(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah syarikat pertahanan berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), HALCON, telah menampilkan peluru berpandu anti-kapal keluarannya yang dinamakan sebagai “HAS-250.”
Peluru berpandu anti-kapal yang direkabentuk dan dibangunkan di UAE, berkemampuan membedil sasaran sejauh 250km pada kelajuan 0.8 Mach.
Dalam fasa penerbangannya, peluru berpandu itu yang menggunakan enjin HS-350 Turbojet hanya akan berada kira-kira 5 meter di atas permukaan air, menyukarkan lagi radar kapal-kapal untuk mengesannya.
Direkabentuk untuk mencapai prestasi tertinggi, peluru berpandu anti-kapal HAS-250 ini menggunakan Global Navigation Satellite dan Inertial Navigation System sebagai panduan ke sasaran selain dilengkapi dengan aktif/pasif terminal seeker dan radio altimeter. Peluru berpandu anti kapal HAS-250 yang turut dilengkapi dengan anti-jamming system itu dipertontonkan kepada orang awam pada pameran International Defence and Exhibition Conference (IDEX 2021) yang sedang berlangsung di Abu Dhabi, UAE ketika ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HALCON Saeed Al Mansoori, focus utama syarikat pada masa ini adalah untuk menghasilkan produk-produk bertaraf dunia di dalam negara.
Peluru berpandu HAS-250 adalah pencapaian besar syarikat katanya, kerana ia mampu melengkapi tentera laut dengan peluru berpandu kruis anti kapal berprestasi tinggi.
Direkabentuk dan dibangunkan secara keseluruhannya di UAE, peluru berpandu HAS-250 akan memainkan peranan dalam mempertahankan perairan negara Timur Tengah itu.
HALCON yang ditubuhkan pada 2017 adalah syarikat dibawah kumpulan EDGE yang juga berpengkalan di UAE. EDGE adalah di antara 25 buah syarikat pembekal peluru berpandu dan Precision Guided Munitions (PGM) utama di dunia.