Amerika Syarikat Tingkatkan Penerbangan Pesawat Pengintip Di Laut China Selatan

Badan pemikir tersebut, The South China Sea Strategic Situation Probing Initiative (SCSPI) berkata ia menunjukkan pihak tentera Amerika Syarikat sentiasa memantau perairan strategik itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah badan pemikir China mendedahkan bahawa pihak tentera Amerika Syarikat telah melakukan sebanyak 72 penerbangan “pengintipan” di Laut China Selatan pada bulan Mei tahun ini.

Badan pemikir tersebut, The South China Sea Strategic Situation Probing Initiative (SCSPI) yang berpengkalan di Beijing berkata ia menunjukkan pihak tentera Amerika Syarikat sentiasa memantau perairan strategik itu.

Penerbangan “pengintipan” oleh pihak tentera Amerika Syarikat di Laut China Selatan pada bulan lepas itu merupakan suatu peningkatan berbanding 65 penerbangan pengintipan yang dilakukannya pada bulan April.

Berbanding pada Mei tahun lepas yang hanya mencatatkan 35 penerbangan pengintipan, 72 penerbangan pengintipan pada bulan itu tahun ini adalah suatu peningkatan yang amat besar, menurut badan pemikir China itu.

Sebelum itu, SCSPI melaporkan pesawat-pesawat pengintip Amerika Syarikat telah melakukan sebanyak 70 penerbangan pada bulan Januari dan 75 penerbangan pada bulan Februari, dengan kebanyakan penerbangan itu dilakukan oleh pesawat Tentera Laut manakala selebihnya oleh pesawat Tentera Udara.

Penerbangan pesawat pengintip Amerika Syarikat di pesisir pantai China. (kredit SCSPI)

Bekas instruktur dalam Tentera China dan pemerhati tentera Song Zhongping dipetik sebagai berkata oleh portal South China Morning Post bahawa penerbangan-penerbangan pengintipan oleh pesawat Amerika Syarikat semakin menjadi sesuatu yang normal.

“Kemampuan tentera China semakin meningkat dan pihak tentera Amerika Syarikat bimbang akan perkara itu.  Dalam pada itu, pihak tentera Amerika Syarikat juga sedang bersedia untuk berperang dan sebab itulah ia mahu meningkatkan operasi pengintipan, “ katanya.

Ia hanya mengingatkan kepada pihak tentera China bahawa mereka perlu bersedia terhadap segala kemungkinan, katanya.

Di antara pesawat-pesawat pengintip yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat di Laut China Selatan termasuklah RC-135U Combat Sent, Global Hawk, MQ-4C Triton, P-8A, P-3C, EP-3E dan lain-lain lagi.

Pesawat Tanpa Pemandu “Triton” yang kini berpengkalan di Jepun.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatChinaLaut China SelatanPesawat Pengintip