[VIDEO] Indonesia Juga Perlu Tegas Tindakan Hina Malaysia Oleh Rakyatnya

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang individu tidak bertanggungjawab telah memuat naik video di ruang komentar di laman YouTube My Asean minggu lepas yang memaparkan lagu kebangsaan Indonesia, ‘Indonesia Raya’ yang telah disunting bagi tujuan menghina negara itu.

Bagaimanapun video itu telah dipadamkan, namun ia sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

 

Tindakan individu yang tidak dikenali itu telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak kedua-dua negara dan memang sepatutnya kerana lagu kebangsaan ini adalah lambang sesebuah negara dan kebanggaan rakyatnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan ke atas video yang dianggap menghina negara jiran itu dan rakyatnya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi oleh akhbar Berita Harian berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang.”

Kedutaan Malaysia di Jakarta juga mengutuk video itu, baguslah.

Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia mengutuk keras tindakan provokasi yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang tular, yang menghina Indonesia.

Presiden ISWAMI Indonesia  Asro Kamal Rokan dan Penasihat ISWAMI Indonesia  Ilham Bintang dalam satu kenyataan bersama, berkata pihak berkuasa Malaysia perlu segera mendedahkan hasil siasatan berhubung video berkenaan.

“ISWAMI meminta pihak berwajib Malaysia secara terbuka menjelaskan hasil investigasinya (siasatannya),  termasuk kewarganegaraan, pemilik akaun, juga motif penghinaan tersebut.

“Hubungan yang harmoni kedua-dua negara harus tetap dijaga. Untuk itu, kes penghinaan harus dapat diselesaikan dalam waktu cepat agar kes seperti ini tidak lagi terjadi pada masa mendatang,” kata mereka.

Cuma admin berharap pihak berkuasa Indonesia juga mencontohi tindakan tegas dan pantas rakan sejawatnya di Malaysia terutamanya terhadap rakyat negara itu di Jakarta dan beberapa bandar lain yang kerap melakukan tindakan provokasi terhadap kita.

Insiden membakar Jalur Gemilang oleh pihak-pihak yang mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta adalah terlalu kerap dan sudah macam suatu kebiasaan pula tanpa dikenakan apa-apa tindakan oleh pihak Indonesia.

Admin tak pernah dengar pulak (betulkan jika admin salah) pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran keras atau menangkap mereka yang membakar bendera Malaysia terutamanya ketika berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Ada juga insiden baling tahi haiwan kearah kedutaan kita suatu ketika dahulu dan macam-macam lagi, selain panggilan-panggilan seperti “Malingsial” dan lain-lain panggilan menghina lagi.

Bagi pemain-pemain bolasepak kita, naik kenderaan berperisai “Barracuda” pula dah macam suatu kemestian apabila bermain di stadium di Indonesia.

Walaupun apa yang dilakukan oleh yang individu menghina lagu kebangsaan Indonesia itu salah dan perlu dikenakan tindakan undang-undang, pihak berkuasa Indonesia juga perlu serius terhadap rakyatnya yang sewenang-wenang membakar bendera Malaysia itu dan mengeluarkan kenyataan menghina terhadap kita.

Janganlah hanya kita sahaja yang bertindak tegas tetapi pihak berkuasa Indonesia pula seolah-olah memejamkan mata terhadap tindakan provokatif rakyat mereka terhadap kita.

Walauapapun hentikanlah tindakan memprovokasi antara rakyat kedua-dua negara berjiran ini.

— DEFENCE SECURITY ASIA

HinaIndonesiaIndonesia RayaMalaysia