Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Semakin Sengit!! Korea Selatan Tawar 10 Buah KF-21 “Boramae” Block 1 Pada Filipina

Penawaran pesawat pejuang KF-21 yang baru sahaja memasuki fasa produksi besar-besaran (mass production) itu bermakna pada ketika ini,  pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Korea Selatan itu akan bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang JAS39 Gripen buatan Sweden dan juga F-16 buatan Amerika Syarikat bagi merebut kontrak Filipina.

5,230
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang di Filipina semakin sengit dengan syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dilaporkan menawarkan 10 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” pada negara Asia Tenggara itu.
KAI dikata menawarkan  varian KF-21 Block 1 yang merupakan varian pesawat pejuang itu untuk misi udara-ke-udara (air superiority) kepada Tentera Udara Filipina (PAF).
Penawaran pesawat pejuang KF-21 yang baru sahaja memasuki fasa produksi besar-besaran (mass production) itu bermakna pada ketika ini,  pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Korea Selatan itu akan bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang JAS39 Gripen buatan Sweden dan juga F-16 buatan Amerika Syarikat bagi merebut kontrak Filipina.
Kerajaan Filipina dijangka mengumumkan pemenang kontrak pesawat pejuang itu pada akhir tahun ini.
 Filipina merancang untuk membelanjakan US$33 billion (RM142 billion)  untuk memodenkan angkatan tenteranya dengan peluru berpandu jarak sederhana dan juga pesawat-pesawat pejuang moden, menurut pegawai-pegawai kanan pertahanan negara Asia Tenggara itu.
KF-21
KF-21 “Boramae”
Perancangan untuk berbelanja besar bagi pertahanan negara itu dilakukan ketika Filipina sedang berhadapan dengan sikap agresif China terutamanya di perairan Laut China Selatan.
“Angkatan Tentera Filipina mahu memperolehi lebih banyak sistem persenjataan yang lebih canggih,” menurut panglimanya Jeneral Romeo Brawner menyusuli pengumuman oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro yang menyatakan bahawa Filipina sedang mengkaji beberapa tawaran penjualan senjata daripada beberapa negara.
Menurut laporan media dan blog pertahanan Filipina, tawaran KF-21 itu untuk program Multi Role Fighter (MRF) itu dibuat seiring dengan tawaran 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 kepada negara Asia Tenggara itu.
Tawaran kombo pesawat pejuang FA-50 dan KF-21 oleh KAI itu bakal menjadikan persaingan di Filipina itu menjadi lebih menarik, kerana setakat ini hanya firma pertahanan Korea Selatan itu menawarkan dua jenis pesawat pejuang sekaligus.
Tentera Udara Filipina merupakan pengguna pesawat pejuang ringan FA-50 dengan pemilikan 12 buah pesawat itu beberapa tahun yang dulu dan sememangnya diketahui berminat untuk menambah pemilikan pesawat itu dalam varian Block 20 yang lebih canggih.

KF-21

Pemerhati pertahanan di Filipina berkata, negara Asia Tenggara itu boleh memiliki 10 buah pesawat pejuang KF-21 Block 1 pada mulanya dan bertindak menaiktaraf pesawat pejuang itu kepada varian Block II yang boleh melaksanakan serangan-serangan darat.
Dengan naiktaraf kepada Block II, pesawat-pesawat pejuang KF-21 yang sedang mengintai peluang di Filipina itu akan menjadi pesawat pejuang pelbagai guna bagi memenuhi hasrat Tentera Udara Filipina.
Pada Jun lalu, KAI mengumumkan bahawa ia akan membina kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”, bagi membolehkan pesawat pejuang itu beroperasi untuk Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada 2026.
Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA).
“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026,” menurut laporan media Korea Selatan.
KF-21
Enjin pesawat pejuang KF-21 yang sedang dibangunkan oleh syarikat Hanwha Aerospace
Selain itu DAPA juga dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Hanwha Systems bagi perolehan 20 buah radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang akan digunakan oleh kumpulan pertama pesawat pejuang KF-21 itu.
ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 100 hingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia. — DSA

Comments are closed.