Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang F/A-18 Hornet Kuwait Terhempas, Juruterbang Disahkan Maut

Menurut kenyataan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait Kolonel Hamad Al-Sagr, kemalangan itu telah mengorbankan juruterbangnya, tetapi ia tidak mendedahkan identiti juruterbang pesawat pejuang F/A-18 Hornet yang maut itu.

1,787
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Kuwait mengumumkan sebuah pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik tentera udara negara itu telah terhempas ketika sedang menjalani misi latihan di utara negara itu pada Rabu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya Kolonel Hamad Al-Sagr, kemalangan itu telah mengorbankan juruterbangnya.
Ia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti juruterbang yang maut itu.
“Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan maklumat dan punca kejadian yang berlaku ketika pesawat pejuang itu sedang menjalankan misi latihan di utara Kuwait, “ menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan yang dipetik oleh agensi berita negara itu, Kuwait News Agency (KUNA) hari ini.
Kementerian Pertahanan Kuwait tidak mendedahkan varian F/A-18 yang terlibat dalam kemalangan itu, sama ada varian “C” untuk satu tempat duduk atau varian “D” untuk dua tempat duduk.
Hornet
Pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait
Bagaimanapun, memandangkan kenyataan itu menyebut kemalangan itu hanya mengorbankan juruterbangnya, maka kemalangan itu berkemungkinan melibatkan pesawat pejuang F/A-18C iaitu varian satu tempat duduk.
Kuwait memiliki 33 buah pesawat pejuang F/A-18C/D di dalam varian satu dan dua tempat duduk.
Bagaimanapun negara Timur Tengah itu merancang untuk menamatkan khidmat pesawat pejuang itu dengan menggantikannya dengan pesawat pejuang F/A-18E/F “Super Hornet” dan Eurofighter Typhoon.
Pada 2018, Kuwait telah menandatangani perjanjian untuk memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat pejuang satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet.
Kesemua pesawat pejuang dibangunkan oleh Boeing itu bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion).
Malaysia pula telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Kuwait itu, apabila negara Timur Tengah itu menamatkan khidmatnya selepas memperolehi kesemua pesawat Super Hornetnya.

Hornet

Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sedang dalam rangka lawatan ke Kuwait, telah meninjau sendiri keadaan terkini pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang cuba Malaysia perolehi.
Semalam, beliau dan delegasi Malaysia telah melawat ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber, yang antara lain menempatkan Skuadron 9, skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait.
Turut bersama dalam kunjungan Mohamed Khaled ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan Kuwait sebelum ini telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF tersebut.
Kuwait
(Kredit FB Mohamed Khaled)

 

Terdahulu dalam Menteri Pertahanan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru. — DSA

Comments are closed.