Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Houthi Tembak Jatuh Dron MQ-9 Reaper Amerika Ke-10, Kerugian Cecah US$300 Juta (RM1.29 Billion)

(VIDEO) Ini merupakan dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang ke-10 berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi dan kumpulan-kumpulan bersenjata yang lain di Timur Tengah sejak bermulanya konflik antara Palestin dan Israel Oktober tahun lepas.

0 602
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Houthi di Yemen mendakwa pejuang-pejuangnya telah menembak jatuh sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang dianggarkan bernilai US$30 juta sebuah (RM135 juta).
Ini merupakan dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang ke-10 berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi dan kumpulan-kumpulan bersenjata yang lain di Timur Tengah sejak bermulanya konflik antara Palestin dan Israel Oktober tahun lepas.
Insiden penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper milik Amerika yang ke-10 hari ini juga berlaku kira-kira lima hari selepas dron ke-sembilan ditembak jatuh di wilayah Saada, Yemen.
Secara totalnya, Amerika Syarikat telah kerugian US$300 juta (RM1.29 billion) selepas 10 buah dron MQ-9 Reaper miliknya ditembak jatuh oleh kumpulan-kumpulan bersenjata di Timur Tengah.
Menurut jurucakap kumpulan Houthi, dron MQ-9 Reaper yang ke-10 milik Amerika Syarikat itu ditembak jatuh di wilayah Dhawar, Yemen.
Kumpulan itu turut mengeluarkan video bangkai dron MQ-9 Reaper itu yang terbakar selepas ia terhempas akibat ditembak jatuh oleh pejuang-pejuang Houthi, namun, tidak menjelaskan dron milik Amerika Syarikat itu ditembak jatuh menggunakan senjata jenis apa.
Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.
 Dron buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Reaper
Bangkai dron MQ-9B milik Amerika selepas ditembak jatuh pejuang Houthi. 
Saqr
Peluru berpandu “Saqr-358”
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.
Kumpulan Houthi dipercayai menggunakan peluru berpandu canggih “Saqr 358” keluaran Iran  yang memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat untuk menembak jatuh dron-dron milik tentera Amerika.
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan. — DSA

Comments
Loading...