Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Bangunkan Peluru Berpandu Udara-ke-Darat Supersonik untuk FA-50, KF-21 “Boramae”

Peluru berpandu udara-ke-darat supersonik yang sedang dibangunkan oleh Agency for Defense Development (ADD) Korea Selatan itu bakal digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 dan juga pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

0 146
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Pameran Udara Sacheon 2024 di Korea Selatan yang berlangsung baru-baru ini, agensi pertahanan negara itu, Agency for Defense Development (ADD) telah mendedahkan peluru berpandu udara-ke-darat supersonik yang sedang dibangunkan mereka buat pertama kalinya.
Peluru berpandu udara-ke-darat supersonik yang sedang dibangunkan oleh ADD itu bakal digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 dan juga pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Menurut laporan media, peluru berpandu itu amat berpotensi untuk pasaran eksport serta dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai antara pengeksport senjata terbesar dunia.
Malaysia adalah antara negara pembeli pesawat pejuang ringan FA-50, dengan negara menandatangani kontrak pada Mei 2023 untuk memperolehi 18 buah varian terkini dan paling berkeupayaan pesawat itu,dikenali sebagai FA-50M.
Manakala bagi pesawat pejuang pelbagai guna KF-21 “Boramae”, pihak Korea Selatan telah memulakan pembinaan 20 buah pesawat pejuang itu pada tahun dan Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) dijangka akan mula mengoperasikannya pada 2026.
Korea Selatan
FA-50
Adakah pesawat-pesawat FA-50M yang bakal dimiliki oleh Malaysia bermula pada akhir tahun 2026 itu akan turut dilengkapi oleh peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu? Jika TUDM berminat untuk memilikinya, maka sudah pasti Korea Selatan tidak keberatan untuk menjualnya.
Pemilikan peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu akan hanya menambah bisa pesawat pejuang ringan FA-50M milik Malaysia.
Peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu sememangnya direkabentuk untuk dibawa dan dilancarkan oleh pesawat pejuang untuk membedil sasaran darat daripada jarak jauh sebagaimana peluru berpandu lain di pasaran seperti Taurus yang dibangunkan oleh Jerman dan juga Cheonryong oleh firma LIG Nex1 daripada Korea Selatan sendiri.
Dengan kelajuan Mach 2.5 atau 3,000km sejam, adalah sukar bagi mana-mana sistem pertahanan udara untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu.
Bagi memastikan ia mencapai kelajuan yang tinggi, peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu menggunakan enjin Ramjet.
Peluru berpandu yang sedang dibangunkan oleh agensi pembangunan pertahanan Korea Selatan itu berkemampuan untuk membedil sasaran sejauh 300km.
KF-21
KF-21 “Boramae”
“Dengan jarak bedilan sejauh 300km, peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu berkemampuan membedil sasarannya hanya kira-kira lima minit selepas peluru berpandu itu dilancarkan oleh pesawat pejuang yang membawanya
Laporan media turut menyatakan bahawa agensi pembangunan pertahanan Korea Selatan akan melengkapkan peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu dengan ciri-ciri halimunan (stealth) bagi memastikan ia gagal dikesan oleh radar milik istem pertahanan udara.
Satu lagi ciri yang unik bagi peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu adalah ia bersifat modular, di mana ia boleh melaksanakan pelbagai misi hanya dengan pengubahan modul-nya.
Dengan penukaran modul-nya, peluru berpandu itu boleh di-konfigurasi kepada misi membedil sasaran darat atau sasaran lautan.
Menurut data-data yang dikongsi oleh ADD, peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu telah mula dibangunkan pada 2022, dengan fasa pembangunan dijangka selepas pada tahun 2026.
Peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu dijangka memulakan penerbangan pertamanya pada tahun depan (2025), dengan pesawat pejuang ringan FA-50 akan menjadi platform pengujiannya.
Taurus
“Taurus”
Selain ADD, kontraktor pertahanan lain seperti Korea Aerospace Industries (KAI) dan juga Hanwha Aerospace juga terlibat dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu.
Sebaik sahaja diintergrasikan dengan pesawat-pesawat pejuang FA-50 dan KF-21, peluru berpandu udara-ke-darat supersonik itu bakal meningkatkan lagi kemampuan kedua-dua pesawat pejuang itu, sekaligus melonjakkan lagi potensinya di pasaran eksport.
Pesaing-pesaing seperti pesawat pejuang F-16V dan JAS39 Gripen diketahui hanya dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-darat subsonic.
Negara-negara yang telah pun memiliki pesawat pejuang FA-50/T-50 atau pun yang berminat untuk memiliki KF-21 “Boramae” disasar sebagai pelanggan berpotensi untuk membeli peluru berpandu udara-ke-darat supersonik yang sedang dibangunkan oleh agensi pertahanan Korea Selatan itu. — DSA

Comments
Loading...