Amerika Letak Sistem Peluru Berpandu NMESIS di Selat Luzon, Paling Dekat Dengan Tanah Besar China

Kerahan sistem peluru berpandu NMESIS di Selat Luzon itu sekaligus menjadikan ia sebagai sistem peluru berpandu milik tentera Amerika Syarikat yang berada di kedudukan paling dekat dengan tanah besar China.
Amerika Letak Sistem Peluru Berpandu NMESIS di Selat Luzon, Paling Dekat Dengan Tanah Besar China
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kor Marin Amerika Syarikat (USMC)  telah mengerahkan sistem peluru berpandu Navy-Marine Expeditionary Ship Interdiction System (NMESIS) dilengkapi dengan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) ke Selat Luzon — yang merupakan salah satu daripada laluan perairan paling strategik dan tegang di dunia.
Kerahan sistem peluru berpandu NMESIS di Selat Luzon itu sekaligus menjadikan ia sebagai sistem peluru berpandu milik tentera Amerika Syarikat yang berada di kedudukan paling dekat dengan tanah besar China.
Beberapa hari lalu, Penolong pengarah latihan dan jurucakap Latihan Balikatan, BrigJen Michael Logico mengesahkan bahawa sistem peluru berpandu NMESIS akan digunakan dalam latihan tahunan dua hala antara Manila dan Washington.

“Saya boleh sahkan bahawa NMESIS sudah pun berada di negara ini,” katanya dalam satu sidang media di Kem Aguinaldo, Quezon City.

“Saya tidak akan dedahkan lokasi tepatnya, tetapi ia akan menyertai latihan. Ia akan menjadi sebahagian daripada komponen latihan kali ini,” tambah beliau.

Latihan Balikatan dijadualkan bermula pada 21 April dan akan berlangsung sehingga 9 Mei.
Sistem Pelancar Peluru Berpandu NMESIS merupakan sistem senjata canggih yang direka untuk melaksanakan misi pemusnahan sasaran permukaan, khususnya kapal perang musuh, dari jarak jauh.
NMESIS
Sistem peluru berpandu NMESIS dilengkapi dengan Naval Strike Missile (NSM)
Menggunakan peluru berpandu anti-kapal jenis Naval Strike Missile (NSM), NMESIS berupaya memberikan keupayaan tembakan tepat ke atas sasaran maritim, sekaligus meningkatkan keupayaan cegah rintang dan pertahanan pantai.
Peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) mempunyai jangkauan sejauh kira-kira 185 kilometer (lebih 100 batu nautika).
Selat Luzon mempunyai kepentingan geo-strategik yang amat besar kepada Amerika Syarikat dan China kerana ia merupakan salah satu laluan perairan paling kritikal di rantau Indo-Pasifik, yang menghubungkan Laut China Selatan dengan Laut Filipina serta kawasan Pasifik Barat yang lebih luas.
Bagi Amerika Syarikat, Selat Luzon merupakan nadi kepada strategi ketenteraannya di Indo-Pasifik.
Selat ini memberi akses strategik kepada barisan pertahanan utama dikenali sebagai “First Island Chain”, membolehkan Amerika Syarikat menempatkan sistem peluru berpandu bergerak seperti NMESIS dan Naval Strike Missile di lokasi-lokasi penting bagi menyekat pergerakan kapal-kapal perang China.
Ia memainkan peranan utama dalam pelaksanaan strategi “pertahanan kepulauan” (archipelagic defence) Amerika Syarikat, yang direka khusus untuk menggagalkan sistem Anti-Access/Area Denial (A2/AD) milik China, dengan menghalang pergerakan aset-aset ketenteraan utama Beijing menggunakan keupayaan tembakan jarak jauh.
NMESIS
Kedudukan Selat Luzon yang hanya terletak di tenggara Taiwan menjadikannya lokasi utama untuk pemantauan, pemintasan dan pencegahan terhadap sebarang aktiviti maritim oleh Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), khususnya jika berlaku konflik membabitkan Taiwan.
Kawalan atau keupayaan pemerhatian ke atas laluan ini meningkatkan keupayaan Amerika Syarikat untuk bertindak segera dalam mempertahankan Taiwan sekiranya berlaku krisis ketenteraan.
Dalam masa yang sama, penempatan aset ketenteraan di sekitar Luzon memperkukuh komitmen Washington terhadap prinsip kebebasan pelayaran (Freedom of Navigation Operations, FONOP), sebagai tindak balas terhadap tuntutan wilayah China yang semakin agresif di rantau tersebut.
Langkah ini juga menghantar mesej yang jelas kepada Beijing bahawa Amerika Syarikat tidak akan membiarkan mana-mana kuasa menggugat kebebasan perairan antarabangsa atau memperkukuh kehadiran secara paksa di Laut China Selatan.
Bagi China pula, Selat Luzon merupakan laluan laut yang amat strategik dan sangat penting untuk memastikan kesinambungan keupayaan ketenteraannya, khususnya dalam bidang pertahanan nuklear dan mobiliti maritim.
Ia adalah antara satu-satunya laluan perairan dalam yang menghubungkan pesisir pantai di selatan China ke Lautan Pasifik, sekaligus membolehkan kapal selam Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN), khususnya kapal selam peluru berpandu balistik (SSBN) dari pangkalan di Hainan, untuk keluar ke zon rondaan lautan terbuka tanpa dikesan, berbanding menggunakan Laut China Selatan yang sering dipantau rapat oleh kuasa-kuasa Barat.
Kapal perang Type 055 China
Keupayaan China untuk mengekalkan kemampuan terhadap sistem deteren nuklearnya bergantung kepada keupayaan kapal selam strategik miliknya untuk menjalankan rondaan di Lautan Pasifik tanpa gangguan.
Namun begitu, kehadiran sistem pemantauan dan pencegahan Amerika Syarikat di Selat Luzon berpotensi menggugat kebebasan pergerakan kapal-kapal selam nuklear China dan berpotensi melemahkan keupayaan serangan balas nuklear kedua Beijing sekiranya konflik tercetus.
Secara geo-strategik, Luzon terletak di antara Taiwan dan utara Filipina, menjadikannya laluan kritikal yang boleh digunakan untuk mengepung atau menyekat kekuatan PLA dalam sebarang konflik membabitkan Taiwan yang mungkin berlaku.
Sebarang peningkatan kehadiran tentera oleh Amerika Syarikat atau sekutunya di Luzon berisiko menidakkan kemampuan kapal-kapal perang China untuk projeksi kuasanya di luar daripada “First Island Chain” , selain mengukuhkan pertahanan maritim Taiwan secara langsung.
Selat Luzon berfungsi sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Asia Timur dengan Lautan Pasifik.
Penguasaan atau akses terhadap Selat Luzon berpotensi mengubah keseimbangan kuasa dalam sebarang konflik serantau akan datang—terutamanya yang membabitkan Taiwan.
Bagi Amerika Syarikat, Selat Luzon adalah kunci untuk menyekat perluasan pengaruh China, melancarkan serangan peluru berpandu, serta mempertahankan sekutu-sekutunya di rantau ini.
Bagi China pula, Selat Luzon penting untuk menjamin kebebasan pergerakan armada lautnya, mengekalkan keupayaan pencegahan nuklear, dan mengelakkan kepungan strategik oleh kuasa asing.
Siapa yang menguasai Selat Luzon, diibaratkan memegang kunci dalam percaturan geopolitik dan ketenteraan di Indo-Pasifik.
NMESIS
Kerahan sistem peluru berpandu anti-kapal lancaran darat baharu milik Kor Marin Amerika Syarikat (USMC), bersama aset-aset lain termasuk sistem pertahanan udara darat organic dilakukan bersempena dengan edisi ke-40  Latihan Balikatan 2025 — yang merupakan latihan tahunan bersama antara Amerika Syarikat dan Filipina.
Latihan tentera bersama diantara Filipina dan Amerika Syarikat dinamakan Balikatan merupakan kerjasama pertahanan dua hala bertujuan memperkukuh kerjasama ketenteraan serta meningkatkan keupayaan bersama dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau.
Persetujuan mengenai penempatan sistem pelancar peluru berpandu NMESIS di Filipina dicapai semasa Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth melawat negara Asia Tenggara itu baru-baru ini.

“Kami telah bersetuju bahawa Amerika Syarikat akan menghantar lebih banyak aset ketenteraan canggih ke Filipina. Ini termasuk sistem pelancar peluru berpandu anti-kapal NMESIS serta Unmanned Surface Vessel (USV) berkeupayaan tinggi dalam latihan Balikatan pada April ini,” kata beliau.

“Sistem-sistem ini akan membolehkan Angkatan Tentera Amerika Syarikat dan Angkatan Tentera Filipina menjalani latihan bersama dalam menggunakan keupayaan ketenteraan moden bagi mempertahankan kedaulatan Filipina,” tambahnya.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat itu juga mengecam kelakuan agresif China di rantau itu.
Filipina dan China terlibat dalam pertikaian wilayah yang berpanjangan di Laut China Selatan, dengan Beijing mendakwa hampir 90 peratus daripada kawasan perairan strategik itu sebagai miliknya dan menuduh Manila menjadi alat kepada usaha Amerika Syarikat untuk menyekat pengaruh China di rantau ini.
NMESIS
Penghantaran sistem pelancaran peluru berpandu NMESIS itu menyusuli penghantaran sistem peluru berpandu jarak sederhana Mid-Range Capability (MRC) atau “Typhon” yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu pelbagai guna SM-6 dan Tomahawk di negara Asia Tenggara itu.
Penghantaran sistem peluru berpandu jarak sederhana MRC tahun lalu itu mendapat perhatian meluas dan mengundang kritikan keras daripada China kerana kemampuannya mencapai kawasan pantai negara itu.
Sistem Typhon itu berkemampuan melancar peluru berpandu kruis Tomahawk yang boleh membedil sasaran sejauh 2,000km dan inilah membimbangkan China kerana kemampuannya untuk membedil sasaran di dalam China sekiranya konflik tercetus di Indo Pasifik.
Daripada utara Pulau Luzon,sistem peluru berpandu Typhon itu juga boleh membedil pangkalan-pangkalan tentera China di terumbu-terumbu karang yang telah ditambak untuk menjadi puoau di Laut China Selatan.
Bateri sistem peluru berpandu Typhon itu terdiri daripada empat pelancar, pusat pemerintahan dan beberapa kenderaan lojistik.
Ia dikerah dan dioperasikan oleh Strategic Fires Batallion yang turut merangkumi High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) dan bateri-bateri Dark Eagle Hypersonic. 
— DEFENCE SECURITY ASIA

AmerikaFilipinaNMESISNSM
Comments (0)
Add Comment