Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lagi Kapal Milik Tentera Laut China Buat “Port Call” di Pulau Pinang

Kapal layar latihan milik Tentera Laut China (PLAN), "PO LANG" sepanjang 86 meter yang dalam rangka pelayaran latihan di beberapa buah negara dengan destinasi seterusnya adalah Singapura.

0 9,432
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pulau Pinang menerima sebuah lagi kapal milik Tentera Laut China (PLA Navy) yang membuat “port call” di negeri itu , beberapa minggu selepas ia menerima dua buah kapal daripada tentera laut negara yang sama sehingga menimbulkan polemik yang besar dalam negara ini.
Sebagaimana dinyatakan oleh akaun media sosial Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal layar latihan PLA Navy (PLAN) PO LANG telah tiba di Pelabuhan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), George Town dari Colombo, Sri Lanka.
Ketibaan kapal telah disambut oleh delegasi TLDM yang diketuai oleh Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat Kepten Hj Shaiful Fadzli bin Ismail TLDM, wakil Konsulat Jeneral People’s Republic of China di Pulau Pinang serta beberapa wakil agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Kapal Tentera Laut China, PO LANG itu disambut dengan tradisi ketenteraan yang diiringi oleh persembahan pancaragam daripada Pasukan Pancaragam KD SULTAN ISMAIL.
“PO LANG ialah kapal layar latihan sepanjang 86 meter yang dalam rangka pelayaran latihan di beberapa buah negara dengan destinasi seterusnya adalah Singapura.”
China
(kredit TLDM)
Untuk mengeratkan hubungan diplomasi antara PLA Navy dan TLDM, Ketua Flotila dan Pegawai Memerintah PLAN PO LANG akan mengadakan kunjung hormat kepada wakil TLDM di Pejabat Wakil Tentera Laut Pulau Pinang.
Kapal milik Tentera Laut China, PO LANG juga akan dilawati oleh kru kapal ayar TLDM iaitu KLD TUNAS SAMUDERA dan beberapa agensi kerajaan sebagai pendedahan dan perkongsian pengetahuan serta teknologi.
Beberapa minggu lalu, dua buah kapal People’s Liberation Army Navy (PLAN) Task Group 83, Qi Jiguang dan Jinggang Shan melakukan “port call” di Pulau Pinang dan menerima sambutan besar-besar  daripada  pihak berkuasa tempatan sehingga mencetuskan polemik dikalangan ahli politik tempatan.
Dua kapal pelatih tersebut berlabuh selama tiga hari di Pulau Pinang dan sudah beredar menuju ke Chittagong, Bangladesh.
Dilaporkan Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang menerima kunjungan hormat daripada dua komander kapal berkenaan, selain kelasi dan kadet Tentera Laut Cina itu turut melawat sekolah swasta Chung Ling High.
Hanya beberapa hari selepas Pulau Pinang menerima kunjungan dua buah kapal perang China, empat lagi buah kapal perang daripada Armada Pasifik Tentera Laut Russia pula berlabuh di negeri itu.
China
Kunjungan dua buah kapal perang China di Pulau Pinang minggu lepas.
Russia
Kapal perang Russia yang singgah di Pulau Pinang minggu lepas (kredit TLDM)
Kapal-kapal perang daripada Armada Pasifik Russia yang berlabuh di Pulau Pinang baru-baru itu dipercayai adalah korvet Gromkiy, Rezkiy, Aldar Tsydenzhapopv dan kapal bekalan bahan api, Pechenga.
Lawatan operasi oleh Tentera Laut Rusia itu selain dari ulang bekal dan istirehat kru adalah bersempena dengan Memorial Ceremony of the 110th Anniversary of the Death of the Russian Sailor yang akan diadakan di dua lokasi sekitar Pulau Pinang.
Ketiga-tiga kapal perang Tentera Laut Russia, RFS GROMKIY (335), RFS REZKIY (343), RFS ALDAR TSYDENZHAPOV (339) adalah daripada kapal korvet daripada kelas-Steregushchiy atau mengikut designasi Tentera Laut Russia dikenali sebagai  Project 20380. 
Buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun, dua buah kapal Tentera Laut Jerman, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG (F222) dan FGS FRANKFURT AM MAIN (A1412) telah tiba di  Port Klang Cruise Terminal untuk lawatan operasi, minggu lepas.
Jerman
Kapal perang Tentera Laut Jerman FGS BADEN-WÜRTTEMBERG (F222) (kredit TLDM) yang melakukan “port call” di Port Klang Cruise Terminal minggu lepas.
Kapal-kapal Tentera Laut Jerman itu, FGS BADEN-WÜRTTEMBERG dan FGS FRANKFURT AM MAIN sedang dalam rangka pelayaran Indo-Pacific Region Deployment 2024 (IPD 2024) dan berada di Malaysia sehingga 18 Oktober.
Turut serta dalam pelayaran tersebut adalah Rear Admiral Helge Risch, Pengarah Sumber Manusia Tentera Laut Jerman. — DSA

Comments
Loading...