Airbus Hantar Pesawat Pertama Airbus A400M Pada Kazakhstan
Pesawat pertama daripada dua unit A400M yang ditempah oleh Kazakhstan telah diserahkan kepada tentera udara negara Asia Tengah itu dalam satu majlis di Almaty, selatan Kazakhstan, selepas penerbangan penghantaran pesawat itu dari Pusat Pemasangan Akhir A400M Airbus di Seville, Sepanyol.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Airbus Defence and Space telah menyerahkan pesawat Airbus A400M pertama kepada Republik Kazakhstan, menjadikannya tonggak utama bagi operasi pengangkutan udara taktikal dan strategik negara itu.
Pesawat pertama daripada dua unit A400M yang ditempah oleh Kazakhstan telah diserahkan kepada tentera udara negara Asia Tengah itu dalam satu majlis di Almaty, selatan Kazakhstan, selepas penerbangan penghantaran pesawat itu dari Pusat Pemasangan Akhir A400M Airbus di Seville, Sepanyol.
“Terbukti berkhidmat lebih sedekad dalam operasi ketenteraan dan kemanusiaan di seluruh dunia, A400M adalah pelopor bagi Tentera Udara Udara Kazakhstan, menawarkan keupayaan taktikal dan strategik yang tiada tandingan dalam satu platform,” kata Jean-Brice Dumont, Ketua Bahagian Air Power di Airbus Defence and Space.
Pesawat kedua, yang kini sedang dalam proses pembuatan, dijangka meningkatkan lagi keupayaan ini apabila ia dijangka diserahkan pada 2026.
Dengan penghantaran pesawat bernombor MSN139 ini, Airbus turut menyediakan sokongan penyelenggaraan dan latihan secara menyeluruh kepada Kazakhstan.
Setakat ini, lebih 130 unit pesawat A400M telah diserahkan kepada sembilan negara, mencatatkan lebih 200,000 jam penerbangan.
Pesawat ini telah digunakan dalam pelbagai misi penting, termasuk pemindahan kakitangan awam dan tentera dari Afghanistan, Sudan, dan Niger.
Menggabungkan keupayaan pesawat taktikal dan strategik, A400M mampu mengangkut kargo berat dan bersaiz besar ke landasan pendek tidak sempurna, terbang pada altitud rendah atau mengugurkan sehingga 116 anggota payung terjun atau 25 tan kargo.
Pesawat ini mempunyai berat maksimum berlepas sebanyak 310,852 lbs dan berat maksimum pendaratan sebanyak 271,000 lbs.
Diperkenalkan pada 2013, A400M adalah salah satu pesawat pengangkutan taktikal dan strategik paling moden di dunia.
Negara-negara yang telah pun memperolehi pesawat Airbus A400M ini termasuklah Jerman (53 unit ditempah), Perancis (50 unit ditempah), Sepanyol (27 unit ditempah), dan United Kingdom (22 unit ditempah).
Negara-negara lain yang memperolehi pesawat A400M termasuk Turki, Belgium, Malaysia, Luxembourg, dan kini Kazakhstan.
Indonesia turut menempah dua unit A400M dengan pilihan tambahan empat unit lagi.
Sebagai sebuah negara bekas Kesatuan Soviet, Tentera Udara Kazakhstan banyak menggunakan pesawat-pesawat era Soviet.
Namun, negara Asia Tengah itu berusaha mempelbagaikan armadanya dengan membeli pesawat pengangkutan CASA C-295M dari Sepanyol, Airbus A400M dari Eropah, dan Shaanxi Y-8 dari China (versi dipertingkatkan Antonov An-12).
Armada pesawat-pesawat pengangkutnya yang lain masih terdiri daripada pesawat Antonov era Soviet.
Selain itu, Kazakhstan turut memperolehi 20 helikopter Airbus H225.
Walaupun begitu, negara Asia Tengah itu masih kekal dalam lingkungan pengaruh ketenteraan Rusia.
Kazakhstan berusaha menyeimbangkan hubungan luarnya dengan menjauhkan diri dalam isu seperti Ukraine sambil mengekalkan hubungan rapat dengan Rusia.
Ia juga memperolehi helikopter Mi-24 Hind dan pesawat pejuang Su-30 Flanker buatan Russia. — DSA