Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Presiden Israel Batal Hadiri COP29 di Azerbaijan Selepas Turkiye Larang Pesawat Rasmi Guna Ruang Udaranya

Kerajaan Turkiye dilaporkan telah melarang pesawat rasmi Presiden Israel dinamakan “Wing of Zion” melalui ruang udaranya itu dalam menuju ke Azerbaijan, sebagaimana didakwa oleh media di Baku yang rapat dengan kerajaan negara rantau Caucasus itu.

0 175
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Israel Isaac Herzog dijadualkan menghadiri Persidangan Perubahan Iklim (COP29) di Baku, Azerbaijan tetapi kehadiran beliau pada persidangan itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir disebabkan tindakan yang didakwa diambil oleh Turkiye.
Kerajaan Turkiye dilaporkan telah melarang pesawat rasmi Presiden Israel dinamakan “Wing of Zion” melalui ruang udaranya itu dalam menuju ke Azerbaijan, sebagaimana didakwa oleh media di Baku yang rapat dengan kerajaan negara rantau Caucasus itu.
Menurut laporan media Israel, kerajaan Azerbaijan mengesahkan laporan tentang larangan dikeluarkan oleh kerajaan Turkiye supaya pesawat rasmi Presiden Israel itu tidak menggunakan ruang udaranya dalam perjalanan ke Baku.
Presiden Israel itu sepatutnya tiba di Baku menggunakan pesawat rasminya “Wing of Zion” pada Selasa untuk beberapa jam sahaja bagi menghadiri COP29, tetapi pada hari ini pejabat presiden Israel mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah membatalkan kehadirannya pada persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat Presiden Israel itu memberikan alasan “sebab-sebab keselamatan” selepas penilaian tentang keadaan semasa.
Pegawai-pegawai Israel sebagaimana dipetik oleh media-media negara itu menyatakan pembatalan kunjungan Presiden Isaac Herzog ke Azerbaijan untuk persidangan perubahan iklim PBB itu adalah disebabkan “keselamatan.”
Herzog
Presiden Israel Isaac Herzog
Bagaimanapun alasan “keselamatan” sebagaimana diberikan oleh pegawai-pegawai Israel tentang punca pembatalan kehadiran Presiden Israel pada persidangan COP29 di Baku itu tidak disenangi oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar Azerbaijan.
Mereka menafikan bahawa kegagalan Presiden Israel itu menyertai COP29 di Baku itu berpunca daripada isu keselamatan sebagaimana didakwa oleh pegawai-pegawai Israel, sebaliknya kerana pesawat rasmi Isaac Herzog tidak dibenarkan melalui ruang udara Turkiye dalam penerbangannya menuju ke Azerbaijan.
“Malangnya, rundingan intensif selama beberapa hari menggunakan saluran diplomatik tidak mendatangkan hasil. Azerbaijan telah menyediakan keadaan yang sesuai kepada semua peserta (COP29) untuk menyertai Persidangan Perubahan Cuaca itu, tetapi keadaan menyelubungi kunjungan Presiden Israel ke persidangan itu adalah di luar kawalan kami,” menurut sumber Kementerian Luar Azerbaijan itu kepada laman web berita negara itu.
Menurut sumber itu lagi, Azerbaijan telah menganjurkan pelbagai persidangan antarabangsa sebelum ini termasuk pertandingan nyanyian Eurovision, dimana tahap keselamatan paling tinggi telah disediakan.

Iran

“Baku (ibu negara Azerbaijan) adalah salah satu bandar paling selamat di dunia, “ kata sumber itu dan menambah bahawa ia telah terbukti menerusi kehadiran pegawai-pegawai Israel termasuk Presiden Israel itu sendiri yang melakukan lawatan ke Azerbaijan pada 30 Mei tahun ini.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menurut sumber itu lagi, juga pernah melawat Azerbaijan pada 2016.
Sumber itu berkata, kerajaan Azerbaijan “terguris” dengan alasan keselamatan yang diberikan oleh kerajaan Israel di atas pembatalan lawatan presiden negara itu ke Baku Selasa ini dan berusaha untuk mengubah alasan keselamatan yang diberikan oleh Tel Aviv itu. — DSA
Comments
Loading...