(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat dron kombat terbesar dunia, Baykar Technology daripada Turkiye telah berjaya dalam bidaan untuk membeli gergasi aeroangkasa Itali, Piaggio Aerospace yang telah beroperasi sejak 130 tahun lalu.
Baykar Technology yang terkenal kerana telah membangunkan UCAV Bayraktar TB2 telah menewaskan pesaing dari pelbagai negara dalam tender kompetitif untuk pembelian syarikat ikonik Itali itu yang ditubuhkan pada tahun 1884.
Syarikat daripada Turkiye itu bekerjasama dengan Pragma Consulting bagi penilaian kewangan sepanjang proses bidaan tersebut.
Salah seorang anggota jemaah menteri Itali, Adolfo Urso dipetik sebagai berkata bahasa “selepas enam tahun menanti, kami memberikan Piaggio Aerospace, sebuah aset strategik untuk negara kami masa depan dengan prospek pengeluaran jangka panjang, sambil melindungi kompleks korporat dan tenaga kerja.”
Beliau menegaskan bahawa pemulihan syarikat itu dijamin dengan visi industri yang jelas dan berwawasan.
Piaggio Aerospace terkenal dalam industri penerbangan kerana menghasilkan jet perniagaan P.180 Avanti yang juga diberikan gelaran “Ferrari di udara” dan juga enjin pesawat.
Syarikat terkenal Itali itu juga memainkan peranan strategik dalam ekosistem industri pertahanan Itali melalui perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO).
Piaggio Aerospace diiktiraf atas sumbangannya kepada infrastruktur teknologi Itali sepanjang sejarahnya selama 140 tahun.
Dengan pembelian Piaggio Aerospace ini, Baykar dilihat sudah bersedia untuk mengembangkan pengaruhnya dalam pasaran penerbangan Eropah sambil memelihara warisan bersejarah syarikat ikonik Itali itu dan meningkatkan kapasiti pengeluarannya.
Pada 2023, Baykar berada di kalangan 10 pengeksport terbesar di Turkiye merentasi semua sektor, dengan eksport bernilai US$1.8 bilion.
Menurut laporan oleh badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat, Turkiye menguasai 65 peratus pasaran eksport pesawat tanpa pemandu global, dengan Baykar sahaja memegang hampir 60 peratus pasaran — tiga kali ganda saiz pesaing terdekat dari Amerika.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Baykar menjana lebih 90 peratus daripada pendapatannya melalui eksport, menghantar UCAV Bayraktar TB2 dan AKINCI ke 35 buah negara.
Dron Bayraktar TB2 keluaran syarikat Turkiye, Baykar merupakan dron yang paling banyak dieksport di dunia pada tahun ini, meninggalkan jauh pesaing-pesaingnya daripada Israel, Amerika Syarikat serta negara-negara lain.
Bayraktar TB2 ialah dron pengintipan dan serangan jarak sederhana dengan lebar sayap sepanjang 12 meter dan dilengkapi dengan sistem avionik moden serta berkemampuan membawa empat butir peluru berpandu.
Selain Bayraktar TB2, dron-dron keluaran Turkiye seperti Akinci yang turut dibangunkan oleh syarikat Baykar turut muncul sebagai antara dron-dron yang paling banyak dieksport pada tahun ini, sebagaimana disenaraikan oleh Clash Report.
Dron Bayraktar TB2 dianggap sebagai pilihan yang menjimatkan kos dan telah digunakan dalam konflik di Libya, Syria, dan Nagorno-Karabakh serta Ukraine.
Menurut senarai yang dikeluarkan oleh laman Clash Report, sebanyak 34 buah dron Bayraktar TB2 keluaran syarikat pembuat dron terkenal Turkiye itu, Baykar itu telah dieksport pada tahun ini, meninggalkan dron-dron keluaran Israel. — DSA