(DEFENCE SECURITY ASIA) – Akhirnya, kereta kebal buatan Turki “Altay” akan menggunakan enjin buatan syarikat Korea Selatan bagi menyelesaikan masalah enjin yang membelenggu pembangunan kereta kebal itu sejak bertahun lamanya.
Kereta kebal “Altay” yang dibangunkan oleh syarikat Turki, BMC itu sepatutnya menggunakan enjin buatan syarikat Jerman, MTU sebelum kerajaan Jerman itu melakukan sekatan senjata terhadap Ankara berikutan tindakan tenteranya di Syria.
Sejak daripada sekatan senjata Jerman terhadap Turki, projek pembangunan kereta kebal “Altay”itu berhadapan dengan masalah mencari enjin yang sesuai sehingga pembangunannya tertangguh.
Presiden Industri Persenjataan Turki (SSB) Ismail Demir mengumumkan bahawa enjin Korea Selatan yang akan digunakan oleh kereta kebal “Altay” itu telah pun tiba di Turki dan kini sedang menjalani pelbagai ujian dengan kereta kebal itu.
“Pada Mei nanti kita akan melibat prototaip kereta kebal “Altay” yang dilengkapi dengan enjin buatan Korea Selatan,” kata Ismail.
Syarikat Turki, BMC telah menandatangani perjanjian dengan dua syarikat Korea Selatan, Doosan Infracore Co dan S&T Dynamics Co bagi bekalan enjin serta sistem transmisi bagi kereta kebal buatan tempatan Turki itu.
Turki mula membangunkan kereta kebal “Altay” pada 2007, tetapi berhadapan dengan masalah untuk memperolehi enjin berikutan tindakan beberapa negara Eropah yang enggan membekalkannya di atas beberapa sebab.
Mengikut perancangan, kereta kebal “Altay” itu sepatutnya menggunakan enjin berkuasa 1,500 kuasa kuda buatan syarikat MTU daripada Jerman sebelum Berlin mengambil keputusan untuk melakukan sekatan senjata terhadap Ankara.
Sementara itu pegawai-pegawai tentera Turki mengatakan bahawa enjin buatan Korea Selatan akan hanya melengkapkan kereta kebal “Altay” pada peringkat awal sahaja sementara pihak industri Turki membangunkan enjin kereta kebalnya sendiri.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Enjin buatan tempatan akan melengkapkan kereta kebal “Altay” yang dihasilkan pada peringkat seterusnya.
Syarikat Doosan dan S&T Dynamics juga terlibat dalam pembangunan kereta kebal K2 Black Panther yang digunakan oleh tentera Korea Selatan.
Jika segala-galanya berjalan dengan lancar, BMC akan menghasilkan kira-kira 250 buah kereta kebal “Altay” pada fasa pertama manakala di bawah fasa kedua pula, syarikat akan membina 750 kereta kebal yang dipertingkatkan kemampuannya dan menggunakan enjin serta sistem transmisi buatan tempatan.
Ia juga akan menghasilkan kereta kebal “Altay” tanpa pemandu (unmanned). — DSA