Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Mahu Teruskan Pembelian Kapal Selam Dari China, Beberapa Bulan Selepas Batalkannya

Panglima Tentera Lautnya yang baru Laksamana Jirapol Wongwit berkata, kapal selam adalah aset yang penting dalam strategi meningkatkan keupayaan Tentera Laut Thailand dan beliau bersedia menjelaskan kepada Menteri Pertahanan negara itu yang baru tentang sebarang kegusaran tentang perolehan kapal selam.

0 1,967
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Thailand mahu meneruskan pembelian kapal selam pertamanya daripada China, hanya beberapa bulan selepas dilaporkan membatalkan pembelian itu berikutan masalah mendapatkan enjin buatan Jerman untuk digunakan oleh kapal selam itu.
Panglima Tentera Lautnya yang baru Laksamana Jirapol Wongwit berkata, kapal selam adalah aset yang penting dalam strategi meningkatkan keupayaan Tentera Laut Thailand dan beliau bersedia menjelaskan kepada Menteri Pertahanan negara itu yang baru tentang sebarang kegusaran tentang perolehan kapal selam.
Beliau yang baru sahaja dilantik ke jawatan barunya itu hari ini akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Phumtham Wechayachai untuk menjelaskannya tentang perolehan kapal selam.
“Tentera Laut Thailand bersedia untuk mempertahankan (cadangan) pembelian kapal selam dan memastikan semua pihak bahawa program perolehan kapal selam itu adalah penting untuk mempertahankan keselamatan maritim,” kata beliau sebagaimana dipetik oleh Bangkok Post.
Negara jiran, Thailand telah memutuskan untuk memperolehi sebuah kapal friget daripada China bagi “menggantikan” kapal selam yang sepatutnya diterima daripada Beijing pada tahun ini.

Thailand

Thailand sepatutnya menerima kapal selam daripada China pada tahun ini, tetapi Beijing sehingga kini gagal menyerahkannya disebabkan masalah mendapatkan enjin yang bersesuaian.
Menteri Pertahanannya pada ketika itu, Sutin Klungsang dilaporkan berkata bahawa negara Asia Tenggara itu menangguhkan buat sementara waktu usaha memiliki kapal selam berikutan masalah mendapatkan enjin bagi kapal selam yang sepatut diperolehinya daripada China.
Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion).
Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.
Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.
Sebagai jalan penyelesaian,  Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.
Selepas Thailand “membatalkan” pembelian kapal selam daripada China dan menggantikannya dengan friget,  syarikat China State Shipbuilding Corporation (CSSC) yang bertanggungjawab membina kapal selam utk Thailand telah menawarkan kapal selam yang telah separuh siap itu kepada Indonesia.
CSSC dilapor menawarkan kepada Indonesia pakej kapal selam S26T kelas-Yuan yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu kruis anti-kapal YJ-18.
Pada Julai lalu, pegawai-pegawai kanan daripada CSSC dilaporkan telah berkunjung ke Jakarta dalam usaha mereka untuk menjual kapal selam diesel-elektrik S26T yang pada mulanya dipesan oleh Thailand kepada Indonesia.
Pegawai-pegawai syarikat CSSC itu mahu menerangkan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa kapal selam S26T itu masih boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Indonesia.
Pegawai-pegawai syarikat pembuat kapal China memberikan jaminan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa mereka tidak akan berhadapan dengan sekatan ekport sebagaimana dihadapi oleh pelanggan mereka sebelum ini, Tentera Laut Diraja Thailand. — DSA
Comments
Loading...