Adakah Turkiye Hadapi Masalah Dapatkan Enjin Bagi Pesawat Pejuang KAAN, HURJET ?

Syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI atau TUSAS) menaruh keyakinan tinggi bahawa Amerika Syarikat akan memberikan kelulusan terhadap permohonannya untuk memperolehi enjin-enjin bagi pesawat pejuang generasi ke-5 “KAAN” dan pesawat pejuang ringan “HURJET”  yang sedang dibangunkannya pada ketika ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI atau TUSAS) menaruh keyakinan tinggi bahawa Amerika Syarikat akan memberikan kelulusan terhadap permohonannya untuk memperolehi enjin-enjin bagi pesawat pejuang generasi ke-5 “KAAN” dan pesawat pejuang ringan “HURJET”  yang sedang dibangunkannya pada ketika ini.

Dalam temuramah dengan portal pertahanan Turkiye, SavunmaSanayiST.com ketika Pameran Udara Farnborough, Ketua Pegawai Eksekutif TAI Mehmet Demiroglu berkata, beliau tidak menjangka akan berhadapan dengan masalah untuk memperolehi enjin-enjin itu.

“Enjin (pesawat) adalah bahagian yang penting. Pada ketika ini, enjin bagi pesawat-pesawat pejuang KAAN dan Hurjet masih menunggu (kelulusan) Kongres Amerika Syarikat. Kita tidak menjangkakan akan ada masalah pada masa ini.”

“Ini melibatkan proses. Kadangkala, ia boleh memakan masa,” katanya kepada portal pertahanan Turkiye itu.

Bagaimanapun beliau berharap suasana optimistik berikutan (pembelian) F-16 akan berterusan.

Awal tahun ini, Washington meluluskan permohonan Turkiye untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang F-16 dan 80 kit permodenan bernilai US$23 billion (RM107 billion) selepas Ankara meratifikasikan undang-undang yang membenarkan kemasukan Sweden ke dalam pakatan ketenteraan NATO.

“HURJET”

 

Kelulusan daripada Amerika Syarikat itu menamatkan polemik di antara Ankara dan Washington yang berlanjutan selama beberapa tahun tentang pembelian pesawat pejuang F-16 tersebut.

“Bagaimana jika (permohonan Turkiye memperolehi enjin-enjin bagi KAAN dan Hurjet itu tidak berlaku. Kita akan mengambil langkah-langkah sendiri, kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan mencari jalan penyelesaian. Samada kita mencari enjin baru atau kita membangunkan enjin sendiri.”

“Kita sudah pun membangunkan enjin sendiri untuk KAAN dan kita akan bertindak yang sama unttuk pesawat pejuang ringan Hurjet, apa yang boleh kita buat? Kita tidak akan meninggalkan program ini (pembangunan pesawat KAAN),” kata Mehmet.

Kedua-dua enjin F110 yang digunakan oleh pesawat pejuang KAAN dan enjin F404 yang digunakan oleh pesawat pejuang ringan HURJET telah dibangunkan oleg syarikat General Electric daripada Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Turkiye telah memesan 100 buah enjin F404 untuk pesawat pejuang ringan  HURJET manakala bagi enjin F110 pula Ankara memohon supaya enjin keluaran syarikat General Electric (GE) itu dihasilkan di dalam negara di Turkiye bagi memenuhi permintaan daripada dalam negara.

“KAAN”

 

 Sebagai langkah sementara sebelum ia berkemampuan membina enjin pesawat pejuangnya sendiri, Turkiye dilaporkan telah meminta kebenaran daripada Amerika Syarikat untuk membina secara berlesen di dalam negara enjin F-110 GE-129 keluaran syarikat General Electric (GE).

Turkiye bercadang mengggunakan enjin F-110 GE-129 pada kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang generasi kelima, “KAAN” yang sedang dibangunkannya ketika ini, sebelum menggantikannya dengan enjin keluaran sendiri.

Eenjin F-110 GE-129 merupakan versi dua enjin (twin engine-version) enjin F-110 yang digunakan oleh pesawat pejuang F-15 manakala versi enjin F-110 GE-110 pula digunakan oleh pesawat pejuang F-16 yang turut dioperasikan oleh Tentera Udara Turkiye.

Ini bermakna kemungkinan besar kumpulan pertama pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” keluaran Turkiye itu akan menggunakan enjin yang sama seperti digunakan oleh pesawat pejuang F-15.

Permohonan kepada Amerika Syarikat untuk membina secara berlesen enjin F-110 GE-129 di dalam Turkiye itu menyusuli perjanjian di antara TUSAS Engine Industries (TEI) dengan GE Aerospace.

Enjin GE F110

 

TEI merupakan syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan GE Aerospace serta beberapa pihak tempatan yang lain bagi memastikan negara Mediterranean itu mampu berdikari bagi menghasilkan enjin sama ada untuk pesawat atau peluru berpandu.

Selain membina secara berlesen enjin GE-110, syarikat TEI itu juga membina secara berlesen enjin-enjin yang digunakan oleh helikopter T-70 (varian tempatan untuk helikopter S-70) dan enjin LHTEC yang digunakan oleh helikopter penyerang T129 ATAK dibangunkan oleh TAI.

Kini syarikat TEI sedang membangunkan enjin turbofan paling berkuasa pernah dihasilkannya iaitu TEI-TF10000 yang merupakan varian enjin turbofan terdahulu iaitu TEI-TF6000.

Enjin turbofan TEI-TF10000 yang diperkenalkan untuk memberikan 10,000 pound kuasa tujahan.

Enjin TEI-TF10000 direkabentuk untuk digunakan oleh pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron terkenal negara itu, Baykar Technology dan beroperasi daripada kapal perang terbesar negara itu, TCG Anadolu.

Enjin TEI-TF10000 itu adalah asas kepada pembangunan enjin buatan tempatan yang bakal melengkapkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN. — DSA

 

featuredHurjetKAANTurkiye
Comments (0)
Add Comment