Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika “Kecut Perut” Russia Mungkin Bekal Peluru Berpandu Kruis P-800 Oniks Pada Houthi

"Petanda-petanda" yang menunjukkan Russia akan membekalkan peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks” kepada kumpulan Houthi itu sudah ada, menurut pegawai kanan keselamatan Amerika Syarikat itu sebagaimana dipetik oleh portal Middle East Eye.

0 1,272

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kini bimbang bahawa Presiden Russia Vladimir Putin akan membekalkan peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks” kepada kumpulan bersenjata Houthi di Yemen.

“Petanda-petanda” yang menunjukkan Russia akan membekalkan peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks” kepada kumpulan Houthi itu sudah ada, menurut pegawai kanan keselamatan Amerika Syarikat itu sebagaimana dipetik oleh portal Middle East Eye.

Menurut Washington, bekalan peluru berpandu kruis anti-kapal buatan Russia kepada pejuang Houthi bakal memberikan ancaman yang lebih serius kepada kapal-kapal komersial yang melalui Laut Merah.

Selain kapal-kapal komersial, kapal-kapal perang Barat termasuk kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat juga akan diancamn dengan peluru berpandu terbaru Houthi itu.

Bekas penganalisis kanan Central Intelligence Agency (CIA) William Usher memberitahu Newsweek bahawa sekiranya peperangan tercetus diantara Hezbollah dan Israel, maka, Russia juga akan mengeratkan lagi hubungannya dengan kumpulan bersenjata selatan Lubnan yang disokong oleh Iran itu.

Oniks
Pelancaran peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks”

 

Kerjasama yang lebih erat itu akan menyaksikan usaha-usaha untuk meningkatkan lagi kemampuan kombat pejuang Hezbollah, yang dilaporkan telah pun dibekalkan dengan sistem peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks.”

Selepas Hezbollah, nampaknya kumpulan Houthi juga bakal dilengkapi dengan peluru berpandu kruis anti-kapal P-800 “Oniks” buatan Russia itu.

Menurut penganalisis serantau yang dipetik oleh media antarabangsa, kerjasama lebih erat di antara Russia dan Iran turut melibatkan kumpulan bersenjata Houthi di Yemen yang disokong oleh kerajaan di Teheran.

 Dalam respons terhadap “kebanjiran” senjata-senjata moden dan berbahaya Amerika Syarikat kepada Ukraine, Presiden Putin memberi amaran bahawa Moscow juga akan bertindak sama dengan membekalkan senjata kepada negara dan kumpulan yang “bermusuh” dengan Washington.

Baru-baru ini Amerika Syarikat telah meningkatkan lagi bantuan ketenteraannya terhadap Ukraine dengan membekalkan peluru-peluru berpandu jarak dekat “ATACMS” yang digunakan oleh Kiev untuk menyerang kedudukan tentera Russia di Crimea.

Pada akhir tahun lepas, ketua Hezbollah Sheikh Hassan Nasrallah memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa kumpulan bersenjata itu memiliki “sesuatu” untuk kapal-kapal perang negara itu yang dikerah ke rantau Timur Tengah untuk “melindungi” Israel.

Oniks
P-800 Oniks/Yakhont

 

Nasrallah tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkannya itu, tetapi sumber-sumber di Lubnan menyatakan kumpulan Hezbollah itu kini memiliki kemampuan peluru berpandu anti-kapal yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Kita telah menyediakan sesuatu untuk kapal-kapal perang yang mengancam kami,” kata Hassan.

Sejak tahun 2006, kemampuan anti-kapal kumpulan Hezbollah telah meningkat berlipatkali ganda, tidak lama selepas ia berjaya membedil sebuah kapal korvet kelas Sa’ar milik Tentera Laut Israel “ INS Hanit” yang sedang menguatkuasakan sekatan di luar perairan Lubnan.

Sumber-sumber itu mendedahkan bahawa kumpulan Hezbollah kini dilengkapi dengan peluru berpandu P-800 Oniks (varian eksport Yakhont) buatan Russia yang bukan sahaja berkelajuan supersonik pada Mach 2.5 tetapi boleh membedil kapal-kapal “musuh” pada jarak 300km jauhnya.

Kumpulan Hezbollah dipercayai memperolehi peluru-peluru berpandu anti-kapal buatan Russia itu daripada Syria yang dibekalkan oleh Russia semasa peperangan saudara di negara itu kira-kira 10 tahun yang lepas.

Oniks

Moscow menyatakan bahawa ia telah memindahkan peluru berpandu kruis anti-kapal kepada Damsyik pada 2010.

Peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks terbang pada altitude rendah (sea skimming) iaitu hanya 10 hingga 15 meter daripada permukaan bagi membolehkan ia mengabui daripada dikesan oleh radar.

Peluru berpandu anti-kapal itu mula dibangunkan pada 1993 tetapi mempunyai beberapa varian yang telah dinaiktaraf bagi menjadikannya lebih berbahaya dan sukar dipintas. — DSA

 

 

Comments
Loading...