Arab Saudi “Semakin Hampir” Peroleh Pesawat Pejuang Rafale Buatan Perancis?

Macron melakukan lawatan negara ke Arab Saudi pada 2 hingga 4 Disember lalu di mana kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama strategik membabitkan pelbagai bidang daripada pertahanan kepada tenaga.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan lawatan negara Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Arab Saudi beberapa hari lalu, usaha untuk melihat kemasukkan pesawat pejuang Rafale dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation ke dalam armada Tentera Udara Diraja Arab Saudi (RSAF) “semakin hampir” untuk menjadi kenyataan.
Macron melakukan lawatan negara ke Arab Saudi pada 2 hingga 4 Disember lalu di mana kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama strategik membabitkan pelbagai bidang daripada pertahanan kepada tenaga.
“Dari segi keselamatan dan pertahanan, kami telah menunjukkan peningkatan yang jelas… dengan komitmen untuk meneruskan usaha berkaitan Rafale, yang merupakan perubahan besar dalam hubungan dua hala,” kata Presiden Perancis kepada pemberita pada hari kedua lawatan negara ke Arab Saudi.
Presiden Perancis itu turut menyatakan bahawa kedua-dua negara telah “mencapai kemajuan dalam semua aspek, daripada pertahanan maritim hingga pertahanan udara dan satelit,” sambil menambah bahawa Arab Saudi dan Perancis “telah menandatangani beberapa kontrak yang telah lama dinantikan,” tanpa memberikan butiran lanjut.
Perbincangan di antara Paris dan Riyadh mengenai hasrat negara pengeluar minyak itu untuk memperoleh pesawat pejuang buatan Perancis telah pun diadakan sebelum ini dan walaupun tiada pengumuman rasmi dijangka semasa lawatan negara itu, sumber yang rapat dengan perkara tersebut menyatakan kesediaan untuk “membuat keputusan” ke arah itu.
Hampir 10 negara sudah memiliki atau telah menandatangani perjanjian komersial untuk memperoleh Rafale, termasuk Mesir, Qatar, India, Greece, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Croatia, dan Serbia.
Rafale

RINGKASAN:

Arab Saudi semakin hampir untuk memperoleh pesawat pejuang Rafale buatan Perancis susulan lawatan negara Presiden Perancis Emmanuel Macron dari 2 hingga 4 Disember lalu. Lawatan tersebut menyaksikan kedua-dua negara menandatangani perjanjian strategik dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan tenaga. Macron menyatakan kemajuan besar dalam kerjasama pertahanan, termasuk rundingan berkenaan Rafale, yang dilihat sebagai perubahan penting dalam hubungan dua hala.

Riyadh dilaporkan mempertimbangkan pembelian 54 pesawat Rafale selepas usaha sebelumnya untuk mendapatkan Eurofighter Typhoon dihalang oleh Jerman. Jika direalisasikan, ia akan menjadi pembelian pertama pesawat Perancis oleh Arab Saudi. Selain Rafale, Arab Saudi juga sedang mempertimbangkan varian terkini F-15EX Eagle II yang ditawarkan oleh Boeing, menjadikan persaingan untuk kontrak ini melibatkan tiga pihak utama: Dassault (Rafale), Eurofighter (Typhoon), dan Boeing (F-15EX).

Perkembangan ini menunjukkan Arab Saudi mungkin akan mengikuti jejak UAE dan Qatar dalam memiliki Rafale, dengan kontrak berpotensi mencecah sehingga 100 pesawat pejuang. 

Dan berdasarkan perkembangan terkini hasil lawatan Macron ke Arab Saudi,Riyadh berkemungkinan besar akan mengikut jejak langkah UAE dan Qatar dalam memiliki pesawat pejuang Rafale itu.
Pada Oktober tahun lepas, Arab Saudi dilapor menimbangkan cadangan untuk memperolehi sejumlah 54 buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis bagi tentera udaranya, selepas usahanya memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dihalang oleh Jerman.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dibangunkan oleh empat buah negara Eropah, United Kingdom, Sepanyol, Itali dan Jerman.
Jikalau perolehan pesawat pejuang Rafale itu direalisasikan oleh Arab Saudi, ia menandakan pembelian pesawat pejuang pertama buatan Perancis oleh negara Arab itu.
Akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation.
Sebelum ini, akhbar Perancis itu dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi bercadang memperolehi di antara 100 buah hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale,yang turut digunakan oleh beberapa negara jiran Arabnya.
“Rafale”
Tidak lama selepas Arab Saudi menyatakan hasratnya memulakan rundingan dengan Perancis untuk membeli 54 buah pesawat pejuang Rafale, kerajaan Jerman pula memutuskan untuk menarik balik bantahannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada negara Arab itu.
Keputusan dibuat secara mengejut oleh kerajaan Jerman itu sekaligus menjadikan persaingan terbuka di antara Eurofighter Typhoon dengan Rafale untuk merebut kontrak berbilion dollar Amerika daripada kerajaan Arab Saudi itu.
Pada Mei lalu, Boeing dilaporkan telah mengemukakan varian pesawat pejuang F-15EX Eagle II terkininya kepada Arab Saudi bagi bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang Rafale dan Eurofighter Typhoon untuk merebut kontrak Arab Saudi.
Tentera Udara Arab Saudi (RSAF) adalah pelanggan lama kerana ia telah pun mengoperasikan varian terdahulu F-15 iaitu F-15 Eagle dan F-15 SA.
Syarikat Boeing menekankan bahawa pesawat pejuang F-15EX berkongsi karateristik dengan varian-varian awal F-15 terdahulu termasuk daripada segi infrastruktur, kelengkapan latihan, jurulatih dan kemahiran juruterbang.
Pada ketika ini, RSAF mengoperasikan 84 buah pesawat pejuang F-15SA.
Kenyataan Boeing menawarkan pesawat pejuang F-15EX kepada Arab Saudi itu mengesahkan persaingan tiga buah syarikat untuk merebut kontrak lumayan negara Arab kaya-raya itu, berkemungkinan mencecah sehingga 100 buah pesawat pejuang itu. — DSA

Arab SaudifeaturedPerancisRafale
Comments (0)
Add Comment