hampir lima tahun lalu. Kami yakin keupayaannya jauh mengatasi mana-mana negara lain di dunia,” kata beliau.
Syarikat Boeing dan Lockheed Martin secara tidak rasmi bersaing untuk membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam Amerika Syarikat it, namun kedua-dua syarikat tidak pernah mengesahkan penyertaan mereka dalam persaingan tersebut.
Northrop Grumman pula menarik diri secara sukarela daripada proses bidaan bagi memberi tumpuan kepada peluang lain.
Presiden Trump juga berkata bahawa bahawa pesawat pejuang generasi ke-enam F-47 itu akan mempunyai keupayaan untuk beroperasi bersama pesawat tanpa pemandu (UAV), selari dengan tumpuan utama ketenteraan masa kini — khususnya selepas Amerika Syarikat menyaksikan bagaimana Ukraine dan Russia menggunakan dron secara berkesan untuk melancarkan serangan jarak jauh serta mengatur serangan berkelompok bagi melemahkan sistem pertahanan udara.

“Pesawat ini akan terbang bersama dron. Ia boleh beroperasi dengan banyak dron, sebanyak mana yang diperlukan,” kata Trump.
“Ini merupakan teknologi baharu, namun ia tidak terbang bersendirian — ia bergerak bersama sejumlah besar dron, sebanyak mana yang anda mahukan — dan ini adalah keupayaan yang tiada pada mana-mana pesawat lain.”
Presiden Amerika Syarikat itu enggan memberitahu apabila ditanya tentang harga seunit pesawat pejuang F-47 itu kerana ia akan mendedahkan “sebahagian teknologi serta saiz sebenar pesawat tersebut.”
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth pula berkata bahawa F-47 akan menjadi pesawat pejuang paling canggih, paling berbahaya dan paling serba boleh yang pernah wujud di dunia.
“Ia mampu terbang lebih pantas, bergerak lebih lincah dan mengatasi mana-mana musuh yang berani mencabar kami. Kami tidak mengambil mudah keunggulan udara (air superiority). Ia dipertahankan melalui pelaburan yang dirancang rapi, inovasi berterusan, serta daya cipta luar biasa rakyat Amerika, “ kata Hegseth
Pesawat pejuang generasi ke-enam F-47 yang akan dibina oleh syarikat Boeing itu akan menggantikan pesawat pejuang generasi kelima F-22 Raptor dibina oleh syarikat Lockheed Martin yang digunakan oleh Amerika Syarikat pada ketika ini.
Sebuah lagi pesawat pejuang generasi ke-enam Amerika Syarikat, F-35 Lightning II juga dibina oleh syarikat Lockheed Martin.
Kontrak ini disifatkan sebagai “durian runtuh” yang amat diperlukan syarikat Boeing, yang berpotensi menerima tempahan bernilai ratusan bilion dollar daripada pelanggan seluruh sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak yang menjangkau beberapa dekad.
Selain dibekalkan kepada Tentera Udara Amerika Syarikat, pesawat pejuang generasi ke-enam F-47 itu juga akan dieksport kepada sekutu-sekutu Amerika di seluruh dunia, walaupun kemampuan dan prestasi pesawat itu berkurangan kira-kira 10 peratus berbanding varian pesawat digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat.
Dibayangkan sebagai pengganti kepada pesawat pejuang halimunan F-22 Raptor, F-47 itu sememangnya dibangunkan bagi memperkukuh keupayaan kuasa udara Amerika Syarikat dalam menghadapi ancaman dari kuasa besar seperti China dan Russia.
Meskipun butiran mengenainya masih diklasifikasikan sebagai sulit, ramai pihak beranggapan pesawat ini direka khusus untuk menghadapi konflik berteknologi tinggi pada masa hadapan, terutamanya di rantau Indo-Pasifik.
— DEFENCE SECURITY ASIA