Jangan Ada Campurtangan Ahli Politik, “Ejen Luar” Dlm Soal Perolehan Aset Tentera – PM

Bagi Defence Security Asia, kami amat mengalu-alukan kenyataan tegas Perdana Menteri ini, malah kami mencadangkan segala perolehan aset-aset ATM dilakukan menerusi Government-to-Government (G-to-G) secara TOTAL bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan kelewatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Perolehan aset ketenteraan di negara ini perlu diputuskan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri tanpa sebarang campurtangan daripada ahli-ahli politik atau “ejen-ejen” luar, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri sebagaimana dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia, perolehan aset-aset ATM perlu diputuskan sendiri oleh ATM bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara sentiasa berada di tahap tertinggi.

Arahan telah diberikan kepada ketiga-tiga cabang ATM dan panglimanya, kata beliau.

Anggota PASKAL ketika latihan misi penyusupan di Stesen Lima, Terumbu Layang-Layang .(ATM)

 

“Saya sudah bagi arahan sangat jelas kepada semua ketua pengurus masing-masing termasuk panglima tentera, darat, udara, laut dan Panglima Angkatan Tentera (PAT).

“Kalau nak beli kapal, senapang, biar ambil keputusan profesional daripada bahagian masing-masing, orang-orang politik, ejen-ejen luar jangan masuk campur.

“Apabila ia sudah diputuskan, kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan mengenai kos (pembelian) dan kita runding terus antara kerajaan-kerajaan untuk mengelakkan ketirisan,” menurut Perdana Menteri di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pangkalan Udara Butterworth sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65 yang turut dihadiri oleh Komander Pangkalan Tentera Udara Butterworth Brigadier Jeneral Khairol Muzambi Salehin.

Bagi Defence Security Asia, kami amat mengalu-alukan kenyataan tegas Perdana Menteri ini, malah kami mencadangkan segala perolehan aset-aset ATM dilakukan menerusi Government-to-Government (G-to-G) secara TOTAL bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan kelewatan.

Malaysia juga sepatutnya sudah memiliki sebuah agensi perolehan aset ketenteraannya sendiri (Defence Procurement Agency) yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perolehan aset ketenteraan dan perkara-perkara berkaitannya termasuk mengenai Industrial Collaboration Program (ICP).

Pesawat Su-30MKM TUDM

 

Agensi ini boleh bernaung di bawah Kementerian Pertahanan atau Kementerian Kewangan.

Dengan konsep G-to-G dan agensi perolehan aset itu boleh menghapuskan peranan pihak ketiga atau “ejen-ejen tempatan” yang mengaut komisen yang tinggi atas sesuatu perolehan aset itu. sehingga menyebabkan harga keseluruhan yang terpaksa dibayar oleh Kementerian Pertahanan bagi perolehan aset itu terlalu tinggi.

“Ejen-ejen” ini admin percaya merujuk kepada pihak-pihak tertentu yang bertindak sebagai wakil jualan tempatan terhadap syarikat pertahanan luar itu.

Konsep syarikat pertahanan luar melantik pihak tertentu sebagai “ejen-ejen” untuk mempromosi sesuatu produk pertahanan itu telah dipraktikkan di Malaysia sejak berdekad-dekad lamanya.

Dan kita tengoklah sendiri industri pertahanan tempatan pada ketika ini.

“Ejen-ejen” ini yang mengaut komisen yang tinggi sepatutnya menggunakan keuntungan itu untuk mempertingkatkan kemahiran dan teknologi, tetapi malangnya, banyak daripada “ejen-ejen” ini hanya berminat untuk hidup daripada “satu komisen kepada satu komisen”.

Hanya segelintir sahaja “ejen-ejen” tempatan ini yang benar-benar komited dan berusaha untuk menjadi pemain industri pertahanan yang benar-benar berkaliber sehingga berjaya diperingkat antarabangsa. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AnwarAset TenteraATMfeaturedPM
Comments (0)
Add Comment