Anggota ATM Rampas 402 KG Dadah Di Sungai Golok

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Cubaan menyeludup 402 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta berjaya digagalkan oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang di sini semalam.

Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata anggota daripada Batalion Ke-4 Rejimen menjumpai dadah berkenaan dalam 10 guni hitam berlabel teh jenama ‘Guanyinwang’ yang ditinggalkan dua individu di tebing Sungai Golok, kira-kira 10 pagi.

Sungai Golok

“Bagaimanapun, kedua-dua individu itu terus melarikan diri ke sebelah Thailand dengan menggunakan bot selepas menyedari kehadiran pasukan rondaan di tebing sungai berkenaan dan identiti mereka juga tidak dapat dikenal pasti. Kesemua barangan rampasan ini akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media malam tadi.

Barangan rampasan itu dipercayai diseludup dari Thailand dan ia adalah rampasan terbesar dilakukan menerusi Op Benteng Zon Utara (Kawasan Op Merpati) Markas 8 Briged Kelantan, setakat ini.

Kejayaan rampasan itu katanya memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng.

Ia memperkukuhkan sempadan negara ketika pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

— DEFENCE SECURITY ASIA

ATMDadahKelantanSungai Golok