Akibat Dikenakan Tarif Oleh Trump, Filipina Mungkin Terpaksa “Lupakan” F-16 Block 70/72
Duta Filipina ke Amerika Syarikat memberi amaran bahawa tarif baru yang dikenakan oleh Washington terhadap Manila telah memberi kesan besar kepada ekonomi Filipina, dan keadaan ini boleh menyebabkan negara Asia Tenggara itu “tidak berkemampuan” untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina memberi isyarat bahawa ia berkemungkinan terpaksa “melupakan” hasrat untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat bernilai US$5.6 bilion (RM26.4 bilion) selepas negara Asia Tenggara itu dikenakan tarif balas (reciprocal tariff) oleh Washington.
Duta Filipina ke Amerika Syarikat, Jose Manuel Romualdez, berkata pihaknya sedang berusaha untuk memuktamadkan satu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat dan sedang berbincang tentang “bagaimana kita boleh mengharungi keseluruhan proses ini.”
Beliau memberi amaran bahawa tarif baru yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Filipina itu telah memberi kesan besar kepada ekonomi Filipina, dan keadaan ini boleh menyebabkan negara Asia Tenggara itu “tidak berkemampuan” untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 itu.
“Pesawat F-16 ini… sangat mahal untuk kami… dan sudah tentu kami tidak akan mampu membelinya sekiranya kami tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi,” katanya.
Filipina kini berdepan dengan tarif import sebanyak 17 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap semua eksportnya, berkuat kuasa mulai 9 April 2025.
Langkah ini adalah sebahagian daripada dasar perdagangan baru yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump di bawah inisiatif “Liberation Day”.
Romualdez memberi amaran bahawa cadangan pembelian pesawat pejuang F-16 itu mungkin tidak akan diteruskan susulan pelaksanaan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat, walaupun imbangan dagangan sebenarnya memihak kepada Washington.

Beliau menegaskan bahawa potensi perjanjian bernilai US$5.6 bilion (RM26.4 bilion) itu sepatutnya menghasilkan “surplus (lebihan perdagangan) sebanyak US$1 bilion (RM4.4 bilion) yang memihak kepada Amerika Syarikat.”
Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan sebanyak 20 buah pesawat pejuang F-16 kepada Filipina dianggarkan bernilai US$5.58 bilion (kira-kira RM26.4 bilion).
Pakej yang diluluskan itu merangkumi 16 buah varian terkini F-16C Block 70/72 dan empat buah F-16B Block 70/72.
Pengumuman tentang potensi penjualan 20 buah pesawat pejuang F-16 oleh Amerika Syarikat kepada sekutu utamanya, Filipina berlaku hanya beberapa hari selepas lawatan Setiausaha Pertahanan negara itu, Pete Hegseth ke Manila.
Pengumuman tentang potensi penjualan F-16 kepada Filipina, yang dikeluarkan dalam bentuk pemakluman kepada Kongres Amerika Syarikat oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA), masih belum muktamad.
Bilangan pesawat akhir yang mungkin dibeli oleh Filipina dan nilai keseluruhan lazimnya boleh berubah sepanjang proses rundingan.
