Kehadiran “Charles de Gaulle” Di Laut Mediterranean Bakal Tingkat Ketegangan Turki-Greek/Perancis

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang bakal meningkatkan lagi ketegangan di antara Turki dan Perancis, kerajaan pimpinan Emmanuel Macron telah mengerahkan kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Perancis, “Charles de Gaulle” belayar ke perairan timur Laut Mediterranean.

Kapal Charles de Gaulle memulakan pelayarannya ke perairan timur Laut Mediterranean yang dipanggil “Clemenceau 21 pada Ahad lalu di Toulon bersama-sama kapal pengiringnya.

Sebuah pesawat pejuang “Charles de Gaulle” mendarat di atas kapal pengangkut pesawat “Charles de Gaulle.”

Selepas ke perairan timur Laut Mediterranean, Charles de Gaulle dan kapal-kapal pengiringnya akan ke Laut Merah, Teluk Parsi dan Lautan Hindi sebelum kembali ke Toulon di Perancis untuk menamatkan pelayaran yang mengambil masa beberapa bulan.

Ok, mengapa pelayaran kapal pengangkut pesawat tentera laut Perancis ke timur Mediterranean itu akan meningkatkan ketegangan antara Perancis dan Turki. Sebab utamanya adalah pendekatan yang diambil oleh Paris yang memihak kepada Greek dalam pertikaiannya dengan Ankara berkenaan usaha kerajaan pimpinan Recep Tayyep Erdogan tentang usaha ekplorasi sumber minyak dan gas di perairan timur Mediterranean.

Laluan misi “Clemenceau 21” yang akan dilalui oleh kapal pengangkut pesawat, Charles de Gaulle.

Sejak kebelakangan ini, Ankara telah menghantar beberapa kapal penyelidikan marin ke timur Mediterranean dalam usaha untuk mengenalpasti lokasi yang kaya dengan sumber minyak dan gas di perairan itu.

Tindakan Turki di timur Mediterranean itu tidak disenangi oleh Greek dan pandangan Athens itu dikongsi oleh Perancis dan beberapa negara Eropah yang lain.

Malah beberapa bulan lepas, Paris telah menghantar kapal perangnya serta pesawat pejuang untuk mengadakan latihan bersama dengan Greek di timur Mediterranean.

Kerahan kapal pengangkut pesawat Perancis, Charles de Gaulle ke timur Mediterranean kali ini  sudah pasti akan dilihat oleh Turki sebagai suatu lagi tindakan provokasi oleh Paris terhadap aktiviti mencari gali minyak dan gas Ankara di perairan itu.

Di atas kapal Charles de Gaulle itu, terdapat 20 buah pesawat pejuang Rafale.

Turki juga akan melihat kehadiran Charles de Gaulle itu sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi Paris terhadap Greek, yang merupakan musuh kuat Turki dan pernah berperang beberapa kali  dengannnya.

Jadi, sememangnya ramai menjangkakan kehadiran kapal pengangkut Charles de Gaulle bakal meningkatkan ketegangan antara Turki dengan kombinasi Greek-Perancis dalam isu Timur Mediterranean.

Dalam misi “Clemenceau 21” ke perairan  timur Mediterranean itu,  kapal pengangkut pesawat Perancis itu akan diiringi oleh dua buah kapal friget iaitu “Aurvergne” dan “Provence,” air defence destroyer “Chevalier Paul,” kapal bekalan dan kapal selam berkuasa nuklear.

Selain itu, ia akan turut diiringi oleh kapal-kapal daripada negara lain seperti kapal friget “Leopold” Tentera Laut Belgium,  friget tentera laut Greek “ Kanaris” dan kapal destroyer Amerika Syarikat “USS Porter.”

Selepas belayar di timur Mediterranean, Charles de Gaulle akan ke Laut Merah, Teluk Parsi dan Lautan Hindi sebelum kembali ke Perancis semula.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Charles de GaulleClemenceau 21Laut MeditteraneanLaut MerahLautan HindiPerancis