Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Leonardo AW149 Pengganti Nuri Patuhi Spesifikasi ATM

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter AW149 yang bakal diterima pihak TUDM adalah berbeza sama sekali dengan helikopter daripada jenis sama untuk kegunaan awam.

0 3,432
(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Helikopter Leonardo AW149 yang bakal menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61 bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah varian ketenteraan dan mematuhi spesifikasi yang digariskan oleh Angkatan Tentera (ATM).
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter AW149 yang bakal diterima pihak TUDM adalah berbeza sama sekali dengan helikopter daripada jenis sama untuk kegunaan awam.
Menurutnya, helikopter tersebut cukup sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.
“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini juga mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain.
“Jadi pertimbangan sewajarnya telah dibuat dalam hal ini dan di pihak TUDM, kami tiada isu dengannnya,” kata beliau.
AW149
Leonardo AW149
Mengulas lanjut Mohd. Asghar berkata, helikopter AW149 bakal diperolehi secara sewa beli dengan pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadapnya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyatakan bahawa rancangan perolehan helikopter baru untuk TUDM bagi menggantikan Nuri melibatkan perolehan sebanyak 24 buah helikopter dilaksanakan secara berfasa.
“Fasa 1 libatkan 12 unit helikopter (untuk varian) Combat Search And Rescue (CSAR) berkeupayaan utiliti dan Fasa 2 adalah 12 buah lagi helikopter,” katanya.
 Menurut beliau, program itu diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
“Jenis helikopter yang telah dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Awam Swasta kepada TUDM adalah 12 unit… Pada ketika ini, kita melihat kepada Leonardo AW149 yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi CSAR serta penugasan utiliti,” katanya  sebagaimana dipetik oleh media tempatan.

AW149

Helikopter AW149 adalah helikopter pelbagai guna bersaiz sederhana daripada generasi terkini.
Ia adalah helikopter yang berkesan dengan tahap survivalbiliti yang diperlukan oleh angkatan tentera, menggabungkan teknologi moden, peralatan dan persenjataan yang tiada tolok bandingnya daripada ciri-ciri keselamatan dan prestasi.
Ciri-ciri helikopter itu adalah, ia mempunyai berat keseluruhan 8,600kg, ia menggunakan dua engin sama ada 2xGeneral Electric CT7-2E1 atau  2xSafran Aneto-1K, berkeupayaan membawa di antara 16 hingga 19 anggota tentera, boleh terbang selaju 294 km sejam dan sejauh 1,000km serta selama 5 jam. — DSA
Comments
Loading...