Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom B-52 Laksanakan Latihan Gugurkan Bom-Bom di Negara Bersempadan Russia

Pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat memberitahu media pertahanan negara itu bahawa latihan yang dilaksanakan oleh pesawat pengebom B-52 itu adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

0 9,176
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pengebom strategik B-52 “Stratofortress” milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah melaksanakan latihan mengugurkan bom-bom di sebuah lapang sasar di Lithuania pada 15 November yang lalu yang disifatkan sebagai “latihan yang jarang-jarang dilakukan.”
Pegawai-pegawai Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat memberitahu media pertahanan negara itu bahawa latihan yang dilaksanakan oleh pesawat pengebom B-52 itu adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Ia tidak menjelaskan mengapa ia adalah latihan yang jarang-jarang berlaku, namun berkemungkinan kerana kawasan lapang sasaran di mana bom-bom itu digugurkan itu adalah di Lithuania, sebuah negara yang berkongsi sempadan dengan Russia dan pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
Dalam keadaan ketegangan yang semakin memuncak di antara Washington dan Moscow akibat peperangan di Ukraine, adakah latihan penguguran bom-bom oleh B-52 di Lithuania itu adalah suatu amaran terbuka Amerika Syarikat terhadap Russia.
Pesawat B-52 yang terlibat dalam latihan penguguran bom-bom di lapang sasar di Lithuania ia adalah daripada 20th Expeditionary Bomb Squadron, yang terlibat dalam latihan anjuran NATO dipanggil Vanguard Merlin.
Tentera Udara Amerika Syarikat di Eropah dalam satu kenyataan media berkata bahawa pesawat pengebom B-52 itu melaksanakan serangan udara-ke-darat bersama-sama pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Itali pada 14 dan 15 November.

B-52

Ringkasan Berita

Pada 15 November lalu, pesawat pengebom strategik B-52 “Stratofortress” milik Tentera Udara Amerika Syarikat melaksanakan latihan pengguguran bom di Lapang Sasar Cudgel, Lithuania, dalam sebuah latihan NATO bernama Vanguard Merlin. Latihan itu dianggap jarang dilakukan, berkemungkinan kerana Lithuania berkongsi sempadan dengan Russia, di tengah-tengah ketegangan geopolitik antara Washington dan Moscow akibat konflik di Ukraine.

Latihan melibatkan pesawat B-52 dari 20th Expeditionary Bomb Squadron ini turut disertai pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dari Tentera Udara Itali serta pasukan dari Lithuania, Czech, Sweden, dan Norway. Pesawat B-52 menjatuhkan bom jenis GBU-38 JDAM, yang menunjukkan keupayaan serangan udara-ke-darat dengan sokongan pasukan darat bersekutu NATO.

Latihan ini memperlihatkan penempatan strategik pesawat B-52 di Eropah, termasuk empat unit berpangkalan di RAF Fairford, UK. Pada hari yang sama, pesawat B-52 dan pejuang NATO beroperasi di Laut Baltic, mencetuskan respons pantas daripada pesawat pejuang Russia untuk memintas.

Latihan ini dilihat sebagai demonstrasi kekuatan dan kesediaan NATO di kawasan bersempadan dengan Russia, dengan hanya 58 daripada 744 pesawat B-52 yang masih aktif dalam Tentera Udara Amerika Syarikat.

Anggota tentera Lithuania, Czech, Sweden dan Norway juga terlibat dalam latihan itu.
“Misi (latihan) itu membenarkan krew-krew udara untuk membiasakan diri dengan operasi di Lithuania dan pasukan tentera bersekutu di daratan, mewujudkan pasukan tentera yang bersedia untuk kombat,” menurut Tentera Udara Amerika Syarikat di Eropah dalam kenyataan medianya.
Bom-bom itu digugurkan oleh B-52 di Lapang Sasar Cudgel di Lithuania, sebuah negara Baltic yang sebelum ini adalah sebahagian daripada Kesatuan Soviet tetapi telah menjadi anggota NATO sejak 2004.
Bom-bom yang digugurkan oleh pesawat pengebom B-52 itu adalah dipercayai daripada jenis GBU-38 Joint Direct Attack Munitions (JDAM).
Tentera Udara Amerika Syarikat telah mengerahkan 10 buah pesawat pengebom B-52 ke Eropah dan Timur Tengah, yang merupakan 15 peratus daripada keseluruhan kekuatan B-52 di dalam tentera udara negara Uncle Sam itu.
Empat buah daripada B-52 itu berpangkalan di Pangkalan Udara RAF di Fairford, United Kingdom dan telah terlibat dalam operasi dengan pesawat-pesawat pejuang F-16 dan Eurofighter Typhoon milik Denmark, Jerman dan Itali di Laut Baltic yang bersempadan dengan Russia pada 15 November lalu.

B-52

Russia dilaporkan telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang memintas kumpulan pesawat-pesawat pengebom B-52 dan pesawat pejuang NATO yang beroperasi di Laut Baltic pada tarikh tersebut.
Amerika Syarikat dilaporkan masih mempunyai kira-kira 58 buah pesawat pengebom strategik B-52 yang berkhidmat dengan Tentera Udara Amerika Syarikat ketika ini, dengan 18 buah pesawat di dalam simpanan dan 12 buah pesawat dalam stor.
Keseluruhannya Amerika Syarikat membina sebanyak 744 buah pesawat pengebom strategik B-52 untuk kegunaannya. — DSA
Comments
Loading...